Total Pageviews

Sunday, 5 January 2020

Nasib warga Uighur tertekan


Nasib warga Uighur semakin tertekan

 



PADA petang yang sejuk, Mohammad Hassan Abdul Hameed, 34, seorang Uighur yang berasal dari China, berjalan ke restorannya melepasi kedai menjual sutera di Pasar Cina di Rawalpindi, Pakistan.

Bapanya datang ke Rawalpindi 50 tahun lalu untuk bekerja di rumah rehat dibuka untuk orang Uighur yang menuju ke Arab Saudi bagi menunaikan haji. Kini, rumah rehat itu sekadar bangunan tinggal selepas ditutup pada 2006 dipercayai atas permintaan China.

Kaum Uighur berpindah ke Pakistan sejak lewat kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 untuk berdagang atau semata-mata melarikan diri daripada sasaran kerajaan. Hari ini, tindakan China menyasarkan golongan itu bukan lagi rahsia apabila tiga juta daripada mereka dipercayai ditahan dalam ‘kem pendidikan semula’ yang antara lain memaksa mereka murtad.

Pakistan dianggarkan mempunyai 2,000 penduduk Uighur, dan perkara ini semakin menjadi masalah apabila tidak disenangi Beijing yang banyak membantu negara itu dalam krisis ekonominya termasuk pelaburan AS$62 bilion bagi pembinaan Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC), yang menghubungkan Kashgar di Xinjiang dengan pelabuhan Gwadar di selatan Pakistan.

Susulan itu, China dipercayai mula memberi tekanan terhadap Pakistan.

“Mereka (China) mahu menghapuskan Uighur. Kami terpaksa berhati-hati kerana China memang memburu kami.
“Dalam keluarga saya saja, 300 orang berada dalam kem. Abang saya seorang daripadanya,” kata Mohammad Hassan kepada Al Jazeera.

Seorang lagi kaum Uighur, peniaga sutera Abdul Latif berkata: “Kami tiada lagi berita mengenai mereka.

“Jika kami cuba menelefon, walaupun mereka tidak menjawab panggilan, pihak berkuasa akan segera datang menyoal malah ada yang terus dibawa ke kem.”
Penolong Pengarah program Asia di Wilson Centre, Michael Kugelman berkata, walaupun bilangan mereka kecil, masyarakat Uighur di Pakistan cukup membimbangkan Beijing.
“China sedar nasib Uighur semakin mendapat simpati masyarakat dunia, seterusnya memberi kesan negatif terhadap imejnya.
“Sudah pasti ia tidak mahukan Uighur di Pakistan bersuara mengenai nasib saudara mereka di Xinjiang.
“Walaupun Pakistan sering lantang mempertahankan nasib orang Rohingya, Syria, Kashmir, dan Palestin, jarang sekali ia berkata bersuara terhadap Uighur.
“Namun bukan Pakistan saja. Begitu juga negara Islam lain kecuali beberapa kerajaan yang enggan mencetuskan kemarahan pemain global penting yang menawarkan pelbagai pelaburan serta manfaat,” katanya.
Perkara itu diakui pengasas organisasi Umer Uighur Trust in Rawalpindi, Mohammad Umer Khan yang menganggap masalah golongan itu semakin terasa sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Sesiapa yang mengaku dirinya Uighur atau Turkistani meletakkan nyawa dalam bahaya. Saya sendiri pernah dituduh menghancurkan persahabatan antara China dan Pakistan.
“Namun kerajaan Pakistan bukan masalah sebenar. Sebenarnya memang China memainkan peranan.
“Saya tidak menentang Pakistan atau CPEC. Namun orang saya ditindas. Saya bersuara demi mereka,” katanya.



..

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.