KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
AMARAN KEPADA ORANG AWAM MENGENAI PENGAMBILAN PRODUK
TIDAK BERDAFTAR ‘SUPER RESDONG DAN MUJARAB RESDONG PLUS’
1.
Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, Agensi Regulatori Farmasi
Negara (NPRA) ingin mengingatkan dan menasihatkan orang awam agar tidak membeli
atau menggunakan produk-produk tidak berdaftar yang dijual sebagai ubat
tradisional dengan nama SUPER RESDONG dan MUJARAB RESDONG PLUS (gambar
produk disertakan dalam LAMPIRAN A dan LAMPIRAN B).
PERIHAL PRODUK DAN KESAN ADVERS YANG DILAPORKAN
2.
Sampel produk-produk tersebut telah diperolehi melalui laporan kesan advers
yang diterima oleh Pusat Pemonitoran Kesan Advers Ubat Kebangsaan, NPRA. Hasil
ujian yang telah dilakukan oleh NPRA mendapati bahawa kedua-dua produk tersebut
mengandungi dexamethasone (sejenis kortikosteroid) dan chlorpheniramine
(sejenis antihistamin) yang dikawal di bawah Akta Racun 1952.
3.
Label pada kedua-dua produk tersebut menyatakan bahawa produk-produk ini
digunakan secara tradisional untuk melegakan resdong dan tanda-tanda kegatalan
hidung. Semakan mengesahkan bahawa kedua-dua produk tersebut adalah tidak
berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan merupakan produk
yang perlu berdaftar. Nombor pendaftaran yang dicetak pada label kedua-dua
produk tersebut adalah sama (MAL06051618T) dan didapati palsu.
4.
NPRA telah menerima sebanyak tiga (3) laporan kesan advers yang melibatkan
produk SUPER RESDONG dan satu (1) laporan kesan advers yang melibatkan produk MUJARAB RESDONG PLUS. Antara kesan
advers yang dilaporkan adalah keradangan hati (hepatitis), masalah
fungsi ginjal, peningkatan berat badan serta ruam pada badan.
PERIHAL BAHAN RACUN BERJADUAL
5. Dexamethasone adalah sejenis kortikosteroid
yang poten dan ia digunakan untuk rawatan masalah pembengkakan dan radang yang
serius. Penggunaan dexamethasone secara berpanjangan tanpa pengawasan
ahli profesional kesihatan boleh mengakibatkan kesan sampingan serius yang
boleh membahayakan kesihatan seperti kelemahan otot, kerapuhan tulang,
peningkatan gula dalam darah, tekanan darah tinggi, katarak, peningkatan risiko
jangkitan dan sindrom cushing. Pesakit yang menghidap kencing manis
adalah berisiko tinggi kerana ia boleh menyebabkan paras gula dalam darah tidak
terkawal dan seterusnya boleh mengakibatkan komplikasi yang serius.
6. Chlorpheniramine adalah sejenis antihistamin
yang digunakan untuk melegakan selesema serta reaksi alahan seperti ruam. Kesan
sampingan chlorpheniramine termasuk mengantuk, penglihatan kabur,
muntah-muntah, sembelit dan kelemahan koordinasi anggota badan.
PERINGATAN KEPADA PENJUAL DAN
PENGEDAR PRODUK INI
7. Sesiapa yang mempunyai stok produk ini dinasihatkan untuk
menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta.
Penjual adalah diingatkan bahawa pemilikan untuk jualan produk-produk ini
adalah melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah
dan Kosmetik 1984. Individu yang melakukan kesalahan di bawah
Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000
atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama
dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau
kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan
kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan
denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
PERINGATAN KEPADA ORANG AWAM
8. Orang awam
yang sedang menggunakan produk-produk ini adalah disarankan supaya SEGERA mendapatkan
nasihat serta rawatan dari ahli profesional kesihatan. Pengguna yang telah
mengambil produk ini untuk jangkamasa yang lama dinasihatkan supaya tidak
memberhentikan penggunaannya secara mendadak kerana ini boleh menyebabkan
masalah seperti kekeliruan dan penurunan tekanan darah yang boleh membahayakan
kesihatan (akibat withdrawal syndrome).
9. Orang awam
digesa supaya tidak membeli atau menggunakan produk tidak berdaftar dengan
Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kerana tidak dijamin kualiti dan
keselamatannya. Mereka juga diminta supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah
tertipu dengan ubat-ubatan tradisional yang dijual dengan tuntutan boleh
menyembuhkan pelbagai penyakit terutamanya produk tradisional yang memberi
kesan dengan cepat.
10. Orang awam
yang mempunyai maklumat mengenai produk-produk tidak berdaftar ini dinasihatkan
untuk menyalurkan maklumat tersebut kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi,
Kementerian Kesihatan Malaysia melalui laman sesawang www.pharmacy.gov.my ATAU
mana-mana Cawangan Penguatkuasa Farmasi yang berdekatan ATAU melaui talian
03-78413200 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras pengedaran
produk ini di pasaran.
11. Orang awam
juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman sesawang
http://npra.moh.gov.my/ ATAU dengan menghubungi NPRA di talian 03-78835400.
DATUK DR
NOOR HISHAM ABDULLAH
Ketua
Pengarah Kesihatan Malaysia
15
September 2016
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.