KEMENTERIAN KESIHATAN
MALAYSIA
KENYATAAN AKHBAR
ISU PENJUALAN MADU
PALSU
Kementerian Kesihatan mengambil
maklum laporan oleh akhbar Kosmo pada 15 Ogos 2016 di mukasurat 3 bertajuk
"Lambakan madu palsu, sintetik" dan pada 16 Ogos 2016 di mukasurat 2
bertajuk "Kandungan toksik bawa maut“.
Laporan tersebut menyatakan
bahawa 80% madu yang dijual di negara ini merupakan madu palsu berdasarkan
kandungan hydroxymethyl fulfural (HMF) yang terlalu tinggi dan aktiviti enzim
yang kurang daripada paras yang ditetapkan oleh standard antarabangsa.
Madu palsu ini didakwa boleh
mengundang pelbagai penyakit dalam jangka masa panjang. Kementerian Kesihatan
ingin menjelaskan bahawa kandungan HMF merupakan indikator kualiti madu dan
kandungannya akan meningkat apabila suhu meningkat dan tempoh penyimpanan
bertambah. Menurut The Federal Institute for Risk Assessment (BfR), Jerman, HMF
tidak memberikan kesan toksik kepada kesihatan manusia.
Peraturan 130,
Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983 menetapkan standard
bagi madu. Kegagalan mematuhi peraturan tersebut adalah satu kesalahan dan jika
sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara tidak
melebihi tempoh dua (2) tahun. 2 Kementerian Kesihatan telah menjalankan
pemantauan ke atas madu tempatan di peringkat pemprosesan dan sehingga kini,
hasil pemantauan menunjukkan bahawa satu (1) sampel tidak mematuhi standard
yang ditetapkan di bawah Peraturan 130, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
Kementerian Kesihatan akan
meneruskan pemantauan bagi memastikan madu yang dijual di pasaran adalah tulen.
Selain itu, Kementerian Kesihatan telah memperkenalkan Skim Pensijilan Makanan
Autentik bagi madu mulai 19 Januari 2016.
Pengeluar madu adalah digalakkan
untuk menyertai skim ini. Maklumat lanjut mengenai skim tersebut boleh didapati
di laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan http://fsq.moh.gov.my
Kementerian Kesihatan
menasihatkan orang ramai agar membuat aduan mengenai penjualan madu yang
disyaki palsu di Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang
terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my
atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq.
DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH
KESIHATAN KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.