‘Plastik sampah’ ganti PPE
PENULARAN
wabak koronavirus (Covid-19) memberi impak yang cukup besar buat negara,
ekonomi serta rakyat.
Tambahan lagi apabila berlaku peningkatan lebih banyak kes jangkitan yang kini
mencecah 1,624 kes serta angka kematian seramai 15 orang di Malaysia.
Namun begitu yang lebih
terkesan sudah tentu pasukan yang berada di barisan hadapan iaitu petugas
kesihatan termasuk doktor dan jururawat yang sanggup mengambil risiko untuk
merawat dan mengekang wabak ini dari hari pertama ia menular ke negara.
Kini
lebih membimbangkan apabila banyak dilaporkan bekalan peralatan perubatan
seperti Peralatan Perlindu-ngan Diri (PPE) serta beberapa keperluan lain
termasuk cecair pembersihan dan keperluan makmal tidak mencukupi, malah tidak
dapat menampung keper-luan di hospital dalam menangani pesakit Covid-19.
Menurut
seorang petugas kesihatan yang enggan dikenali, keperluan peralatan perubatan
di setiap hospital adalah berbeza bergantung kepada jumlah kes yang diterima.
Katanya,
masalah bekalan tidak mencukupi ini kebanyakannya lebih dirasai petugas-petugas
kesihatan di hospital besar.
“Ada
yang mengalami masalah kekurangan peralatan perubatan ini sejak awal gelombang
kedua Covid-19 dan ada juga yang baru seminggu ini terkesan.
“Kebanyakan
hospital terputus bekalan PPE sehingga terpaksa menjadi kreatif dengan membuat
face shield sendiri iaitu menggunakan span, plastik lutsinar dan plastik sampah
untuk perlindungan di bahagian kepala, muka/mata serta leher.
“Petugas
kesihatan terlibat biasanya akan buat lebih untuk dipakai dalam tempoh beberapa
hari bagi menggantikan PPE sebenar, tambah lagi ia hanya boleh digunakan untuk
sekali pakai,” katanya.
Katanya,
walaupun petugas kesihatan terpaksa memakai ‘plastik sampah’ yang tidak
menjamin perlindungan, dalam keadaan terdesak ia tetap membantu dan itu saja
pilihan yang mereka ada.
“Ada
antara kami sampai kena mandi sekurang-kurangnya sembilan kali sehari bagi
memastikan kebersihan diri serta untuk elak jangkitan selepas merawat atau
mengendalikan pesakit Covid-19, malah ada juga yang demam kerana mandi
berlebihan,” katanya.
Menurut
petugas itu lagi, di sesetengah hospital lain pula ada yang sangat memerlukan
peralatan makmal seperti alat untuk membuat ujian swab (kapas kesat) iaitu
mengambil sampel dari kerongkong serta hidung.
“Alat
ini paling penting kerana ia menentukan sama ada seseorang itu positif atau
negatif Covid-19,” katanya.
Menurut
seorang lagi petugas kesihatan, cecair pembasmi kuman, sarung tangan serta
penutup mulut dan hidung semakin berkurangan di tempatnya bertugas.
Katanya,
itu adalah antara peralatan asas yang sangat diperlukan ketika ini dan beliau
berharap bekalan baharu akan sampai segera.
Peruntukan tambahan
Pengumuman
oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin memaklumkan Kementerian
Kesihatan (KKM) akan diberi peruntukan tambahan RM500 juta bagi membiayai
pembelian peralatan perubatan seperti ventilator dan peralatan ICU (unit
rawatan rapi), PPE tambahan bagi kakitangan perkhidmatan perubatan awam serta
keperluan makmal untuk saringan Covid-19 dijangka memberi sinar baharu kepada
para petugas barisan hadapan ini.
Selain
itu, kerajaan juga akan menyalurkan peruntukan RM100 juta khusus untuk
pelantikan 2,000 kakitangan baharu KKM secara kontrak.
Ketua
Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pula memberitahu, KKM berjaya
memperoleh stok bekalan PPE sebanyak 33 juta unit dan ia sekali gus dapat
menampung penggunaan di semua fasiliti kesihatan. Stok itu akan diedarkan dalam
minggu ini.
Seorang
sumber memberitahu Sinar Harian, kakitangan baharu terdiri daripada jururawat
difahamkan sudah mula melaporkan diri di hospital-hospital yang kekurangan
kakitangan mulai semalam.
Dalam
pada itu, Pakar Perubatan Keluarga KKM, Dr Suhazeli Abdullah ketika dihubungi
Sinar Harian berkata, semua pihak diminta bersabar kerana kerajaan sudah
memberi jaminan bahawa bekalan PPE mencukupi.
“Ia
baru sahaja diumumkan semalam (kelmarin) dan prosesnya akan mengambil sedikit
masa.
“KKM
kini sedang bertungkus-lumus melakukannya bagi memastikan alat PPE itu dapat
diedarkan secepat mungkin untuk kegunaan hospital,” katanya.
Ketika
mengulas tentang alternatif yang boleh dilakukan pihak hospital atau petugas
kesihatan sementara menunggu bekalan peralatan perubatan tiba, Dr Suhazeli
berkata, ia bergantung kepada kreativiti mereka sendiri.
“Terpulang
kepada mereka tetapi ia perlu mematuhi prosedur standard ditetapkan,” katanya.
Guna saluran farmasi edar kepada pengguna
Pengagihan
10 juta penutup muka percuma kepada rakyat negara ini yang memerlukan dan
terjejas dengan penularan wabak koronavirus (Covid-19) perlu dibuat secara
teratur oleh kerajaan.
Presiden
Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang berkata, antara yang boleh dibuat
kerajaan ialah dengan menjadikan farmasi sebagai salah satu saluran untuk
mengedarkan penutup muka tersebut.
“Sebagai
contoh apabila pengguna datang ke farmasi untuk beli ubatan atau sebagainya,
ahli farmasi boleh mainkan peranan dengan membuat saringan awal ke atas mereka,
sediakan tempat basuh tangan sebelum masuk, beri penerangan tentang bahaya
Covid-19 dan setelah mereka bayar barangan dibeli, baru kita berikan penutup
muka percuma itu.
“Dengan
cara ini, pemberian penutup muka itu adalah lebih bersasar. Jika main beri
saja, ia ibarat kerajaan buang duit begitu saja, tiada kesan,” katanya.
Sebelum
ini, kerajaan mengumumkan akan mengagihkan 10 juta penutup muka percuma kepada
rakyat negara ini yang memerlukan dan terjejas dengan penularan Covid-19.
Selain
itu, Amrahi berkata, kerajaan juga perlu melindungi doktor dan kakitangan di
klinik swasta, ahli dan kakitangan farmasi untuk memastikan perkhidmatan mereka
berterusan.
“Kemudahan
seperti peralatan perlindungan diri (PPE) umpamanya bukan perlu diberi kepada
hospital kerajaan saja tapi harus juga diberikan kepada klinik swasta dan
farmasi kerana mereka ini adalah pusat-pusat rawatan utama primer.
“Ramai
yang datang buat pemeriksaan di sini sebelum dirujuk ke hospital, jadi
perlindungan harus diberikan kepada mereka juga,” katanya.
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.