Selepas lebih kurang
enam tahun menulis mengenai cendawan susu harimau atau nama saintifiknya
Lignosus rhinocerus, kini syarikat LiGNO Biotech yang bertempat di Taman
Perindustrian Balakong Jaya, Selangor telah menghasilkan tiga produk hasil
daripada Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang dijalankan. Sesuatu yang
membanggakan bagi produk keluaran tempatan.
Walaupun telah berada di pasaran tetapi
mungkin ada yang belum mengetahui mengenai cendawan susu harimau. Sebenarnya
cendawan susu harimau telah lama digunakan oleh nenek moyang kita dan Orang
Asli kerana mereka cukup arif mengenai khasiat cendawan ini. Tambahan ia
memiliki khasiat tidak ternilai sebagai khazanah alam yang bermanfaat untuk
semua.
Cendawan ini digelar cendawan susu harimau
kerana kononnya hanya ditemui di hutan yang mempunyai populasi harimau.
Berdasarkan kisah dongeng, cendawan susu harimau dipercayai tumbuh di atas
titisan susu harimau yang jatuh ke tanah semasa menyusukan anaknya.
Biasanya cendawan ditemui di hutan tanah
tinggi seperti Lata Iskandar di Cameron Highland, Pahang.
Selama berabad, cendawan susu harimau
digunakan sebagai herba untuk mengubati pelbagai masalah kesihatan. Sebenarnya
cendawan susu harimau telah digunakan sejak abad ke-18 bagi mengubati pelbagai
penyakit. Ketika itu setiap keluarga pasti menyimpan seketul kecil objek
seperti batu sebagai ubat serba guna.
Apabila terdapat ahli keluarga dijangkiti
batuk, selesema, demam, bengkak atau lemah badan, si ibu mengeluarkan dan
mengasahnya atas permukaan tembikar untuk mendapat serbuk dan ditambah air.
Ketua Pegawai Eksekutif LiGNO Biotech Sdn.
Bhd., Ng Szu Ting berkata, cendawan susu harimau mengandungi tiga bahagian
utama iaitu payung (cap), batang (stem) dan ubi (sclerotium).
“Hanya bahagian ubinya sahaja digunakan kerana
disitu segala nutrisi yang diperlukan cendawan susu harimau untuk pertumbuhan
disimpan. Tuaian cendawan susu harimau dilakukan sebelum pertumbuhan batang dan
payung bagi memastikan kandungan nutrisi tidak merosot hasil pertumbuhan
bahagian lain,” katanya.
Bagi mendapatkan hasil berterusan, cendawan
susu harimau ditanam menggunakan kaedah in-vitro yang lebih berkualiti
berbanding hidup meliar. Ini bagi memastikan tanaman hidup sihat dengan
mengikut piawaian yang telah ditetapkan bagi mengelakkan serangan seperti
serangga, bakteria dan kulat.
Piawaian tersebut termasuk cara pengkulturan
harus menggunakan kaedah pensterilan pada tahap maksimum dan kandungan nutrisi
pada media pengkulturan sentiasa berada pada tahap optimum bagi mencapai
pertumbuhan maksimum.
Terkawal
“Kajian dan penyelidikan terus dilakukan bagi
mendapatkan hasil tuaian lebih baik dari semasa ke semasa.
“Berbanding tumbuhan hidup meliar, kita tidak
dapat memastikan kualiti hasil tuaian berada pada tahap yang sama pada setiap
kali tuaian kerana kandungan nutrisi dan kontaminasi pada tanah adalah berbeza
pada masa,” katanya.
Berdasarkan potensi cendawan susu harimau
dalam bidang perubatan, LiGNO Biotech telah mengambil inisiatif untuk menanam
sendiri cendawan herba ini menggunakan medium organik yang bersih dalam keadaan
terkawal bagi tujuan komersial.
Kaedah kultur tisu merupakan salah satu
teknologi dalam bidang bioteknologi yang mampu meningkatkan hasil tuaian yang
lebih tinggi.
Jika sebelum ini, Orang Asli hanya mampu
mengumpul cendawan susu harimau sebanyak 50 kilogram dalam tempoh setahun, kini
pihak syarikat mampu mengeluarkan hasil tuaian sebanyak 500 kilogram hanya
dalam tempoh sebulan.
