Total Pageviews

Saturday, 3 March 2018

Bidan jadian ancam nyawa


Bidan jadian ancam nyawa

Oleh Ilah Hafiz Aziz




KUALA LUMPUR: Doula atau peneman kelahiran yang semakin menjadi pilihan bakal ibu di negara ini, dikatakan mampu memperoleh habuan lumayan sehingga RM2,000 daripada setiap pelanggan.
Malah, mereka yang dilapor menawarkan khidmat berkenaan yang dipercayai bertapak di negara ini sejak 10 tahun lalu, semakin agresif menawarkan perkhidmatan secara dalam talian dan menerusi pelbagai media sosial.
Ada mencipta ideologi tersendiri serta guna nama Islam, malah ada juga doula menakut-nakutkan wanita mengandung kononnya akan berdepan layanan buruk jika bersalin di hospital.


Pegawai perubatan yang mengkaji gerakan doula di Malaysia, Dr Mohd Syamirulah Rahim, berkata pada asasnya doula hanya anjur kursus mengenai proses kelahiran, namun kemudian ada menawarkan rawatan sehingga bersalin.
"Di negara kita, ada doula memberi tip mengarut semata-mata untuk menarik pelanggan. Mereka buka kelas dengan bayaran sehingga RM750, menggunakan modul diiktiraf sebuah badan doula asing.
"Peringkat awal kursus, wanita mengandung diajar asas sains, asas kelahiran, zikir serta aromaterapi, namun ia berubah pada sesi berikutnya jika ada pelanggan yang mudah dipengaruhi," katanya kepada BH.
Cipta ideologi sendiri
Dr Mohd Syamirulah yang juga pengasas Medical Mythbuster Malaysia, berkata ada doula menerapkan ideologi keterlaluan sehingga sanggup menolak kepakaran perubatan disediakan kerajaan.
"Doula di Malaysia adalah komuniti kecil, mereka mungkin bersaing untuk mendapatkan pelanggan. Mereka yang tidak bertanggungjawab akan mencipta ideologi sendiri, biasanya menggunakan nama Islam.
"Mereka mengajar perkara pelik yang biasanya bertentangan dengan prinsip perubatan moden untuk menarik pelanggan. Mereka melakukan segala-galanya, tetapi enggan bertanggungjawab jika ada komplikasi ketika proses kelahiran.
Kursus dalam talian
"Malah, ada doula menyediakan surat perjanjian untuk ditandatangani ibu mengandung," katanya sambil menambah, sesiapa sahaja boleh menjadi doula termasuk jururawat dan doktor.
Katanya, mereka hanya perlu mengikuti kursus dalam talian selama 21 jam tanpa ujian atau peperiksaan dengan bayaran AS$800 (RM3,149), disediakan oleh Amani Birth yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Langgar prinsip doula
"Apabila selesai kursus, mereka boleh buka kelas. Saya difahamkan, ada lebih 15 doula di Malaysia yang mendapat pengiktirafan Amani Birth, kebanyakannya mematuhi prinsip dan etika doula, hanya segelintir melanggar prinsip," katanya.
Seorang lagi pakar perubatan yang enggan dikenali berkata, satu gerakan ekstremis menolak kepakaran perubatan moden wujud di Malaysia sejak 2013 dan sudah menyebabkan kehilangan nyawa ketika proses kelahiran.
"Mereka tiada kepakaran asas rawatan atau perubatan untuk ibu mengandung, tidak seperti di AS dan United Kingdom yang ada badan khas mengiktiraf doula serta bekerjasama dengan pihak perubatan bagi memudahkan proses bersalin.
"Di Malaysia, sesetengah doula mencipta pelbagai dakyah untuk menarik pelanggan. Mereka promosi kelahiran natural birth dan kelahiran di rumah dengan mendakwa layanan teruk jururawat serta doktor jika di hospital," katanya.
Katanya, doula di Malaysia sebenarnya tiada pengetahuan perubatan dan hanya berpandukan pengalaman sendiri melahirkan anak, berbeza dengan doula di luar negara yang mengikuti kursus kejururawatan atau asas perubatan.
"Di negara kita, ada doula mungkin pernah mendapat layanan buruk di hospital ketika bersalin sehingga menjejaskan emosi mereka dan tidak mahu ia terjadi kepada wanita lain," katanya.
Beliau berkata, sesetengah doula menasihatkan wanita tidak mengambil rawatan atau ubat di hospital sepanjang tempoh mengandung, sebaliknya mengamalkan makanan sunnah sahaja.
"Malah mereka menasihatkan proses kelahiran dilakukan di rumah tanpa mengetahui bayi yang dikandung mungkin songsang. Begitu juga nasihat tidak memotong uri, sebaliknya meminta ia dibiarkan kering serta putus sendiri.
"Mereka tiada bank data seperti hospital atau klinik, tetapi mendakwa tahu segala-galanya. Akibatnya, ada bayi serta ibu menjadi korban," katanya.
Khidmat perlu pengawasan pakar
Penggunaan khidmat doula atau pembantu ketika bersalin, tidak boleh dilakukan tanpa pemerhatian doktor atau bidan yang terlatih, tegas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.
Zulkifli turut menjelaskan, melakukan sesuatu perbuatan yang membahaya atau mencalarkan kehormatan serta membabitkan harta atau jiwa umat Islam adalah tindakan kezaliman yang diharamkan Allah.
"Doula sebagaimana pengamalan di luar negara menggalakkan kelahiran bayi di hospital dengan dibantu oleh doktor, tetapi mereka (doula) tidak berperanan mengambil alih tugas bidan dan doktor terlatih.
Elak risiko kelahiran
"Ini kerana jika berlaku sebarang komplikasi seperti pendarahan selepas kelahiran, proses kelahiran yang memerlukan pembedahan, janin stres di dalam kandungan, tersangkut atau bayi songsang, ia memerlukan kemahiran tinggi oleh pakar.
"Jika tidak, ia mungkin boleh membawa kepada kematian ibu atau bayi atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi sesawang rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, semalam.
Zulkifli berkata, alasan tidak mahu bersalin di hospital kerana isu aurat tidak timbul dengan adanya seluar bersalin mesra aurat; hospital yang menawarkan khidmat bersalin dengan menutup aurat, di samping perlu difahami yang nyawa adalah jauh lebih penting maslahatnya, berbanding aurat dalam situasi berkenaan.
Menurutnya, meyakini dengan melahirkan anak di rumah, mencontohi Maryam AS adalah tidak benar kerana kejadian yang berlaku di zaman itu kehendak Allah untuk membuktikan kekuasaan-Nya.
"Apa yang diusahakan Kementerian Kesihatan jelas menunjukkan kejayaan dalam pengurangan kadar kematian ibu bersalin tahun demi tahun, begitu juga kadar kematian bayi.
Pergi ke tempat diiktiraf
"Bagi 2017, 12.5 kematian bayi dalam setiap 1,000 kelahiran, berbanding 12.9 pada 2016 dan 13.69 pada 2014.
"Pada masa sama, amat penting supaya penjagaan sejak mengandung dilakukan di tempat yang diiktiraf Kementerian Kesihatan, bukannya hanya melalui konsultasi doula semata-mata," katanya.
Kelmarin, media melaporkan Polis Johor sudah memulakan siasatan berhubung penularan berita kematian bayi yang baru dilahirkan yang disyaki mempunyai kaitan dengan amalan khidmat doula di rumah di Johor Bahru, baru-baru ini.
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd mengesahkan pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian itu selain turut menerima laporan polis dibuat wanita yang dipercayai doula terbabit.



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.