Total Pageviews

Saturday, 4 May 2019

Ibu usia 101 tahun tabah jaga anak OKU


Ibu usia 101 tahun tabah jaga anak OKU



KUALA NERANG - Usianya kini mencecah 101 tahun, namun naluri sebagai ibu menyebabkan dia tidak pernah mengeluh atau patah semangat untuk terus memelihara anak lelaki bongsunya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) sejak 63 tahun lalu.
    
Malah, warga emas Meliah Md Diah dari Kampung Bukit Nambua di sini bertekad untuk terus menjaga anaknya Abdul Rahman Saud, 63, yang tidak boleh bercakap, berjalan dan bergerak secara normal sehingga ke penghujung nyawanya.

"Tak rasa beban nak jaga dia (Abd Rahman). Dari dulu lagi mandi, makan, pakai baju semua tok (Meliah) buat. Kalau boleh nak jaga dia sampai bila-bila. Sayang dekat dialah... tak mau pi (pergi) mana-mana nak dok (duduk) dengan dia sajalah," katanya kepada Bernama hari ini.
 
Doa sentiasa dipanjatkannya kepada Allah S.W.T supaya terus dikurniakan kesihatan yang baik dan dipanjangkan umur supaya berkemampuan untuk menjaga sendiri anak kesayangannya itu.
   
Menurut Meliah, sebagai seorang ibu, dia tidak pernah menyesali nasib yang menimpanya dalam menjaga anaknya yang tidak sempurna seperti orang lain, sebaliknya tetap bersyukur dengan kurniaan dan dugaan yang melanda.

Cucu saudara Meliah, Siti Jaleha Yunus, 59, berkata kisah hidup nenek saudaranya itu perlu dijadikan teladan kepada masyarakat supaya mereka tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap ibu.
   
Katanya walaupun tahap ingatan nenek saudaranya itu semakin lemah disebabkan faktor usia, dia tidak pernah lupa nama anaknya serta aktiviti rutin harian yang dilakukan bersama anaknya itu.
   
"Kalau masa hendak makan dia akan panggil anaknya makan pada waktu pagi, tengah hari dan malam. Sama juga waktu mandi dia akan bawa anaknya mandi. Dia tak pernah lupa anaknya," katanya.
    
Siti Jaleha berkata dia bersama saudara yang lain sering memantau Meliah dalam pelbagai perkara termasuk menguruskan Abdul Rahman, serta menyediakan makanan kepadanya kerana Meliah tidak lagi memasak seperti sebelum ini.
    
Dia berkata suami Meliah bernama Saud, meninggal dunia lebih 20 tahun lepas, manakala tiga anaknya iaitu dua lelaki dan seorang perempuan pula meninggal dunia pada usia muda.
   
Beliau berkata nenek saudaranya itu tidak mempunyai sebarang pendapatan dan bergantung kepada bantuan bulanan RM450 daripada Jabatan Zakat Negeri Kedah dan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. – Bernama










WARGA EMAS 101 TAHUN JAGA ANAK OKU MENINGGAL DUNIA





KUALA NERANG – Warga emas berusia 101 tahun yang menjaga anak lelaki bongsunya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) meninggal dunia akibat sakit tua di rumah anak saudaranya di Kampung Bukit Nambua di sini awal pagi Jumaat. 

Meliah Md. Diah yang tidak mengalami sebarang penyakit kronik meninggal dunia kira-kira pukul 3.30 pagi di sisi anak lelakinya itu, Abdul Rahman Saud, 63, selepas mengadu sesak nafas. 

Anak saudaranya, Siti Jaleha Yunus, 59, berkata ibu saudaranya itu mengadu sesak nafas kira-kira pukul 7.30 malam ketika berada di rumahnya yang terletak bersebelahan dengan rumah anak saudaranya itu. 

Katanya bimbang mengenai keselamatan warga emas itu, keluarganya mengambil keputusan membawa dua beranak itu untuk tinggal bersama mereka bagi memantau keadaan kesihatan Meliah. 
“Allahyarham menghembuskan nafas terakhir ketika berada di sisi anaknya. Kami sudah beritahu Abdul Rahman mengenai ibunya. Walaupun dia OKU tetapi dia faham dan mendiamkan diri sahaja,” katanya ketika ditemui Bernama di sini. 

Gambar Meliah yang sedang memangku dan mencium anaknya yang disiarkan oleh Bernama baru-baru ini menjadi viral di laman sosial sehingga memperoleh lebih daripada sejuta ‘Like‘. 
Siti Jaleha berkata jenazah Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Kampung Nambua kira-kira pukul 3.30 petang. Katanya ibu saudaranya itu sempat menyuapkan makanan terakhir iaitu nasi goreng kepada Abdul Rahman. 
Suri rumah yang mempunyai lima orang anak itu berkata selepas ini, mereka sekeluarga akan menjaga Abdul Rahman sama seperti mana Meliah menjaganya sehingga akhir hayatnya. 
“Kalau saya meninggal dunia terlebih dahulu anak-anak saya akan menjaga Abdul Rahman. Sebelum ini Allahyarham pernah berpesan untuk jaga anak istimewanya itu sekiranya dia pergi terlebih dahulu mengadap Maha Pencipta,” katanya. 
Meliah yang kematian suami 20 tahun lalu, berseorangan menjaga anak lelakinya yang cacat anggota badan akibat diserang sawan sejak kecil lagi. 
Abdul Rahman yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik itu hanya terbaring dan tidak boleh bercakap serta memerlukan bantuan orang untuk makan, mandi dan bergerak. 
– BERNAMA

..

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.