Total Pageviews

Sunday 27 November 2016

BAYI BERUMUR 5 HARI DICULIK


KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
KEJADIAN BAYI BERUMUR 5 HARI DICULIK DI HOSPITAL TANAH MERAH


Kementerian Kesihatan Malaysia merujuk kepada kejadian “Bayi 5 Hari Diculik Di Hospital Tanah Merah (HTM)” sepertimana yang dilaporkan oleh kebanyakan akhbar arus perdana pada 16 dan 17 November 2016.

Insiden tersebut berlaku di Hospital Tanah Merah, Kelantan pada 15 November 2016 semasa waktu melawat sebelah petang di mana terdapat ramai pelawat di kawasan wad.

Salah seorang ibu yang melahirkan anak di hospital tersebut telah datang pada sekitar jam 8.30 malam untuk menyusukan anak beliau tetapi mendapati bayi beliau telah dibawa keluar oleh pasangan yang tidak dikenali.

Laporan polis telah dibuat oleh pihak Hospital Tanah Merah dan juga keluarga.
Pihak polis telah menjalankan siasatan dengan mengambil keterangan kakitangan hospital dan dokumen pesakit.

Walaubagaimanapun dengan tindakan pantas pihak polis, bayi tersebut telah dijumpai pada malam yang sama.

Pihak polis juga telah menahan reman suspek yang membawa keluar bayi tersebut untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Siasatan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dan pihak Hospital Tanah Merah mendapati bahawa proses discaj telah tidak dipatuhi sepenuhnya semasa bayi dibenarkan pulang, di mana staf dan pengawal keselamatan bertugas tidak mengambil langkah-langkah yang sepenuhnya untuk mengenal pasti identiti ibubapa semasa discaj.

Perkara ini tidak bertepatan dengan Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil1/2007: Garis Panduan Sistem Kawalan Keselamatan Bayi di Hospital-Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia.

Pihak hospital perlu memastikan mana-mana ibu dan bayinya yang baru lahir diberikan pengenalan diri melalui tag nama atau apa-apa peranti lain (bracelet) yang sesuai, yang mengandungi maklumat termasuk nama penuh ibu serta tarikh lahir dan jantina bayi.

Tanda pengenalan diri ini perlu disemak terutamanya semasa apa-apa pengendalian bayi dan sebelum meninggalkan bilik bersalin dan/atau wad.

Pihak KKM memandang serius insiden terpencil ini dan berpendirian bahawa ianya tidak sewajarnya berlaku di mana-mana hospital, sama ada hospital kerajaan atau swasta.

Dalam hal ini, Kementerian telah mengeluarkan arahan penambahbaikan serta-merta kepada pihak hospital tersebut bagi mengelakkan hal yang sama daripada berulang.

Selain memastikan Garis Panduan Sistem Kawalan Keselamatan Bayi di Hospital-Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia dipatuhi sepenuhnya, pihak Hospital Tanah Merah juga telah diminta membuat penambahbaikan seperti berikut:
· Penggunaan kad menunggu untuk ibu yang datang untuk menyusukan anak
· Penggunaan kad pengenalan ibu untuk membawa keluar bayi. Jika ibu tidak hadir bersama, bapa atau waris perlu membawa bersama kad pengenalan ibu berserta surat nikah.
· Mengasingkan Wad Specialised Care Nursery (SCN) daripada Wad Pediatrik sedia ada bagi membolehkan kawalan ketat keluar masuk bayi dapat dilakukan dengan lebih baik.
· Rekod untuk bayi keluar mesti disenaraikan dalam 2 salinan, satu salinan untuk jururawat dan satu salinan diserahkan kepada pengawal keselamatan dan ditandatangani oleh ibubapa semasa bayi dibawa keluar.

Untuk makluman, Kementerian juga telah mengeluarkan Pekeliling Ketua Pengarah Kesihatan Bil 1/2007: Garispanduan Sistem Kawalan Keselamatan Bayi di Hospital-Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia pada September 2007, sebagai panduan untuk sistem kawalan keselamatan bayi di hospital-hospital KKM termasuk memastikan keselamatan bayi di wad terjamin, tiada kehilangan atau penukaran bayi berlaku sepanjang bayi berada di dalam hospital sehingga discaj.

Pekeliling tersebut telah pun disemak semula dan arahan telah dikeluarkan kepada semua Jabatan Kesihatan Negeri untuk mematuhi garispanduan tersebut.

Pihak Kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang tidak mematuhi arahan ini.

Kementerian berasa kesal dengan insiden yang berlaku ini dan mengingatkan semua hospital untuk mengambil berat dan meneliti semula proses kerja serta amalan staf serta meningkatkan tahap keselamatan di hospital masing-masing agar perkara seperti ini tidak akan berulang lagi, sama ada di hospital Kerajaan ataupun swasta.

Kementerian juga sangat mengalu-alukan kerjasama daripada orang awam terhadap pematuhan peruntukan perundangan berkaitan pengenalan diri ini oleh mana-mana fasiliti kesihatan di Malaysia, sebagai contoh memastikan pihak hospital menunjukkan pengenalan diri tersebut setiap kali apabila berlaku pergerakan bayi ketika dipisahkan dan dikembalikan kepada ibu mereka.

Langkah ini seharusnya dapat membantu Kementerian dalam mengelakkan perkara sebegini berulang lagi dalam perkhidmatan kesihatan di Malaysia.

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

17 November 2016

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.