Total Pageviews

Friday, 5 July 2019

Jalan keluar Andartu




Jalan keluar Andartu



Sunnatullah

Sudah menjadi sunnatullah, setiap makhluk yang Allah jadikan itu hidup berpasangan-pasangan. Adam dijadikan berpasangan dengan Hawa, haiwan jantan berpasangan dengan betina, bunga jantan dengan bunga betina, demi untuk mengembang-biak keturunan masing-masing di muka bumi Allah ini. Allah swt berfirman yang bermaksud:
“Allah menjadikan isteri untukmu dari jenismu jua, dan kemudian dijadikannya dari isterimu itu anak atau cucu dan diberikannya kamu rezeki dari yang baik-baik.”

Firman Allah lagi:
“Dan berkembang-biaklah dari keduanya lelaki dan perempuan yang banyak sekali.”

Perempuan akan menderita jika masih belum berpasangan sedangkan usia sudah semakin lanjut. Apatah lagi jika menerima gelaran “andartu” atau anak dara tua. Mereka tidak rela menerima gelaran itu.


Fakta
Menurut laporan setakat ini seramai lebih kurang 600,000 wanita berusia antara 30 hingga 34 tahun yang masih belum berkahwin. Ini tidak termasuk wanita yang berstatus janda. Masalah andartu mesti diselesaikan segera kerana ia boleh menjejaskan kestabilan masyarakat dengan timbulnya masalah sosio-ekonomi. Tambahan pula, masalah andartu boleh menjerumuskan kaum wanita ke lembah maksiat.
Sebenarnya, tidak ada perempuan yang sanggup digelar andartu. Masalah andartu bukanlah masalah peribadi bagi mereka yang terlibat sahaja, tetapi ia adalah masalah bersama. Ia adalah masalah masyarakat, masalah ummah. Kita mestilah mengkaji dan mencari langkah-langkah terbaik untuk mengatasinya. Tidak sewajarnya kita hanya menggelar, mengejek dan menghina, tetapi eloklah ditinjau akar-umbi masalah mereka sekaligus selesaikan masalah itu dengan jalan sewajarnya.

