Total Pageviews

Friday 5 July 2019

Jual Madu Palsu



Kenyataan Akhbar KPK 17 Ogos 2016 – Isu Penjualan Madu Palsu







Kementerian Kesihatan mengambil maklum laporan oleh akhbar Kosmo  pada 15 Ogos 2016 di mukasurat 3 bertajuk “Lambakan madu palsu, sintetik” dan pada 16 Ogos 2016 di mukasurat 2 bertajuk “Kandungan toksik bawa maut“. Laporan tersebut menyatakan bahawa 80% madu yang dijual di negara ini merupakan madu palsu berdasarkan kandungan hydroxymethyl fulfural (HMF) yang terlalu tinggi dan aktiviti enzim yang kurang daripada paras yang ditetapkan oleh standard antarabangsa. Madu palsu ini didakwa boleh mengundang pelbagai penyakit dalam jangka masa panjang.







 Gambar: Kosmo


Kementerian Kesihatan ingin menjelaskan bahawa kandungan HMF merupakan indikator kualiti madu dan kandungannya akan meningkat apabila suhu meningkat dan tempoh penyimpanan bertambah. Menurut The Federal Institute for Risk Assessment (BfR), Jerman, HMF tidak memberikan kesan toksik kepada kesihatan manusia.


Peraturan 130, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983 menetapkan standard bagi madu. Kegagalan mematuhi peraturan tersebut adalah satu kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara tidak melebihi tempoh dua (2) tahun.


Kementerian Kesihatan telah menjalankan pemantauan ke atas madu tempatan di peringkat pemprosesan dan sehingga kini, hasil pemantauan menunjukkan bahawa satu (1) sampel tidak mematuhi standard yang ditetapkan di bawah Peraturan 130, Peraturan-Peraturan Makanan 1985. Kementerian Kesihatan akan meneruskan pemantauan bagi memastikan madu yang dijual di pasaran adalah tulen.


Selain itu, Kementerian Kesihatan telah memperkenalkan Skim Pensijilan Makanan Autentik bagi madu mulai 19 Januari 2016. Pengeluar madu adalah digalakkan untuk menyertai skim ini. Maklumat lanjut mengenai skim tersebut boleh didapati di laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan http://fsq.moh.gov.my .


Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai agar membuat  aduan mengenai penjualan madu yang disyaki palsu di Jabatan Kesihatan Negeri atau  Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq.



DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
   

17 Ogos 2016




.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.