Cuepacs tolak cadangan bos Mydin potong gaji penjawat awam
-
PETALING JAYA: Pemimpin kesatuan sekerja
perkhidmatan awam terbesar negara hari ini menolak cadangan seorang ahli
perniagaan terkenal supaya penjawat awam berpendapatan lebih RM3,000 sebulan
menerima potongan gaji berikutan penurunan hasil kerajaan susulan pandemik
Covid-19.
Presiden
Cuepacs Adnan Mat berkata, ramai penjawat awam adalah termasuk dalam kelompok
B40 dan M40 dengan pendapatan purata bersih hanya kira-kira 20% daripada gaji
mereka berikutan pelbagai potongan, antaranya pinjaman perumahan dan kereta.
“Rata-rata pendapatan bersih penjawat awam ialah 20% (daripada
gaji). Ini untuk kita berbelanja. Jadi ada potongan, ia boleh menjejaskan ruang
perbelanjaan penjawat awam,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, perbelanjaan penjawat awam di pasar dan kedai
membantu merangsang ekonomi dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan
pergerakan (PKP).
Selain itu katanya, penjawat awam terkilan atas cadangan Ameer
Ali Mydin, pengarah urusan rangkaian pasar raya besar Mydin, yang merupakan
pasar raya terkenal dalam kalangan mereka.
Ameer semalam berkata, hasil kerajaan akan merosot bukan sahaja
kerana kejatuhan harga eksport komoditi utama negara seperti minyak dan minyak
sawit, tetapi juga penurunan kutipan pelbagai cukai, termasuk cukai barangan
dan jualan (SST) berikutan penutupan perniagaan dan berkurangnya perbelanjaan
pengguna.
Adnan berkata, walaupun wujud moratorium ke atas pembayaran
balik pinjaman bank, wang lebihan itu digunakan oleh penjawat awam bagi
menampung peningkatan perbelanjaan rumah tangga berikutan mereka dan keluarga
masing-masing kini berada di rumah.
Katanya, daripada 1.6 juta penjawat awam, 1.2 juta merupakan
petugas barisan hadapan, termasuk 600,000 anggota polis dan tentera serta
kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) atau mereka yang bekerja dari rumah.
Beliau berkata, wakil rakyat juga perlu diberikan gaji penuh
kerana mereka bertanggungjawab kepada rakyat dan perlu memainkan peranan yang
penting.
“Walaupun kita rasa gaji mereka besar, tetapi sebenarnya
tidaklah besar. Mereka sangat rapat dengan rakyat dan kadang-kadang mereka guna
duit sendiri untuk membantu rakyat.
“Kita tidak dapat nafikan peranan Adun dan ahli
Parlimen apabila masalah rakyat diajukan, mereka memang membantu. Peranan
besar, cuma kadang-kadang kita tak nampak.”
Bekas
pegawai kanan kerajaan Ramon Navaratnam berkata, pada prinsipnya, semua orang
perlu berkorban, termasuk penjawat awam.
Bagaimanapun katanya potongan gaji penjawat awam harus dikenakan
ke atas kelompok yang meraih pendapatan melepasi paras tertentu.
Katanya, kerajaan harus membincangkan isu itu dengan Cuepacs.
Bekas timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan itu berkata,
kerajaan perlu mencari sumber wang bagi membiayai pakej rangsangan ekonomi dan
inisiatif bantuan lain yang akan memberi kesan ke atas paras defisit negara.
“Ia boleh dibiayai dengan pinjaman, simpanan atau hasil baru,
termasuk cukai baru atau yang lebih tinggi. Namun, akhirnya ia perlu dibayar
juga. Duit tidak tumbuh pada pokok.
“Rakyat harus sedar bahawa pengorbanan perlu dibuat. Pastilah
akan ada pihak yang lebih terbeban berbanding orang lain, namun semua orang
harus mengongsi beban itu.
Terdahulu, ketua setiausaha negara, Mohd Zuki Ali berkata,
pegawai awam dengan gred Jusa C ke atas akan menyumbang antara 5 hingga 10%
daripada elaun tetap mereka kepada tabung Covid-`19.
Ahli ekonomi dari Universiti Malaya Nazari Ismail berkata, kontrak
pekerjaan penjawat awam mesti dihormati, atau sebaliknya kerajaan akan diseret
ke mahkamah.
“Tambahan lagi, gaji penjawat awam rendah berbanding sektor
swasta. Ini hakikat yang dimaklumi semua.
“Tetapi (kurangan) ini ditampung oleh jaminan keselamatan
(pekerjaan) yang mereka perolehi daripada kestabilan gaji tanpa mengira keadaan
ekonomi yang dihadapi.”
Beliau berkata, kakitangan sektor swasta menikamti gaji lebih
tinggi kerana mereka terdedah kepada risiko lebih tinggi dari sudut keadaan
ekonomi.
“Oleh sebab keadaan ekonomi sekarang merosot, mereka yang berada
dalam sektor swasta tidak seharusnya mempersoalkan gaji penjawat awam.
“Mereka sepatutnya sudah menjangka kemungkinan ekonomi merosot
dan menyediakan peruntukan yang perlu.”
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.