Total Pageviews

Saturday, 3 March 2018

Trend kelahiran tidak selamat membimbangkan


Doula: Trend kelahiran tidak selamat membimbangkan – KKM

Oleh A'isyah Sukaimi



PUTRAJAYA: Walaupun kadar kelahiran selamat di Malaysia mencecah 98 peratus sejak 2009, sejak akhir-akhir ini arah aliran kadar kelahiran tidak selamat semakin membimbangkan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peratus kelahiran tidak selamat menurun daripada 24.8 peratus pada 1990 kepada 1.7 peratus pada 2012 dan 0.42 peratus pada 2016
"Akhir-akhir ini, terdapat pola yang membimbangkan, misalnya di Johor apabila ada peningkatan kadar kelahiran tidak selamat yang berkaitan dengan advokasi 'pro-natural birthing' atau 'gentle birthing' yang digerakkan oleh individu atau kumpulan dikenali sebagai 'doula' atau peneman kelahiran.
"Sepanjang tahun lalu, di Johor ada 58 kes yang didaftar sebagai kelahiran tidak selamat dengan lima daripadanya adalah kelahiran di rumah yang berkaitan dengan 'doula'.
"Lebih merisaukan, dua daripada kes itu adalah kes berisiko tinggi yang memerlukan kelahiran di hospital, namun memilih untuk bersalin di rumah selepas dihasut oleh pihak tertentu," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Dr Noor Hisham berkata, sebagai perbandingan, terdapat 35 kelahiran tidak selamat di Johor pada 2016 dan tiada kes berkaitan dengan 'doula' yang dilaporkan.
Mengikut statistik Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan, ada dua kematian ibu pada 2013 serta dua kematian bayi pada 2016 dan 2018 akibat kelahiran tidak selamat berkaitan dengan 'doula'.
Mengulas lanjut, beliau berkata, undang-undang mengawal selia amalan perbidanan, Akta Bidan 1966 [Akta 436] menyatakan iaitu selain daripada doktor, hanya anggota kesihatan terlatih dalam bidang perbidanan dan berdaftar dengan Lembaga Bidan Malaysia sahaja yang boleh mengendalikan kelahiran.
"Subseksyen 14(1) Akta 436 memperuntukkan mana-mana individu yang mengamalkan amalan perbidanan tanpa pendaftaran mengikut akta itu adalah melakukan kesalahan yang boleh dihukum dengan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.
"Namun, peruntukan kesalahan mengikut Akta 436 itu tidak mempunyai peruntukan penguat kuasaan dan biasanya ia dikuatkuasakan oleh polis.
"Dalam hal ini, kerjasama polis untuk menjalankan siasatan terperinci serta mengambil keterangan semua pihak adalah diperlukan," katanya.
Sebelum ini, pihaknya sudah mempertimbangkan tindakan undang-undang melalui Akta Bidan 1966, namun sering kali 'doula' mendakwa mereka tidak terbabit secara aktif dalam proses kelahiran seperti yang ditakrifkan dalam akta, sebaliknya hanya memberikan sokongan moral dan motivasi.
Bagaimanapun, katanya, jika berlaku komplikasi dan kematian, waris atau wanita yang melahirkan itu sendiri boleh mempertimbangkan tuntutan sivil di mahkamah terhadap 'doula' jika terdapat bukti komplikasi atau kematian akibat tindakan atau kelakuan 'doula' terbabit.
Beliau berkata, masyarakat termasuk anggota kesihatan yang mempunyai bukti pembabitan mana-mana individu mengendalikan kelahiran tanpa tauliah termasuk 'doula', suami atau ahli keluarga kepada ibu mengandung itu perlu tampil membuat laporan polis dan memaklumkan kepada Kementerian Kesihatan supaya siasatan dapat dijalankan dan tindakan dapat diambil terhadap individu itu sekiranya disabitkan kesalahan.
"Jabatan Kesihatan Negeri, hospital atau klinik berkaitan serta anggota kesihatan selaku saksi bersedia tampil memberi kerjasama penuh terhadap siasatan polis," katanya.
Berhubung kes kematian bayi di Johor, Dr Noor Hisham berkata, belum ada kakitangan kesihatan yang dipanggil polis bagi memberi keterangan berhubung kes berkenaan yang dikatakan menjalani kelahiran tidak selamat.
"Kita mempunyai bukti dan saksi bagi kes itu, Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru turut mengemukakan laporan kepada polis.
"Kementerian Kesihatan mengesahkan bayi itu meninggal dunia akibat sesak nafas (asphyxia) selepas kepala bayi tersangkut pada perineum ibu ketika melalui kelahiran songsang (breech delivery, footling presentation) di rumah pada 4 Februari lalu.
"Kelahiran bayi itu disambut oleh individu yang bukan anggota kesihatan dan tidak bertauliah untuk mengendalikan kelahiran bayi," katanya.





No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.