KKM tak galak guna terowong nyahkuman
15 April 2020
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan menerima beberapa permohonan
bertujuan pengesahan penggunaan terowong disinfeksi atau nyah kuman untuk
mengurangkan jangkitan Covid-19.
Permohonan itu telah dinilai oleh Cawangan Penilaian Teknologi
Kesihatan kementerian.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata,
hasil penilaian mendapati proses nyah kuman dengan menggunakan bahan kimia
berlainan pada peralatan terbabit yang melibatkan individu melaluinya untuk
tempoh antara 20 hingga 30 saat mendapati tiada bukti menunjukkan ia berkesan
mengurangkan jangkitan COVID-19.
“Jangka masa 20-30 saat tidak memadai untuk proses nyahkuman
yang berkesan. Prosesnya juga tidak boleh membunuh kuman di dalam badan
manusia,” katanya pada sidang media harian penularan wabak Covid-19 hari ini.
Malah Noor Hisham berkata, bahan kimia yang digunakan boleh
membawa kemudaratan kepada selaput di tubuh seperti di mata dan mulut.
Justeru, tambah beliau, berdasarkan penilaian tersebut, KKM
tidak menyarankan penggunaan kotak, ruang, terowong, sekatan, pintu nyah
kuman sebagai langkah untuk mengurangkan jangkitan COVID-19 terhadap
manusia.
“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian COVID-19 melalui
segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa
ke semasa, ” katanya. -MalaysiaGazette
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.