AMARAN KEPADA ORANG
AWAM MENGENAI PENGAMBILAN PRODUK TIDAK BERDAFTAR ‘HAI LENG HAI BEH HERBAL ITCH
REMOVING CAPSULE’
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum
laporan akhbar Sin Chew Daily pada 5 Mei 2016 bertajuk ‘Female Accountant
Experienced Moon Face and Weight Gain (8kg) after Consuming Anti-Itch Pill’
yang telah melaporkan tentang amaran oleh pihak Health Sciences Authority
(HSA), Singapura yang dikeluarkan kepada orang awam agar tidak mengambil produk
dengan nama ‘Hai Leng Hai Beh Herbal Itch Removing Capsule’ (‘海龙海马止痒丸’).
Produk ini dikesan mengandungi bahan campurpalsu
iaitu dexamethasone, chlorpheniramine dan paracetamol yang boleh menyebabkan
kesan sampingan yang serius.
Laporan tersebut menyebut bahawa seorang wanita
berumur 40 tahun telah mengalami kesan sampingan peningkatan berat badan yang
mendadak dan muka membulat setelah menggunakan produk tersebut selama dua (2)
bulan untuk masalah kegatalan kulit.
BAHAN CAMPURPALSU YANG DIKESAN DALAM PRODUK
Ketiga-tiga bahan yang dikesan adalah tidak dibenarkan dalam produk tradisional
di Malaysia.
Dexamethasone dan chlorpheniramine adalah ubat yang
dikawal di bawah Akta Racun 1952 manakala paracetamol pula merupakan ubat di
bawah kategori over the counter (OTC).
i. Dexamethasone adalah sejenis kortikosteroid yang
poten dan digunakan untuk rawatan masalah pembengkakan dan radang yang serius.
Penggunaan dexamethasone secara berpanjangan tanpa pengawasan ahli profesional
kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan serius yang boleh membahayakan
kesihatan seperti kelemahan otot, kerapuhan tulang, peningkatan gula dalam
darah, tekanan darah tinggi, katarak, peningkatan risiko jangkitan serta
sindrom cushing yang dicirikan dengan muka membulat (moon face) dan peningkatan
berat badan dengan obesiti di bahagian tengah badan (central obesity).
ii. Chlorpheniramine adalah sejenis antihistamin yang
digunakan untuk melegakan selesema serta reaksi alahan seperti ruam. Kesan
sampingan chlorpheniramine termasuk mengantuk, penglihatan kabur, muntahmuntah,
sembelit dan kelemahan koordinasi anggota badan.
iii. Paracetamol merupakan ubat untuk mengurangkan
kesakitan serta demam. Ia boleh menyebabkan kerosakan hati sekiranya digunakan
pada dos berlebihan (melebihi 4gm sehari).
NASIHAT KEPADA ORANG AWAM
Semakan mendapati produk ini adalah tidak berdaftar
dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), KKM.
Nombor pendaftaran yang dicetak pada label produk
iaitu MAL05052021TC didapati palsu.
Oleh itu, orang awam digesa supaya tidak membeli atau
menggunakan produk-produk tidak berdaftar dengan PBKD kerana tidak dijamin
kualiti dan keselamatannya.
Orang awam yang sedang menggunakan produk ini adalah
dinasihatkan supaya SEGERA mendapatkan nasihat serta rawatan dari profesional
kesihatan.
Pengguna yang telah mengambil produk ini untuk
jangkamasa yang lama dinasihatkan supaya tidak memberhentikan penggunaannya
dengan secara mendadak kerana ini boleh menyebabkan masalah seperti kekeliruan
dan penurunan tekanan darah yang boleh membahayakan kesihatan (akibat
withdrawal syndrome yang serius dengan pemberhentian steroid secara mendadak).
Orang awam boleh menyemak status pendaftaran produk
dengan melayari laman sesawang Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) iaitu
www.bpfk.gov.my atau menghubungi BPFK di talian 03-78835400.
Sekiranya didapati terdapat produk tidak berdaftar
dalam pasaran, orang ramai digalakkan untuk membuat aduan kepada Bahagian
Perkhidmatan Farmasi, KKM melalui laman sesawang www.pharmacy.gov.my atau talian 03-78413200/3396.
Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
17 Mei 2016
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.