Total Pageviews

Saturday, 3 March 2018

Kaji tuntutan keluarga Adelina





Kaji tuntutan keluarga Adelina




KUALA LUMPUR: Tuntutan pampasan tiga tahun gaji dikemukakan keluarga Adelina Lisao, 26, perlu diperhalusi dan mengikut saluran serta peruntukan undang-undang di negara ini.
Adelina, pembantu rumah warga Indonesia, meninggal dunia 11 Februari 2018 lalu, dipercayai akibat didera majikannya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein, berkata ketika ini, tuntutan dikemukakan itu tidak jelas kerana hanya melalui laporan media negara berkenaan.
"Kita tidak tahu kepada siapa tuntutan itu dikemukakan. Adakah kepada majikan atau kerajaan (Malaysia)?
"Jadi, ia perlu diperhalusi terlebih dulu selain mengikut peruntukan undang-undang negara kita," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar The Jakarta Post, semalam, mengenai tuntutan keluarga wanita itu yang mahukan pampasan tiga tahun gaji dibayar berikutan tragedi menimpa mangsa.
Mengulas lanjut, Engku Ahmad Fauzi berkata, pihaknya bependapat jika tuntutan itu wajar jika ia dikemukakan kepada majikan wanita berkenaan.
"Namun, adakah benar majikan mangsa tidak membayar gajinya? Jika benar, ia wajar (tuntutan dipenuhi). Tetapi, ini semua perlukan siasatan lebih lanjut, ia perlu diperhalusi bagi menyiasat dakwaan keluarga mangsa," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, Kerajaan Indonesia tidak perlu terburu-buru untuk menghentikan penghantaran pekerja dalam sektor berkenaan ke negara ini berikutan tragedi menimpa Adelina.
Katanya, kejadian itu itu adalah kes terpencil dan pihak berkuasa di negara ini melakukan siasatan dengan telus serta tidak perlu dipertikaikan.
"Bukan setiap hari ia berlaku, malah kita (rakyat Malaysia) juga mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan ini. Jadi, mereka tidak perlu terburu-buru membuat keputusan," katanya.
Dalam kejadian 10 Februari lalu, Adelina ditemui dalam keadaan tidak bermaya dengan kesan lebam di kepala dan pelbagai kecederaan lain di tangan serta kedua-dua kakinya akibat didera di rumah dekat Taman Kota Permai, Bukit Mertajam.
Keperitan hidup dilalui wanita itu terbongkar apabila dia diselamatkan pihak berkuasa selepas mendapat maklumat orang awam dan jiran di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, wanita itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam (HBM) pada 11 Februari lalu dan mayatnya dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat.
Laporan bedah siasat mendedahkan Adelina maut akibat kegagalan organ yang disebabkan kekurangan darah.
Berikutan itu, polis menahan dua beradik berusia 36 tahun dan 39 tahun serta ibu mereka berusia 60 tahun untuk siasatan lanjut.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.





No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.