Total Pageviews

Saturday, 3 March 2018

Pokok Berdamar


Pokok Berdamar

Gaharu khazanah tidak ternilai




KOTA BELUD 15 Okt. - Pokok gaharu mengingatkan kita kepada pantun dua kerat 'sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula'. Pantun tersebut turut memberi gambaran bahawa gaharu merupakan hasil hutan yang tidak asing lagi jika dikaitkan dengan nilai komersial.

Gaharu yang turut dikenali sebagai pokok depu atau karas merupakan sejenis kayu berdamar yang kini diwartakan sebagai pokok terancam.

Atas kesedaran itu, Wal Belah, 40, dari Kampung Tambilaung mengesyorkan setiap penduduk Malaysia menanam sekurang-kurangnya lima pohon gaharu demi kelestarian pokok itu atau untuk dijadikan sumber pendapatan lumayan.

Menurutnya, jika pokok itu dijadikan sumber pendapatan, hanya dalam tempoh enam atau tujuh tahun, boleh memberi pulangan sekurang-kurangnya RM15,000 dan jika kena dengan kaedah penjagaannya, boleh mencecah RM50,000 sepohon.

Namun, sejak tamat menjalani latihan pertanian selama setahun di Nisshi-Nippon Training Centre, Kyusu Foukoka, Jepun pada April 2002, perhatian Wal lebih cenderung kepada pemuliharaan gaharu dan hasil hutan lain.

"Selama di Jepun, saya melihat bagaimana penduduk di sana menghargai alam sekitar dan perkara tersebut benar-benar membuat saya lebih berazam untuk menjaga hasil hutan secara semula jadi apabila pulang ke tanah air," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Pemanasan global, katanya, adalah berpunca kerakusan manusia sendiri kerana tidak bijak mengurus hasil hutan secara mampan dan sikap mereka yang mula melupakan kepentingan hutan dalam kitaran kehidupan seharian.

Menurut Wal, keluarganya yang tinggal di kampung berkenaan mempunyai beberapa bidang tanah kaya dengan gaharu dan beberapa pokok induk gaharu berusia ratusan tahun di salah satu kawasan bukit dalam rangkaian Banjaran Croker.

Kerana kecintaan terhadap hutan, keluarganya menyerahkan pengurusan kawasan itu kepada Wal. Kecenderungannya dalam mencintai hutan dapat dilihat apabila dia membiarkan pokok gaharu tumbuh sendiri tanpa gangguan bersama pohon lain.

Jika melihat anak-anak pokok gaharu itu tidak mempunyai harapan untuk tumbuh sempurna, Wal akan mencabutnya dan dibawa pulang sebelum menanam semula ke dalam polibeg.



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.