Bos Mydin mahu gaji pegawai awam dipotong, turut pikul
beban Covid-19
-
Ameer Ali Mydin
PETALING
JAYA: Taikun sektor runcit terkenal mempersoalkan bagaimanakah penurunan cukai
dan kejatuhan harga eksport komoditi utama akan membolehkan Putrajaya
mengekalkan gaji pegawai awam.
Ini tidak seperti sektor swasta yang mengumumkan potongan gaji
dan pembuangan pekerja susulan kesan kewangan akibat krisis Covid-19 yang
sedang berlaku.
Pengarah urusan rangkaian pasar raya besar Mydin, Ameer Ali
Mydin berkata, hasil kerajaan akan terkesan bukan sahaja kerana kejatuhan harga
eksport seperti minyak mentah dan minyak sawit, tetapi juga kemerosotan kutipan
pelbagai cukai, termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berikutan
penutupan perniagaan dan berkurangnya perbelanjaan pengguna.
“Syarikat perniagaan terhimpit dan semua orang dalam sektor
swasta menghadapi potongan gaji, termasuk mereka yang bekerja sendiri. Kita
semua terkesan,” kata Ameer kepada FMT.
Beliau berkata, syarikatnya membuat potongan gaji kakitangan
sehingga 50% dan menghentikan bayaran kepada pengarah atasan.
“Kami tidak ada pilihan. Sama ada terima potongan gaji atau
gulung tikar,” katanya.
Beliau berkata, banyak industri terpaksa mengambil langkah
drastik, termasuk memberhentikan kakitangan mereka.
Bagaimanapun
katanya, keadaan ini tidak berlaku dalam kalangan 1.6 juta pegawai awam walaupun
anggota Kabinet membuat potongan gaji 2 bulan seperti diumumkan Perdana Menteri
Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
“Menteri dan timbalan menteri menerima potongan gaji. Sesetengah
menteri besar dan anggota mereka juga berbuat demikian. Itu bagus.
“Tetapi sebilangan pegawai tinggi kerajaan masih mendapat gaji
penuh, termasuk ahli Parlimen dan Adun. Mereka yang berpendapatan RM3,000 ke
atas patut menerima potongan gaji,” kata Ameer.
Beliau
berkata, gaji pegawai awam juga patut dikurangkan, selain menambah bahawa
penjimatan itu boleh digunakan bagi membantu golongan miskin yang paling
terkesan oleh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Ameer berkata, potongan gaji pegawai awam boleh dibuat
berdasarkan peringkat gaji mereka.
Beliau juga berkata, selain pinjaman perumahan yang diambil oleh
pegawai awam melalui Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), semua
pinjaman bank lain diberikan moratorium.
“Tiada moratorium diberikan ke atas pinjaman LPPSA kerana
pegawai awam mendapat gaji penuh. Jika mereka menerima potongan gaji maka
tentulah harus diberikan moratorium ke atas pinjaman LPPSA.
“Semua orang harus memikul beban ini,” katanya.
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.