“BILA
doktor beritahu saya kena kanser, rasa macam ada batu besar hempap kepala saya.
Macam-macam perasaan bercampur aduk dalam fikiran saya – risau, takut, sakit.
“Semua
bercampur aduk, lebih-lebih lagi apabila doktor menjelaskan kanser tersebut
sudah di tahap serius.
“Sebelum
ini, saya cuma dengar cerita orang kena kanser, bila terkena pada diri saya
sendiri, saya jadi bingung,” ujar pelakon Shukery Hashim yang disahkan mengidap
kanser pankreas tahap keempat lewat bulan lalu.
Berusia
55 tahun, Shukery pada awalnya tidak ambil pusing rasa senak yang menyerangnya
dan menganggap ia mungkin angin biasa.
Namun,
apabila rasa senak sering berulang, ditambah pula dengan pedih, panas dan tidak
selesa di bahagian atas abdomen dan belakang, atas nasihat rakan-rakan, dia
membuat pemeriksaan di klinik swasta dan doktor mengesyaki dia menghidap batu
karang.
“Mula-mula
buat pemeriksaan di klinik, doktor kata mungkin batu karang, tetapi doktor
suruh saya rujuk kepada doktor pakar di Hospital Selayang.
“Di
klinik pakar, saya menjalani pemeriksaan yang lebih khusus dan apabila doktor
buat CT scan, doktor memberitahu pankreas saya sudah hitam dan membengkak.
“Saya
ditahan di wad dan selepas menjalani beberapa kali pemeriksaan, doktor
memberitahu saya mengidap kanser pankreas,” katanya ketika dihubungi Jurnal
minggu ini.
Menurut
Shukery, semasa dirawat di hospital, satu pembedahan telah dilakukan ke atasnya
namun doktor tidak mampu berbuat apa-apa kerana sel kanser sudah merebak ke
organ dalaman lain.
“Doktor
hanya buka dan tutup saja. Mereka tidak boleh buat apa-apa sebab sel kanser dah
merebak ke hempedu dan hati,” katanya.
Ketika diasak pertanyaan bagaimana beliau boleh mendapat penyakit tersebut, Shukery sendiri tidak pasti apa punca kanser yang dihidapinya itu.
“Doktor
pun belum dapat mengenal pasti punca, mungkin faktor pemakanan tetapi ia belum
dapat dipastikan lagi,” katanya.
Akibat
kanser itu juga, beliau kurang selera makan dan berat badannya turun mendadak
sejak dua bulan lalu.
“Saya
hilang 14 kilogram dalam masa dua bulan. Doktor nasihatkan saya supaya banyak
berehat dan kembalikan selera makan supaya ada tenaga untuk lawan penyakit
ini,” katanya.
Dia yang sebelum
ini pernah mengalami masalah jantung tetap mengamalkan cara hidup sihat dengan
bersenam apabila berkelapangan dan tidak merokok.
Shukery
yang kini sedang berehat di rumahnya memberitahu beliau akan memulakan rawatan
kemoterapi pada minggu hadapan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan
Malaysia (PPUKM).
“Buat
masa ini saya masih berbincang dengan doktor mengenai rawatan susulan di PPUKM.
Saya juga tidak menolak rawatan alternatif untuk berubat. Asal ada peluang dan
jalan untuk menyembuhkan penyakit ini, insya-Allah saya akan cuba,” katanya.
Mengakhiri
perbualan bersama Jurnal pagi itu, Shukery sempat merakamkan penghargaan di
atas keprihatinan dan sokongan daripada keluarga dan semua kenalannya.
“Saya
amat berterima kasih atas bantuan dan sokongan yang dihulurkan. Saya juga tidak
putus berdoa agar saya terus diberi kekuatan dan kecekalan untuk menghadapi
kesukaran dan boleh sihat seperti dulu,” ujarnya
Membunuh
secara senyap
Menurut
Pakar Bedah Am, Hospital Pakar Al-Islam, Dr. Shahrol Azmi Mohd. Yasin, Shukery
Hashim menghidap kanser pankreas yang tipikal di mana setiap penghidap
mengalami situasi yang sama dari segi simptom dan lewat dikenal pasti.
“Kanser
pankreas merupakan ‘pembunuh senyap’ yang mana ia tidak menimbulkan simptom
atau tanda yang jelas pada peringkat awal.
“Disebabkan
itu, penyakit ini kerap didiagnosis ketika penyakit sudah berada di tahap
kritikal dan sel kanser sudah merebak ke bahagian lain,” katanya.
Menurut
Dr. Shahrol, kebanyakan punca sebenar kanser tidak diketahui tetapi
faktor-faktor seperti merokok, diabetes, anemia dan pankreatitis kronik
mempunyai kaitan rapat yang boleh mengundang risiko kanser ini.
Tambahnya
lagi, kekeliruan terhadap simptom pada peringkat awal juga melewatkan proses
pengesanan kanser dan mengakibatkan ia tidak dapat dirawat dan dibuang pada
peringkat awal.
Sekiranya
pesakit mendapat jaundis, ia adalah petanda yang membolehkan kanser dirawat
pada tahap awal. Mungkin sel kanser masih kecil dan belum merebak.
Jelas
beliau lagi, kanser jenis ini merupakan salah satu kanser yang agresif dan
insiden kanser ini semakin bertambah di kebanyakan negara. Bagaimanapun di
Malaysia, belum ada statistik yang lengkap mengenai penyakit ini.
“Kanser
pankreas juga sangat jarang berlaku. Dalam setahun, mungkin ada satu dua kes,
itu pun kes yang sudah kritikal.
“Kanser
ini kebiasaannya menyerang lelaki dan disebabkan ia hanya boleh dikenal pasti
pada peringkat serius.
“Ia kerap
terjadi pada pesakit lelaki berusia 45 tahun ke atas. Manakala lebih 80 peratus
kes berlaku melibatkan pesakit dalam lingkungan umur 60 hingga 80 tahun,”
katanya.
Tidak
dapat dibuang dengan pembedahan
Menurut
Dr. Shahrol, pengesanan peringkat awal amat membantu pesakit kerana ketumbuhan
yang kebiasaannya hadir di bahagian kepala pankreas masih boleh dibuang.
Namun,
apabila ketumbuhan itu menutup saluran hempedu masalah lain pula yang akan
timbul sama ada pesakit akan mendapat kekuningan yang tidak menyakitkan ataupun
ketumbuhan itu membentuk sel kanser.
“Sekiranya
sel kanser masih kecil dan belum merebak ke organ lain, pembedahan boleh
dilakukan untuk membuang sel tersebut.
“Tetapi
bagi kes Shukery, pembedahan yang dilakukan tidak dapat membuang sel kanser
kerana ia sudah merebak di hempedu dan hati.
“Apa yang
boleh dilakukan dalam pembedahan itu hanyalah untuk merencatkan sel kanser
supaya ia tidak terus merebak ke bahagian lain.
“Disebabkan
lewat didiagnosis, kebanyakan pesakit hanya mendapat rawatan untuk mengurangkan
simptom sahaja,” ujarnya
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.