Kenyataan
Akhbar KPK 31 Mei 2019 – Buah “Baby Nanas” Jenama Dragon King dari Thailand
yang Tular Didakwa Mengandungi Siklamat Tidak Dieksport ke Malaysia
By DG of Health on May 31, 2019
Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada isu buah “baby nanas” jenama
Dragon King dari Thailand yang didakwa mengandungi siklamat yang tular di media
sosial. Isu ini juga pernah tular di media sosial pada tahun 2017.
Berdasarkan
semakan data melalui Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (Food Safety Information System of
Malaysia-FoSIM) dari tahun 2017 sehingga kini, buah “baby nanas”
jenama Dragon King dari Thailand tidak dieksport ke Malaysia.
Menurut
The Joint FAO/WHO Expert
Committee on Food Additives (JECFA),
siklamat adalah sejenis pemanis tanpa zat yang memberikan rasa manis 30-50 kali
ganda lebih daripada gula sukrosa. Peraturan-Peraturan Makanan 1985 tidak
membenarkan penggunaan siklamat dalam buah-buahan segar termasuk yang telah
dikupas atau sedia dimakan.
KKM
telah meningkatkan pemantauan buah nanas import di pintu masuk negara dari
tahun 2017 sehingga kini, di mana sejumlah 65 sampel buah nanas telah diambil
bagi tujuan analisa pelbagai parameter seperti bahan pemanis (termasuk
siklamat), bahan pengawet dan residu pestisid. Kesemua sampel tersebut adalah
mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.
KKM
akan meneruskan pemantauan ke atas semua buah nanas di semua pintu masuk negara
bagi memastikan ianya mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di
bawahnya. Sekiranya didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan
peraturan-peraturan di bawahnya, tindakan penguatkuasaan akan diambil.
Semua
makanan yang dieksport ke negara ini perlu mematuhi Akta Makanan 1983 dan
peraturan-peraturan di bawahnya. Adalah menjadi tanggungjawab pihak yang
terlibat seperti pengimport, agen, penjual dan sebagainya untuk memastikan
produk makanan yang diimport dan dijual di pasaran mematuhi perundangan
makanan.
Seksyen
13(B) Akta Makanan 1983 memperuntukkan tiada seorang pun boleh menyediakan atau
menjual apa-apa makanan yang diadukkan dengan mengandungi apa-apa bahan
penambahannya tidak dibenarkan di bawah Akta Makanan 1983 atau
peraturan-peraturan di bawahnya. Sesiapa yang didapati melanggar peruntukan ini
adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi
RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya
sekali.
KKM
sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam
kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung
sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan
Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook
Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
31 MEI 2019
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.