Total Pageviews

Friday 10 April 2020

Kaji kesan gerbang nyah kuman



Kaji kesan gerbang nyah kuman
Oleh Prof Madya Dr Bimo Ario Tejo

10 April 2020




Akhir-akhir ini kita melihat beberapa pihak mengambil inisiatif membuat gerbang nyah kuman untuk membantu usaha kerajaan menghentikan penyebaran COVID-19.
Prinsip kerja gerbang nyah kuman ini ialah dengan menyembur cecair nyah kuman 10 hingga 20 saat pada objek dalam gerbang. Matlamatnya membunuh virus penyebab COVID-19 yang melekat pada pakaian dan kulit.
Aspek keselamatan dan keberkesanan gerbang nyah kuman mesti diteliti dengan saksama. Ini kerana mata, mulut, kulit dan saluran pernafasan kita terdedah bahan kimia selama 10 hingga 20 saat dalam gerbang itu.

Bahan kimia digunakan mestilah memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan agensi kerajaan dan antarabangsa. Aspek keberkesanan juga mesti diberi perhatian kerana kita harus memastikan virus mati secara sempurna.
Jika virus tidak mati sedangkan kita beranggapan sebaliknya, ia boleh memberi perasaan aman yang salah, lantas membantutkan usaha menghentikan penyebaran COVID-19.
Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (US EPA) menyenaraikan 351 produk nyah kuman pelbagai jenama yang didakwa boleh membunuh virus SARS-CoV-2. Semua produk dibahagikan kepada lapan kumpulan sebatian iaitu asid, peroksid, alkohol, alkali, halogen, ammonia kuartener dan fenol.
Semua produk dalam senarai US EPA digunakan untuk nyah kuman material, bukan kulit manusia.
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dalam garis panduan nyah kuman untuk wabak COVID-19 dikeluarkan 3 Mac lalu, menyatakan hanya sabun dan cecair pembasmi kuman berasaskan alkohol boleh digunakan untuk nyah kuman kulit manusia.
Dalam keadaan ketiadaan sabun dan alkohol, WHO membenarkan penggunaan cecair nyah kuman mengandungi klorin 0.05 peratus. Tetapi penggunaan cecair klorin dalam waktu lama dapat menyebabkan kerosakan kulit (dermatitis) dan asma.
Disebabkan harganya murah dan mudah didapati, penduduk di sesetengah negara menggunakan sebatian alkohol dan klorin sebagai cecair nyah kuman dalam gerbang nyah kuman.
WHO mengeluarkan kenyataan rasmi pada 12 Februari lalu bahawa cecair nyah kuman berasaskan alkohol dan klorin tidak boleh digunakan dengan cara disembur ke seluruh tubuh badan manusia kerana dapat merosak mucous membrane pada mata dan mulut.
Oleh itu, penggunaan cecair alkohol dan klorin dalam gerbang nyah kuman dengan cara disembur, menyalahi syor WHO dan membahayakan kesihatan manusia.
Sesetengah pengeluar gerbang nyah kuman mendakwa cecair digunakan selamat kerana tidak berasaskan sebatian alkohol dan klorin. Yang paling ramai digunakan ialah sebatian ammonia kuartener.
Mereka mengambil contoh realiti penggunaan sebatian ammonia kuartener untuk pengubatan topikal pada jangkitan mata, mulut dan tekak. Contohnya seperti benzalkonium chloride (BAC) yang ada dalam ubat mata atau cetyl pyridinium chloride (CPC) dalam ubat gigi dan ubat kumur.
Bagaimanapun semburan cecair selama 10 hingga 20 saat dalam gerbang nyah kuman boleh menyebabkan cecair itu masuk ke saluran pernafasan manusia. Kajian menunjukkan sebatian benzalkonium chloride (BAC) jika terhidu boleh menyebabkan bronchoconstriction pada manusia.
Kajian pada tikus menunjukkan sebatian ammonia kuartener lain seperti hexadecyl trimethyl ammonium bromide (HTA), cetyl pyridinium chloride (CPC) dan dimethyl dioctadecyl ammonium bromide (DDA) boleh menyebabkan kerengsaan pada peparu.
Keberkesanan sesuatu sebatian nyah kuman untuk membunuh virus bergantung dua faktor, iaitu kepekatan cecair dan waktu pendedahan.
Waktu pendedahan bermaksud waktu minimum diperlukan cecair nyah kuman untuk membunuh virus dengan sempurna. Semua produk nyah kuman mencantumkan kepekatan dan waktu pendedahan diperlukan dalam kemasan masing-masing.
Dalam senarai 351 produk nyah kuman untuk SARS-CoV-2 dikeluarkan US EPA, majoriti menyatakan 10 minit sebagai waktu pendedahan minimum. Ertinya, diperlukan 10 minit bagi cecair nyah kuman untuk membunuh virus.
Waktu pendedahan 10 minit ini menjadi standard untuk proses nyah kuman virus SARS-CoV-2 yang memiliki kadar jangkitan sangat tinggi.
Kerajaan Australia dalam garis panduan nyah kuman COVID-19 dikeluarkan 10 Mac lalu, menyatakan waktu pendedahan minimum 10 minit untuk semua cecair nyah kuman. Demikian pula Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dalam garis panduan pencegahan penyebaran COVID-19 menyatakan waktu pendedahan minimum 10 minit untuk proses nyah kuman dalam kabin kapal terbang.
Oleh itu, keberkesanan gerbang nyah kuman untuk membunuh virus SARS-CoV-2 patut diragui jika waktu pendedahan hanya 10 hingga 20 saat. Andaian bahawa waktu 10 hingga 20 saat cukup untuk membunuh virus memberi perasaan aman yang salah.
Pihak kerajaan Malaysia dan WHO memberi garis panduan nyah kuman COVID-19 cukup jelas. Mencuci tangan dengan sabun selama 20 saat adalah cara terbaik untuk nyah kuman virus SARS-CoV-2.
Jika rakyat mengikuti garis panduan mencuci tangan dengan betul, melakukan penjarakan sosial dan mematuhi perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan kerajaan, episod wabak COVID-19 boleh ditamatkan segera.
Penulis ialah Pakar Kimia Perubatan Jabatan Kimia, Fakulti Sains Universiti Putra Malaysia.



.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.