Anak Ahmad
Deedat kena tembak
Durban: Seorang aktivis Afrika Selatan yang juga anak
pendakwah Islam terkenal bertarung nyawa di sebuah hospital selepas ditembak di
luar mahkamah di sini, Rabu lalu.
Kolonel Polis Thembeka Mbele berkata, Yousuf Deedat,
65, anak lelaki kepada arwah Sheikh Ahmed Deedat, ditembak di kepala ketika
berjalan ke mahkamah keluarga Verulam di pinggir bandar Durban bersama
isterinya.
Al-Jazeera melaporkan, Mbele berkata, suspek yang
tidak dikenali menembak tepat di kepala Yousuf.
“Selepas ditembak, mangsa kemudiannya dihantar ke
hospital untuk mendapat rawatan perubatan, manakala suspek melarikan diri ke
sebuah kereta kemudian hilang tanpa jejak.
"Mangsa berada dalam keadaan kritikal di hospital
tempatan dan dimaklumkan mengalami kecederaan serius, kami tetap berharap
semoga beliau pulih,” katanya.
Mbele berkata, pihak keluarga memohon supaya semua
pihak memberi ruang dan privasi kepada mereka.
Sheikh Ahmed Deedat, yang meninggal dunia pada 2005
adalah seorang mubaligh Muslim Afrika Selatan yang terkenal dalam mengupas
perbezaan agama.
Beliau terkenal di seluruh dunia sebagai penceramah
dan penulis yang dihormati dalam menerbitkan beberapa buku kecil mengenai Islam
dan Kristian.
Sheikh Ahmed Deedat juga pengasas Pusat Penyebaran
Islam Antarabangsa bertujuan untuk mendengar dan memahami Islam di seluruh
dunia.
Anak lelakinya Yousuf adalah seorang aktivis komuniti
terkenal dan cendikiawan Muslim di Durban.
Polis berkata, mereka masih menyiasat punca di sebalik
tembakan itu.
Artikel ini
disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.