PERKHIDMATAN
PEMASANGAN PENDAKAP GIGI (BRACES) OLEH PENGAMAL PERGIGIAN HARAM
Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM) memandang serius dan berasa kesal kerana masih ramai yang
memandang ringan tentang kesan pemasangan pendakap gigi (braces) oleh pengamal
pergigian haram. Pendakap gigi (braces) merupakan rawatan untuk membetulkan
susunan gigi dan memperbaiki rahang yang tidak sempurna.
Walaubagaimanapun, ada
sesetengah masyarakat terutamanya golongan remaja yang melihatnya sebagai
simbol kemewahan, status dan fesyen. Oleh kerana permintaan kepada rawatan
pendakap gigi (braces) yang tinggi, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab
mengambil kesempatan untuk memberikan perkhidmatan dengan memberi temu janji pemasangan
secara atas talian (online) dan menawarkan harga yang rendah serta menjanjikan
perkhidmatan yang baik, sedangkan mereka ini tidak berkelayakan.
Strategi
mereka yang menawarkan rawatan yang cepat dan mudah diperolehi, serta caj yang
sangat rendah ini telah berjaya menarik ramai pelanggan (pesakit) sekali gus
mengaburi pelanggan (pesakit) itu sendiri untuk menyedari risiko yang mereka
bakal hadapi dari aspek keselamatan dan komplikasi rawatan. Aktiviti ini
dijalankan secara haram dan modus operandi mereka adalah berpindah dari satu
lokasi ke satu lokasi yang lain, juga dari satu negeri ke negeri yang lain.
Lokasi yang menjadi pilihan mereka untuk menjalankan aktiviti haram ini
termasuklah hotel-hotel, rumah-rumah persinggahan, pusat-pusat kecantikan atau
spa dan rumah-rumah kediaman. Ia dijalankan adalah semata-mata untuk mengaut
keuntungan sehingga pelbagai janji manis ditaburkan tanpa memberitahu
sepenuhnya kesan dan akibat yang bakal berlaku.
Memberikan perkhidmatan
pergigian di premis tidak berdaftar adalah salah di bawah seksyen 4(1) Akta
Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] dan jika
disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM300,000 atau penjara
tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya. Sehingga kini, terdapat 9 kes yang
telah dihadapkan ke mahkamah di bawah seksyen tersebut di mana salah satu
daripadanya telah mengakibatkan ‘Orang Kena Tuduh’ (OKT) dipenjarakan kerana
gagal membayar denda. Selain daripada kaedah operasi yang mencurigakan, lebih
membimbangkan lagi adalah tahap kebersihan dan pembasmian kuman yang juga
meragukan. Antara kesan dan komplikasi dari rawatan pendakap gigi (braces) oleh
pengamal pergigian haram adalah pergerakan gigi yang tanpa kawalan, kehilangan
gigi serta gusi bengkak dan bernanah. Malah, risiko untuk dijangkiti virus HIV
dan Hepatitis adalah tinggi kerana pembasmian kuman ke atas peralatan tidak
dilakukan.
Rakyat Malaysia diingatkan untuk tidak mendapatkan apa-apa rawatan
pendakap gigi (braces) yang diberikan oleh pengamal pergigian haram. Mereka ini
adalah individu yang tidak mempunyai kelayakan, tidak layak berdaftar dengan
Majlis Pergigian Malaysia (MPM) dan tidak dibenarkan menjalankan apa-apa juga
rawatan pergigian. Orang awam boleh membuat aduan terus ke Bahagian Kesihatan Pergigian,
Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-883 4215 atau e-mel kepada
ohd@moh.gov.my supaya tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang
tidak bertanggungjawab serta membahayakan kesihatan awam.
Datuk Dr. Noor Hisham
Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan
Malaysia
7 September 2016
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.