Total Pageviews

Saturday, 12 November 2016

PRODUK MENGANDUNGI RACUN

KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA


PRODUK TRADISIONAL AMAN LIQUID DIKESAN MENGANDUNGI RACUN BERJADUAL

1. Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan mengguna produk tradisional berikut kerana dikesan mengandungi bahan racun berjadual iaitu yohimbine.

Nama Produk (No. Pendaftaran) Bahan Campur Palsu Yang Dikesan Pemegang Pendaftaran Produk Aman Liquid (MAL12115015TC) Yohimbine Vital Force Enterprise.

2. Pendaftaran produk ini telah dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada mesyuaratnya yang ke-304 bertarikh 27 September 2016 berikutan pengesanan bahan racun berjadual tersebut di dalam produk berkenaan.

PERIHAL BAHAN RACUN BERJADUAL

3. Yohimbine adalah sejenis alkaloid yang kebiasaannya diperolehi dari tumbuhan Puasinystalia yohimbe dan digunakan dalam rawatan kegagalan erektil. Yohimbine tidak dibenarkan dalam ubat yang dikelaskan sebagai ubat tradisional. Penggunaan yohimbine secara tidak terkawal boleh menyebabkan kesan advers serius seperti peningkatan tekanan darah dan kadar denyutan jantung, keresahan, insomnia, halusinasi dan mania. Yohimbine boleh memberikan kesan mudarat kepada golongan tertentu seperti perempuan mengandung, pesakit darah tinggi, jantung, buah pinggang atau hati.

PERINGATAN KEPADA PENJUAL DAN PENGEDAR PRODUK-PRODUK INI

4. Penjual dan pengedar produk ini diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta. Penjual adalah diingatkan pemilikan produk ini untuk jualan melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

5. Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

NASIHAT KEPADA ORANG AWAM

6. Orang awam yang sedang menggunakan produk ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers. 7. Orang awam boleh menghubungi NPRA di talian 03-78835400 untuk pertanyaan atau maklumat lanjut dan menyemak status pendaftaran sesuatu produk dengan melayari laman sesawang http://npra.moh.gov.my/

DATUK DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA MERANGKAP PENGERUSI PBKD KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

8 Oktober 2016

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.