Minyak enjin dari sawit
Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan
minyak enjin Green Synthetic Engine Oil yang berkualiti mesra alam dengan menggunakan
stok asas utama iaitu Palm Oil Based Trimethylolropane (TMP) Ester .
TMP ialah ester metil minyak sawit bersifat mesra
alam dan meningkatkan biodegrasi. Minyak ini mengurangkan pencemaran alam,
tidak toksik, melindungi enjin untuk tempoh lama dan bersifat bio.
Ketua Penyelidik dari Jabatan Kejuruteraan Kimia dan
Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan UPM Prof Dr Robiah Yunus berkata, TMP ialah
ester sintetik yang boleh digunakan sebagai minyak asas bagi pelbagai jenis
pelincir termasuk minyak enjin.
Beliau berkata, minyak sawit bahan mentah untuk
menghasilkan ester TMP dengan menggunakan teknologi tekanan rendah untuk
memastikan ester TMP yang terhasil stabil pada suhu tinggi seperti dalam minyak
enjin.
“Ester TMP yang berada di pasaran kini dihasilkan
dengan tindak balas pengesteran menggunakan asid lemak sebagai bahan mentah.
“Ia mempunyai kualiti rendah kerana kandungan asid
yang tinggi dan kekurangan kestabilan oksidatif. Green Synthetic Engine Oil
dihasilkan melalui proses transesterifikasi (tindak balas kimia di antara
alkohol dan ester) menggunakan ester metil sawit sebagai bahan mentah.
“Penggunaan teknologi tekanan rendah memastikan
kestabilan haba dan oksidatif pada produk,” katanya pada sidang media selepas
Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau serta Produk Eko Antarabangsa (IGEM
2016) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.
Majlis pelancaran minyak berkenaan disempurnakan
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.
Hadir sama Naib Canselor UPM Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris.
Robiah berkata, penyelidikan yang bermula dari 2003
hingga 2013 itu membabitkan penyelidik antaranya Dr Ooi Tian lye, Dr Siti
Zubaidah Sulaiman, Dr Chang Teck Sin dan Dr Nurin Zulkifli.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pelincir khas perlu
digunakan pada enjin petrol untuk mengurangkan geseran, melawan pengoksidaan,
mengurangkan pembentukan bendasing dan mencegah hakisan.
“Satu formula khas telah dibangunkan dengan
menggunakan ester TMP dan bahan aditif terpilih untuk memenuhi keperluan
pasaran.
“Bahan api atau bahan api bio yang lain mudah dibakar
untuk membentuk karbon dioksida dan air selepas setiap penggunaan. Tetapi,
minyak enjin motor akan kekal sama selepas penggunaan beberapa ribu kilometer
(km) perbatuan.
“Minyak ini perlu diganti sekurang-kurangnya setiap
5,000km dan akan dikitar semula sehingga ia tidak dapat dikitar lagi dan perlu
dilupuskan,” katanya.
Robiah berkata, perkara itu membimbangkan kerana
petroleum berasaskan minyak enjin tidak mesra alam dan tidak terurai. Oleh itu,
penting untuk menghasilkan minyak yang boleh terurai supaya apabila dilupuskan
ia tidak mencemarkan alam sekitar.
“Penggunaan ester TMP sebagai minyak asas atau
campuran dalam minyak enjin biosintetik dapat meningkatkan biodegrasi dan
pelinciran minyak enjin.
“Minyak enjin ini direka untuk membantu meningkatkan
prestasi, kuasa pembersihan dan perlindungan enjin. Minyak ini juga
mengurangkan pencemaran alam sekitar yang berkaitan dengan produk petroleum.
“Ujian makmal menunjukkan minyak biosintesis produk
berkesan untuk melindungi enjin dan jentera. Ia juga berasaskan bio, mesra
alam, tidak toksik dan tidak terkumpul dalam organisma marin.
“Selain itu, minyak motor dan pelincir yang
dirumuskan dengan ester TMP juga boleh dikitar semula dan dilupuskan dengan
lebih bebas berbanding minyak berasaskan petroleum,” katanya.
Menurutnya, minyak enjin ini sesuai digunakan untuk
jentera pertanian dan kenderaan biasa kerana ia bersifat terbiodegrasi dan
dapat melindungi alam sekitar semasa tumpahan tidak sengaja atau pelupusan
haram.
“Teknologi untuk
menggunakan ester TMP dalam minyak enjin telah dilesenkan kepada D2O Resources
Sdn Bhd. Bagaimanapun, minyak enjin berdasarkan ester TMP masih di peringkat
percubaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.