Faktor
Terlalu banyak faktor yang menyebabkan wanita yang menjadi andartu. Antara golongan wanita yang tidak kahwin adalah perempuan-perempuan intelek kota serta mempunyai status yang tinggi.
Golongan wanita intelektual ini telah ditempatkan pada kedudukan yang tinggi dalam masyarakat. Kadangkala sebagai boss di pejabat, pengarah, ketua jabatan, ketua unit, pegawai eksekutif profesional, peguam, jurutera, ahli sains, pensyarah, doktor dan lain-lain jawatan yang dulunya dipegang oleh kaum lelaki.
Walaupun pada zahirnya kelihatan mereka mempunyai banyak keistimewaan kerana kedudukan yang tinggi itu, tetapi hidup mereka sedikit demi sedikit mula rasa terasing. Pergaulan mereka mengecil terbatas di kalangan orang-orang atasan sahaja.
Wanita-wanita “istimewa” ini berharap mereka akan bertemu jodoh dengan lelaki golongan atasan juga.
Malangnya ini tidak berlaku. Wanita yang berkedudukan tinggi selalunya mudah ditimpa penyakit ego, suka memerintah dan tidak suka diperintah.
Keterbiasaan mereka memerintah orang-orang bawahan memungkinkan mereka bersifat sama tatkala bila dengan suami. Ini yang menyebabkan lelaki ragu ragu, curiga untuk beristerikan wanita berkedudukan tinggi.
Justeru gadis-gadis kampung atau gadis-gadis bandar yang sederhana lebih menjadi idaman lelaki berstatus tinggi.
Wanita yang berprofesion cenderung lebih menyayangi kerjayanya daripada mengutamakan mendiri rumahtangga. Mereka takut terkongkong, terbantut karier. Bagi mereka, kononnya beban kerja lebih ringan daripada bebanan rumahtangga.
Protokol kerja dan prosedur keperluan belajar juga menyekat wanita dari berkahwin di usia muda. Contohnya, seorang paramugari yang berumahtangga tidak dibenarkan bekerja di atas kapalterbang. maklumlah, selepas kahwin badan sudah hilang bentuk potongannya, mengandung pula, hendak fikir anak dan suami.
Oleh itu, kerana wanita sekarang suka pekerjaan yang mencabar, mereka lebih suka menangguhkan perkahwinan hingga mereka tidak sedar telah lewat usia.
Masalah andartu juga kadang-kadang berpunca dari sikap ibu bapa. Ada ibu bapa yang bersikap memandang bulu dalam soal memilih menantu ini. mereka rela anak dara mereka terperap di rumah dari bersuamikan lelaki yang tidak sama darjat dan keturunan serta berjawatan tinggi. Kononnya takut status jatuh atau takut anak teraniaya.
Kadang-kadang sikap “pilih bulu” ini datang daripada orang perempuan sendiri. Mereka menjadi terlalu pemilih disebabkan sikap kebanyakan kaum lelaki yang ada pada hari ini. Kehidupan seharian orang lelaki moden yang suka berpoya-poya, curang, akhlak buruk, merokok, tidak bertanggungjawab, menyebabkan kaum wanita berfikir banyak kali sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.
Apakah bakal suaminya itu setia? Apakah dia bertanggungjawab? Apakah dia penyayang? Was was keraguan ini akhirnya mendorong wanita bersikap pesimis atau “tawar hati” untuk berkahwin.
Sukar hendak cari lelaki bertanggungjawab lebih-lebih lagi yang kuat beragama di zaman ini. Justeru itulah wanita sanggup bergelar andartu daripada tersilap pilih, agar tidak menyesal di kemudian hari. Cuma yang kita takuti, pilih punya pilih terpilih punggung cawan!
Ada juga wanita yang tidak mahu berkahwin kerana pernah melalui peristiwa pahit dalam hidupnya, yang menyebabkan dia serik untuk menempuh alam rumahtangga. Kisah cerai-berai, pertengkaran dan penganiayaan rumahtangga yang terjadi di sekitar hidup mereka selalunya menimbulkan kesan resah yang sangat mendalam dalam jiwa kaum wanita, hingga boleh menyebabkan mereka tawar hati untuk berkahwin. Dan ada juga yang tidak mahu kahwin kerana putus cinta (frust).
Yang belajar dengan pinjaman dan biasiswa terikat pula dengan protokol perjanjian belajar. Mereka tidak boleh kahwin selagi belum tamat belajar. Masalah ini melibatkan pelajar-pelajar yang belajar di luar negeri. Cara hidup barat yang lepas bebas mencabar sifat fitrah manusia yang inginkan perkahwinan.
Tapi apakan daya pintu perkahwinan secara halal dan terhormat disekat. Perkahwinan yang halal dilarang, buat maksiat tidak apa. Hadis Nabi saw yang bermaksud:
“Tidak ada suatu dosa di sisi Allah sesudah syirik yang lebih besar daripada seorang laki-laki yang menumpahkan maninya ke dalam rahim (perempuan) yang tidak halal baginya.”
Seperkara lagi yang menggalakkan pertambahan bilangan andartu dalam masyarakat hari ini adalah belanja kahwin yang tinggi. Belanja kahwin ini turun naik macam turun naiknya harga barang. Apakah nilai anak perempuan sanggup kita samakan dengan harga barang?
Kalau harga getah, kelapa sawit, koko naik, belanja kahwin juga turut naik. Apakah nilai perkahwinan itu sudah jadi seperti jual beli barang? Belanja kahwin seorang perempuan yang berpelajaran tinggi misalnya meningkat menjadi RM8,000.00. kalau yang kerja kampung RM4,000.00. Ada ibu bapa yang kekar menuntut begitu. Kalau yang berjawatan dan bergaji besar, lagi tinggilah hantarannya? Ini semua menghalang wanita daripada berkahwin cepat.
Persoalan andartu ini sebenarnya adalah salah satu faktor yang menyebabkan perkembangan maksiat dalam masyarakat. Iaitu akibat dari meranjau susahkan perkahwinan yang halal. Bila saluran  halal di sisi Allah swt disekat, timbulah berbagai-bagai krisis dalam masyarakat dan menggalakkan perkara-perkara yang mendorong pelepasan kehendak secara haram.
Kalau semua pihak berlapang dada mengikut panduan saranan syariat Islam, tidak dicampur budaya Melayu yang bidaah, perkahwinan akan jadi mudah. Hanya manusia yang beriman sahaja dapat menyalurkan keperluan nalurinya secara yang diredhai Allah, selamat, sejahtera, bahagia, dunia dan akhirat.
Begitulah tenatnya masalah andartu ini jika tidak cuba diselesaikan atau cuba diselesaikan tetapi tidak mengikut kaedah yang ditetapkan oleh Allah swt. namun, masih ada pihak-pihak yang menganggap masalah andartu ini sambil lewa, remeh-temeh dan tidak perlu diambil perhatian berat. Kalau sebut bab poligami kita cepat melenting walaupun ia halal dibolehkan di sisi agama. Di dalam Quran Nabi Daud beristerikan 99 wanita manakala Nabi Sulaiman ada diriwayatkan beristeri berjumlah melebihi dari 700 isteri, sebelum hukum maksimum beristeri 4 diturunkan melalui Al Quran.


