Keunikan
koloni lebah kelulut
Ratu
lebah kelulut mengawan hanya sekali seumur hidup tetapi akan terus bertelur
antara 50 hingga 350 biji sehari dalam tempoh dua hingga tujuh tahun hayatnya.
Selepas
mengawan dan menyimpan telur di dalam kantungnya, ratu tidak boleh terbang lagi
kerana sayapnya tidak dapat menampung perutnya membesar tiga kali ganda
daripada saiz lebah biasa dan hanya mampu berjalan melihat lebah pekerja
melaksanakan tugas.
Sepanjang
tempoh itu, ratu kelulut akan 'dilayan' bagai menatang minyak yang penuh
apabila semua keperluannya seperti makan minum, persekitaran dan takhtanya akan
dijaga sepenuhnya oleh 'pekerja dan tenteranya'.
Ratu
juga paling berkuasa di dalam log kelulut. Bagaimanapun, selepas tidak lagi
produktif, ia dengan sendirinya terpaksa turun takhta atau mati dan diganti
dengan ratu baru.
Uniknya,
semua pekerja adalah kelulut betina manakala yang jantan hanya ditugaskan
mengawan bersama ratu sahaja!
Jika
bukan musim mengawan, kelulut jantan hanya berterbangan mencari makanan.
Bagaimanapun,
malang bagi kelulut jantan kerana hayatnya berakhir dalam tempoh sehari selepas
mengawan. Lebih tragis, si jantan akan meninggalkan alat kelaminnya pada ratu!
Mungkin itu yang menyebabkan ia mati.
Tidak
seperti telur haiwan lain yang menetas secara secara semula jadi, telur kelulut
akan ditetaskan pekerja dalam tempoh pengeraman antara 16 hingga 20 hari.
Ketua
Pegawai Eksekutif Diva Bee Enterprise Khamarul Azman Mustafa berkata, telur
yang mengandungi ratu tiga kali ganda lebih besar berbanding telur yang
mengandungi pekerja.
“Pekerja
mempunyai jangka hayat hidup lebih singkat iaitu antara 75 hingga 100 hari
kerana kekurangan sumber makanan atau terlalu kuat bekerja.
Lebah
kelulut akan mula bekerja beberapa hari selepas ditetaskan,” katanya ketika
ditemui di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.
Khamarul
Azman berkata, lebah kelulut berfungsi sebagai pembuat sarang telur, penjaga
makanan dan memberi makan ratu, pengawal mutu yang bekerja untuk menapis dan
menilai madu yang diasingkan untuk makanan ratu, disimpan atau terus diminum,
pengawal menjaga koloni, pencari dan pengumpul madu dan ratu. Semua ‘jawatan’
itu ditetapkan oleh ratu.
Beliau
berkata, kajian yang dijalankan bersama beberapa institusi pengajian tinggi
(IPT) berjaya menemukan kitaran hidup kelulut yang begitu unik.
Menurutnya,
lebah kelulut atau nama saintifiknya Trigona spp dikategorikan sebagai lebah
tidak bersengat yang menghasilkan madu sama seperti lebah madu (Aps sp).
Katanya,
lebah kelulut yang diternak Konsortium Penyelaras Koperasi Negeri Pahang Berhad
(Kospen) di Pusat Pembiakan dan Pengeluaran Benih Bukit Goh, Kuantan adalah
daripada jenis Itama Mega kerana bersesuaian dengan persekitaran yang redup dan
di kawasan pokok buah-buahan seperti mangga, rambutan, durian serta bunga
hutan.
“Penghasilan
madu kelulut banyak berlaku antara Februari hingga September manakala pada Mac
hingga April, lebah giat menghasilkan koloni baru.
“Pengeluaran
madu akan berkurangan pada musim tengkujuh kerana lebah tidak dapat keluar
disebabkan hujan selain madu dihasilkan menjadi sumber makanan kepada anak
kelulut untuk memperkuatkan koloni,” katanya.