Ekoran kejayaan itu, LiGNO Biotech telah
dianugerahkan sebagai syarikat pertama di dunia yang telah menghasilkan
Cendawan Susu Harimau oleh The Malaysia Book of Records. Produk syarikat juga
telah mendapat sijil Halal dan status organik (SOM) daripada badan-badan yang
terlibat.
Seperti yang telah disebut, Cendawan Susu
Harimau sangat jarang ditemui dan hanya ditemui di dalam hutan tropika.
Kebiasaannya, kawasan hutan hanya didiami oleh masyarakat Orang Asli.
Mereka telah lama menggunakan cendawan susu
harimau sebagai tonik untuk memberi tenaga kepada tubuh badan dan juga penawar
kepada pelbagai jenis penyakit. Untuk penyediaan tonik, mereka merebusnya
dengan campuran akar pokok Tongkat Ali dan airnya diminum.
Sekitar tahun 1950-an hingga 1960-an,
masyarakat Melayu menggunakan cendawan susu harimau untuk membantu merawat
kanser payudara dan paru-paru serta ketumbuhan dan bengkak. Masyarakat Cina
percaya ia membantu merawat radang paru-paru, resdung, asma, sinus, batuk dan
selesema. Cendawan susu harimau juga digunakan untuk memulih kesihatan badan
dan tenaga selepas melahirkan anak atau sakit.
Semua penyakit ini disebut berdasarkan
penggunaan masyarakat pada waktu tersebut untuk proses rawatan.
Sehingga kini, sebahagian masyarakat Cina
masih menggunakan cendawan susu harimau bagi membantu meningkatkan tahap
kesihatan. Namun begitu, penggunaan CSH ini agak tenggelam dalam kalangan
masyakarat Melayu selepas era pemodenan bidang perubatan.
Melihat kepada khasiat cendawan tersebut yang
banyak, timbul persoalan mengapa ia tidak dikomersialkan?
Masalah utama ialah ia amat sukar ditemui dan
wujud sebagai cendawan tunggal di tengah-tengah hutan. Bagi mempopularkan
khasiat cendawan susu rimau, ia perlu dibiakkan dengan apa cara sekalipun.
Bagi tujuan pengkomersialan LiGNO Biotech
telah menjalinkan kerjasama dengan Pegawai Penyelidik Prinsipal, Institut
Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Tan Chon Seng, yang
telah mengambil masa selama lebih kurang lapan tahun melakukan penyelidikan
hanya untuk mencari kaedah dan media pengkulturan cendawan susu harimau yang
sesuai bagi penghasilan optimum.
Segala kebaikan cendawan susu harimau dari
segi saintifik telah dikaji hasil kerjasama dengan beberapa universiti
terkemuka tanah air seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia
(USM), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Kolej Antarabangsa
Sedaya dan Universiti Nottingham, Universiti Macau di China dan akan datang
Universiti Nottingham di United Kingdom.
Dr. Tan Chon Seng juga merupakan Penasihat
Teknikal kepada LiGNO Biotech Sdn. Bhd. Kajian telah terbukti menunjukkan
pengambilan cendawan susu harimau tiada kesan sampingan negatif dan selamat
diambil oleh kanak-kanak.
Hasil kajian juga menunjukkan cendawan susu
harimau mengandungi ciri anti-radang, anti-oksida, anti-alergi, anti-asma dan
bertindak sebagai modulator dalam sistem imunisasi tubuh badan. Cendawan susu
harimau mampu melegakan masalah eczema, sakit sendi dan mengurangkan kesan
sampingan rawatan kemoterapi pesakit kanser. Secara umumnya, cendawan susu
harimau mampu menambah baik tahap kesihatan untuk hidup lebih berkualiti.
Serbuk Cendawan Susu Harimau dan produk yang
dihasilkan oleh syarikat telah dieksport ke Singapura, Timur Tengah, China,
Jepun dan Amerikat Syarikat. LiGNO Biotech Sdn Bhd telah mendapat pengiktirafan
dan bantuan dari pihak kerajaan, antaranya status Bionexus dan kerjasama dengan
SME Corporation, Biotech Corporation di bawah program BioNext seliaan
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Hasilnya terdapat tiga produk
dalam pasaran.
Maklumat lanjut mengenai cendawan susu
harimau boleh layari facebook Dr. TigerMilk - The Respiratory Care Expert atau
laman web www.tigerus.com.my
UBI atau sclerotium cendawan susu harimau
yang digunakan untuk tujuan perubatan.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.