Total Pageviews

Friday, 10 April 2020

Dermalah PPE, stok bertahan 2 minggu saja


Dermalah PPE, stok bertahan 2 minggu saja

Amir Abd Hamid dan Suraya Roslan
am@hmetro.com.my



“STOK setakat ini sekurang-kurangnya bertahan dua minggu. Sekiranya ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) nak derma, dermalah kepada kita,”.

Itu kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengenai stok peralatan perlindungan diri (PPE).

Beliau berkata, dari segi pemeriksaan stok, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melihat penggunaan PPE ketika ini meningkat antara dua hingga 10 kali ganda berbanding biasa.

Menurutnya, tiga kaedah penerimaan PPE kepada KKM iaitu perolehan pukal untuk semua negeri, perolehan di peringkat negeri dan ketiga, derma dari pelbagai NGO.

“Berbeza dengan ventilator apabila dah cukup contohnya ada 956 ventilator, kita dah cukup kita tak perlu ada pertambahan lagi.

“Tetapi setiap hari kita menggunakan PPE (pakai buang), mungkin 10 kali lebih banyak daripada biasa.

“Apa yang penting kita kena berterusan mendapatkan PPE daripada perolehan pusat atau negeri dan NGO,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, katanya, adalah terlalu awal untuk menyatakan plasma bekas pesakit Covid-19 boleh digunakan untuk merawat pesakit dijangkiti virus itu.

“Seramai 12 bekas pesakit Covid-19 tampil untuk mendermakan plasma. Jika siasatan tiada masalah termasuk penyakit, kita akan rujuk mereka ke Pusat Darah Negara dan diambil darah.


“Plasma dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR). Pihak IMR akan melakukan kajian terhadap titisan plasma itu. Kalau ada keperluan kita akan gunakan plasma itu.

“Setakat ini baru penyelidikan awal, jadi masih terlalu awal untuk menyatakan plasma boleh digunakan untuk pesakit kita,” katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 8:13 PM




.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.