Madu Tiruan
Kenyataan Akhbar
KPK 20 November 2017
Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum artikel bertajuk “Madu diabetes” yang
disiarkan melalui akhbar Berita Harian pada 19 November 2017. Artikel tersebut
menyatakan kira-kira 80% pasaran madu lebah di negara ini adalah madu tiruan
dan hasil kajian makmal didapati madu tiruan diperbuat daripada gula, kanji dan
tepung jagung yang boleh memudaratkan kesihatan pengguna terutamanya pesakit
diabetes.
Madu merupakan sejenis manisan yang
dihasilkan oleh lebah menggunakan nektar bunga. Peraturan 130,
Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983 telah menetapkan
antaranya madu hendaklah mengandungi tidak kurang daripada 60% gula penurunan
(reducing sugars) dan mempunyai kandungan gula sukrosa tidak melebihi daripada
10%.
KKM memandang serius ke atas penjualan madu
tiruan di pasaran. Hasil pemantauan KKM melalui Bahagian Keselamatan dan
Kualiti Makanan dari tahun 2016 sehingga kini, sebanyak 77 sampel produk madu
dengan pelbagai jenama telah diambil di pasaran tempatan. KKM mendapati bahawa
tujuh (7) sampel produk (9.1%) tidak mematuhi standard yang ditetapkan di bawah
Peraturan-Peraturan Makanan 1985. KKM telah mengambil tindakan penguatkuasaan
di mana syarikat berkenaan telah diarahkan menarik balik produk terbabit dari
pasaran dan tindakan mahkamah telah diambil.
Manakala 5-hydroxymethylfurfural (HMF) merupakan
bahan organik yang terhasil dari hidrolisis gula akibat pemanasan, penyimpanan
pada suhu yang tinggi atau tempoh jangkamasa penyimpanan yang lama. Bahan ini
lazimnya digunakan sebagai petunjuk kualiti madu dan kandungannya akan
meningkat apabila suhu meningkat dan tempoh penyimpanan bertambah.
Menurut the Federal
Institute for Risk Assessment (BfR), Germany, HMF tidak
memberikan kesan toksik kepada kesihatan manusia.
Seksyen 13B(2)(e), Akta Makanan 1983
memperuntukkan mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan
yang tidak mematuhi standard atau spesifikasi yang ditetapkan oleh mana-mana
peraturan di bawah Akta Makanan 1983 adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila
disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama
tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.
KKM akan terus menjalankan pemantauan ke atas
produk madu dan sekiranya didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983, tindakan
penguatkuasaan akan diambil.
KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap
perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna
mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila
hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau
melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian
Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.
Sekian, terima kasih.
DATUK
DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA
PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
20
NOVEMBER 2017
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.