Total Pageviews

Saturday 12 November 2016

Ais Kotor

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
KENYATAAN AKHBAR KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
ISU AIS KOTOR DI PASARAN


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan akhbar Sinar Harian pada 10 dan 11 Oktober 2016 serta laporan akhbar Malay Mail pada 11 Oktober 2016 mengenai dakwaan ais yang dijual di pasaran adalah kotor dan dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan pengguna.

KKM ingin menegaskan bahawa di bawah Peraturan 394A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 semua kilang ais perlu dilesenkan oleh KKM dan mana-mana kilang ais yang tidak berlesen akan dikenakan tindakan penguatkuasaan. Dalam hal ini, pemilik kilang ais yang beroperasi tanpa lesen dari KKM boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua (2) tahun. Sehingga kini, terdapat 118 kilang ais berlesen dengan KKM di seluruh negara manakala 21 kilang ais masih dalam proses kelulusan lesen.

KKM juga sentiasa menjalankan pemantauan ke atas kilang ais yang beroperasi di negara ini bagi memastikan pengilang ais mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Di antara perkara penting yang diperiksa dan perlu dipatuhi oleh pengusaha kilang ais adalah seperti tiada haiwan di premis, peralatan yang bersih, sumber air yang bersih, amalan pengendalian ais yang bersih dan pengendali makanan yang mendapat suntikan anti-tifoid.

Pada tahun 2015, sebanyak 304 pemeriksaan ke atas kilang ais telah dijalankan dan 17 kilang ais telah diambil tindakan penguatkuasaan. Manakala pada tahun 2016 sehingga bulan Ogos, sebanyak 225 pemeriksaan ke atas kilang ais telah dijalankan dan 25 kilang ais telah diambil tindakan penguatkuasaan.

Sekiranya pengguna, pihak media dan lain-lain pihak mempunyai maklumat kilang ais yang beroperasi dalam keadaan yang kotor, mereka adalah diminta untuk membuat laporan berserta maklumat yang lebih terperinci termasuk lokasi dan nama kilang berkenaan kepada KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq. Ini dapat membantu siasatan dijalankan bagi memastikan kilang tersebut mengikut piawaian yang ditetapkan dan dapat menjamin keselamatan pengguna.

Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

13 Oktober 2016


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.