Beliau
yang dilantik sebagai perunding untuk projek penternakan lebah kelulut Kospen
berkata, kitaran hidup kelulut yang begitu unik dan berdisiplin dalam
penghasilan madu menjadikan permintaan terhadap madu kelulut makin meningkat di
pasaran.
Katanya,
madu kelulut mempunyai rasa yang berbeza mengikut spesies dan sumber
makanannya.
“Rasa
berbeza seperti masam dan manis, berwarna gelap atau cerah serta kepekatannya
bergantung kepada sumber makanannya dalam radius satu kilometer daripada
kawasan ternakan.
“Dianggarkan
antara lima hingga 25 peratus air terkandung dalam madu kelulut menyebabkan
rasa dan kepekatannya berbeza-beza,” katanya.
Beliau
yang juga Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Kelulut Sampugita Kelantan Berhad
berkata, harga madu kelulut boleh mencecah sehingga RM350 sekilogram dan
permintaannya sentiasa meningkat.
“Ini
kerana khasiatnya serta kadar antioksida yang tinggi dipercayai dapat membantu
merawat dan mencegah beberapa penyakit termasuk barah, menguatkan tulang
belakang, ulser, menstabilkan tekanan darah serta glukos dalam darah dan
memperkuatkan fungsi hati.
“Madu
kelulut juga mempunyai jangka hayat panjang dan boleh dijual mentah selepas
dituai tanpa melalui sebarang proses,” katanya yang memiliki 1,600 koloni
kelulut di ladang ternakannya di Kampung Kepulau, Pelekbang, Tumpat, Kelantan.
Sementara
itu, permintaan yang makin meningkat sejak tiga tahun lalu terhadap madu lebah
kelulut, ditambah pula dengan potensi kawasan penternakannya yang luas di
Pahang berjaya ‘membuka mata’ Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pahang untuk
mengusahakan ternakan lebah kelulut secara berkelompok.
Projek
itu dilaksanakan Kospen di kawasan seluas dua hektar dengan 260 koloni kelulut
di Pusat Pembiakan dan Pengeluaran Benih Bukit Goh, Kuantan.
Pengarah
SKM Pahang Datuk Mohamad Zawawi Mahmud berkata, projek perintis dengan modal
RM450,000 dilaksanakan bagi membantu keanggotaan Koperasi Bela Rakyat (Kobera)
Pahang yang terdiri daripada golongan miskin keluar daripada paras kemiskinan
dan mereka sudah menerima lima peratus hasil daripada keuntungan projek.
“SKM
memberi geran bantuan RM50,000 untuk setiap Kobera dan peruntukan itu
dimanfaatkan menerusi kerjasama dengan Kospen mengusahakan projek madu kelulut
di Bukti Goh.
“Sejumlah
50 kilogram madu dihasilkan di ladang ini setiap bulan dan pengeluarannya
ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi menampung permintaan mencecah 100
kilogram sebulan,” katanya.
Bagi
tujuan itu, Zawawi berkata, SKM bersama Kospen merancang untuk mengumpul
penternak kelulut di seluruh Pahang bagi tujuan penghasilan madu secara
berkelompok dan menjadi pengeluar terbesar selepas Kelantan.
“Kita
mahu jadikan madu kelulut sebagai identiti Pahang selepas Tenun Pahang Diraja
seperti merujuk kepada ‘budu’ secara rasionalnya orang akan merujuk kepada
Kelantan.
“Bagi merealisasikan impian SKM Pahang untuk menjenamakan
produk madu kelulut ke pasaran antarabangsa, kita akan membawa beberapa produk
berasaskan madu kelulut seperti sabun, madu, kopi dan pil makanan tambahan
untuk dipromosikan sempena Halal Food Festival di Oman yang berlangsung selama
enam hari bermula 18 September ini,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2016 @
11:06 AM
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.