Allahyarham Mohamed
Soleh Ali lebih mesra panggilan Tok Ayah turut menyimpan tongkat yang
dihadiahkan kepadanya oleh bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz
Nik Mat.
PASIR MAS – Warga
emas yang didakwa berusia 161 tahun meninggal dunia pada jam 9.45 malam
kelmarin di rumahnya di Kampung Pohon Gelugor, di sini, selepas demam selama
tiga hari.
Anaknya, Osman Mat
Salleh, 61 memaklumkan, Allahyarham Mat Salleh Ali atau lebih mesra dengan
panggilan tok ayah tidak pernah menghidap apa-apa penyakit dan masih kuat
menjalani aktiviti harian sebelum ini.
Menurutnya, hanya
beberapa hari lalu, Mat Salleh demam secara tiba-tiba dan pada waktu malam,
keluarganya melihat Mat Salleh sudah tidak bermaya.
“Sepanjang waktu
ayah demam, dia hanya berzikir dan kemudiannya pergi meninggalkan kami. Ayah
dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Batu pada jam 11 pagi ini
(semalam),” katanya.
Allahyarham Mat
Salleh merupakan anak kedua daripada enam beradik serta merupakan salah seorang
daripada tiga yang berumur panjang sebelum dia menghembuskan nafas terakhir
dengan meninggalkan lebih 50 cucu, 20 cicit dan 10 piut.
Dalam laporan Sinar
Harian sebelum ini, Allahyarham Mat Salleh mendakwa lahir pada tahun sama
pahlawan Kelantan, Mat Hassan Panglima Mat Munas atau Tok Janggut dilahirkan,
iaitu pada 1853 walaupun tarikh lahir dicatatkan pada kad pengenalannya ialah
18 Disember 1919.
Allahyarham Mat
Salleh juga mendakwa mempunyai 12 anak dengan enam daripadanya masih hidup
termasuk anak sulungnya yang dikatakan telah berusia lebih 80 tahun dan kini
menetap di Kerambit, Pahang.
Allahyarham pernah
menceritakan, dia sudah mempunyai tiga anak sebelum penjajahan Jepun di Tanah
Melayu, empat anak semasa era penjajahan Jepun namun enam daripada mereka telah
meninggal dunia.
Antara yang pernah
diceritakan oleh Allahyarham adalah perkahwinannya dengan lebih 30 wanita namun
tidak dapat memastikan bila kali terakhir dia mendirikan rumah tangga.
Allahyarham juga
turut berkongsi rahsia kesihatannya yang sering mengamalkan minum air daripada
perigi, tidak mengambil minuman berais, tidak menggunakan tilam ketika tidur
dan pantang mengambil ubat sejak kecil.
Mat Salleh yang
merupakan tukang rumah pada usia belianya juga dikenali dengan ketinggian ilmu
agama serta amalan rohani dan telah mendapat pendidikan awal di sebuah
institusi pondok di daerah ini. Sinar Harian
[signoff1]
Laporan
Harakahdaily: Tok Guru Nik Aziz kunjungi lelaki berusia 160 tahun
TANAH MERAH:
Penglihatan masih lagi jelas, pendengaran pun sempurna. Giginya masih yang asal.
Lebih aneh lagi mampu berjalan kaki berbatu-batu biar pun usianya mungkin
tertua di dunia iaitu 160 tahun.
Percaya atau tidak,
namun Tok Ayah mendakwa melalui pengalaman di bawah 13 Sultan yang memerintah
Kelantan.
Malah kisah hidup
pahlawan dan perjuangan Mat Kilau pun diketahui dengan jelas. Pengalaman di
bawah penjajahan Inggeris dan Jepun masih diingati sehingga sekarang.
Wajahnya tidak
berkedut seperti warga emas lain. Mohamed Soleh Ali lebih mesra panggilan Tok
Ayah memberitahu ketika penjajahan Jepun beliau mempunyai tiga anak.
Kesemua anaknya 13
orang dan sekarang hanya tinggal lima. Begitu juga kesemua 13 isterinya juga
sudah meninggal dunia.
Anggota
keluarganya, Stapa Ismail, 61 berkata, kegemaran Tok Ayah dari muda sehingga
sekarang berjalan kaki ke mana sahaja.
“Dia pernah
memberitahu berjalan kaki ke Johor, Pahang dan Terengganu semasa muda. Sekarang
masih lagi mampu berjalan kaki ke bandar Pasir Mas,” katanya di sini.
Tok Ayah tinggal di
Kampung Gelugur, Bukit Panau kelmarin dikunjungi Mursyidul PAS, Tuan Guru Datuk
Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Mantan Menteri
Besar itu juga menghadiahkan tongkatnya kepada Tok Ayah di samping wang.
Stapa memberitahu
paling aneh anak dan cucunya tidak tahu ke mana Tok Ayah pergi setiap hari,
namun ketika pulang ada sahaja makanan yang dibawanya.
“Malah ada ketika
anaknya nampak Tok Ayah naik kereta pergi, namun tidak lama kemudian dilihat
ada di dalam rumah.
“Banyak sebenarnya
kisah pelik kalau hendak cerita tentang Tok Ayah. Apa yang saya tahu sejak
dahulu sehingga sekarang dia tidak bekerja tetap dan hanya tahu berjalan
sahaja.
“Namun tangannya
sentiasa ada buah tasbih. Tok Ayah hanya meminum air telaga yang tidak dimasak.
Kalau orang bagi duit kepadanya dia akan bagi kepada orang lain pula,” katanya.
Cucu Tok Ayah pun
ada yang sudah berusia lebih 60 tahun.
Sementara itu tidak
jauh daripada kampung tersebut juga ada seorang wanita berusia 126 tahun,
sekarang tinggal bersama anaknya di Kampung Kubang Kerian, Bukit Panau.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.