Jalan Penyelesaian
“Wanita adalah tiang negara, bila ia baik, baiklah negara. Dan bila ia rosak, maka rosak pula negara.”
Justeru, penyelesaian yang utama untuk menyelesaikan masalah andartu ini adalah dengan mengatur perkahwinan mengikut syariat tanpa menyusahkan mana-mana pihak. Sabda Nabi Besar saw yang diriwayatkan oleh Bukhari-Muslim:
“Hai golongan pemuda, barangsiapa di antara kamu telah sanggup kahwin maka kahwinlah, kerana berkahwin itu lebih menundukkan mata dan lebih memelihara faraj.”
Kalau ikut syarat, perkahwinan ini terlalu mudah untuk dilaksanakan. yang penting lima rukun nikah dipenuhi iaitu: 1. Pengantin perempuan 2. Pengantin lelaki 3. Wali, 4 Saksi dan 5. Ijab dan kabul.
Mas kahwin bukannya rukun nikah. Ia boleh berbentuk cincin seperti yang pernah dilakukan di zaman Rasulullah. Sabda Rasulullah saw:
“Carilah mas kahwin walau hanya cincin besi.”
Belanja kahwin pula boleh dirundingkan. Sepatutnya kenduri kahwin hendaklah dibuat atas dasar kemampuan dan bukan sesekali untuk tujuan bermegah-megah atau menunjuk nunjuk.
Perkahwinan boleh diatur dengan berbagai cara yang tepat dan cepat. Ia boleh diatur oleh badan khas sesuai dengan keistimewaan pasangan tersebut. Contohnya, kalau individu itu seorang guru kemungkinan bakal isterinya juga seorang guru. Kayu ukur dalam seluruh tindakan dan membuat keputusan ialah syariat, bermula daripada memilih jodoh, peminangan, majlis pernikahan, kenduri kendara dan seterusnya.
Perkahwinan dalam Islam boleh dilaksanakan dengan berbagai bagai cara dalam usaha menyelesaikan masalah andartu antaranya: – Melalui persetujuan ibu bapa kedua belah pihak.
– Peminangan pihak lelaki dengan pihak perempuan.
– Pinangan pihak perempuan terhadap lelaki.
– Menganjurkan perkahwinan antara bangsa dengan tujuan menyebarkan ajaran Islam.
– Mempercepatkan perkahwinan bagi mereka yang telah layak dan mampu.
– Merendahkan belanja perkahwinan dan elakkan perkara-perkara yang menyusahkan dan membazir.
– Memahami peranan poligami yang diharuskan ( boleh menjadi wajib, bergantung kepada suasana keadaan ) dalam Islam.
Semua jalan-jalan perkahwinan yang disebutkan di atas boleh diatur sama ada perkahwinan monogami atau poligami.
Bila matlamat perkahwinan kita jelas kerana Allah semata-mata, maka poligami atau monogami tidak jadi masalah. Firman Allah swt yang bermaksud:
“Hai manusia! Patuhlah kepada Tuhanmu, yang menjadikan kamu dari diri yang satu (jenis) dan menjadikan isterinya dari jenisnya (bangsanya) sendiri, dan kemudian Tuhan memperkembang-biakkan dari keduanya, laki-laki dan perempuan yang banyak.”
Di zaman teknologi moden sekarang ini, ada yang menggunakan mesin komputer untuk mengatur perkahwinan.
Apakah manusia sudah tidak punya hati, akal dan perasaan hingga terpaksa menyerahkan keputusan dan pilihan teman hidupnya kepada komputer yang tidak berakal?
mana pertimbangan agama dan Iman?
Oleh itu kembalilah kepada Islam dalam urusan perkahwinan ini.
Mudah dan senang.
Didikan agama dari kecil adalah penting. Dan apabila tiba masa yang ia telah layak berkahwin, bekalan ilmu, iman dan rezekinya telah tersedia.
Ia mampu menjadi isteri atau suami yang baik di sudut rohani dan jasmani sebaik sahaja meningkat dewasa.
Dan detik itu tidak boleh disia-siakan melainkan mesti dipergunakan…. kahwinkan mereka segera!
Dengan didikan agama itu juga dapat melindungi diri kita dari tergelincir ke lembah dosa.
Tidak akan timbul lagi masalah andartu. Dan jika berlaku juga, itu merupakan ujian sementara sebelum Allah berikan jodoh yang sesuai, dan terimalah ianya.
Oleh itu, masalah andartu ini boleh diselesaikan bila manusia kembali kepada agama. Sebaiknya segera anda dapat berjumpa ustaz yang anda percaya supaya dapat ia memberi pandangan serta nasihat apa jalan penyelesaian tepat untuk kebaikan anda.
Semoga anda dipermudahkan dan mendapat rahmat Allah.
Barulah hati akan tenang menyedari bahawa kelebihan berkahwin dapat menyelesaikan banyak penyakit yang berpunca dari kehendak gelora naluri.
Maka, selamatlah diri, aman agama dan luruslah masyarakat.
Jika dari awal lagi kita mengikut syariat Islam, dengan mempelajari ilmu agama, menutup aurat, menjaga akhlak, InsyaAllah jodoh akan datang dengan cepat dan pasti membawa berkat!
Rencana ini dipetik dari :








..

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.