Total Pageviews

Saturday, 4 May 2019

Pecutan atlet tua






Pada usia 94 tahun, halangan terbesar bagi warga Kanada, Ogla Kotelko bukan untuk melakukan lompat tinggi, melontar lembing, lompat bergalah atau berlari pecut. Halangan yang dihadapi­nya ialah mencari pesaing seusia untuk bertanding. Guru pencen dari Vancouver itu mula serius de­ngan sukan padang dan balapan pada usia 77 tahun - ketika rakan seperjuangan lebih selesa menghabiskan masa persaraan secara santai. Oleh kerana amat sukar mencari atlet wanita dalam usianya, Ogla terpaksa pasrah untuk bertanding dengan wanita lebih muda berusia 80 hingga 85 tahun atau lelaki.


“Tentulah saya lebih suka kalau dapat bertanding dengan atlet sebaya, tapi ia bukan perkara mudah. Jika tiada pilihan, terpaksa saya bertanding dengan diri sendiri,” kata Ogla yang menyertai 11 acara padang dan balapan. Ogla membuktikan seseorang itu masih boleh kekal sihat dan cergas walaupun meniti arus penuaan. Malah, dengan mengamalkan gaya hidup cergas, dia dapat melengahkan kemunculan pelbagai jenis penyakit yang sering dikait­kan dengan penuaan dan dia juga masih kekal sihat dan kuat.


Dilahirkan dalam keluarga petani di Saskatchewan, ketika muda Ogla aktif bermain bola lisut. Pada usia 70 tahun, Ogla menyertai pasukan bola lisut dan bermain untuk lima posisi. Namun, dia hanya mencuba sukan lain selepas bersara dan akhirnya ‘ketagih’ dengan sukan padang dan balapan.


Anak ketujuh daripada 11 beradik ini mempunyai sejarah perkahwinan yang kelat. Dia sering menjadi mangsa keganasan suaminya yang ketagihan alkohol. Tidak tahan didera suami, akhirnya Ogla mengambil keputusan menjadi ibu tunggal pada pertengahan 1950-an. Anak sulungnya, Nadine dikesan menghidap kanser limfoma ketika berusia 53 tahun dan meninggal dunia pada 1999. Untuk mengekalkan stamina, Ogla bersenam sekurang-kurangnya satu setengah jam setiap hari. Dia juga mengikuti kelas aerobik air tiga kali seminggu dan melakukan senaman regangan, pernafasan dan mendapatkan urutan refleksologi tangan serta kaki secara berkala. Dia turut menjalani latihan larian, jalan, lompat jauh dan lontar lembing secara bergilir-gilir. Tidak cukup dengan itu, Ogla melakukan senaman di rumah terutama jika sukar melelapkan mata pada waktu malam. 


Ogla menjadikan amalan untuk sentiasa bergerak walaupun ketika berbaring di atas katil. Biasanya dia mengambil masa 90 minit mengurut kulit dan ototnya sebelum tidur amalan yang dilakukannya sejak lebih sedekad lalu sebagai cara merehatkan diri. 


Dalam soal penjagaan makan, Ogla tidak ambil makanan segera. Baginya, makan perlu secara sederhana dalam kuantiti kecil, tetapi kerap iaitu empat hingga lima kali sehari. 


Penulis buku Kanada, Bruce Grierson, 51, tinggal berhampiran rumah Ogla. Jauh di sudut hatinya tersimpan rasa kagum terhadap kesihatan dan kecergasan Ogla sedang­kan dia sudah mula mengalami beraneka rasa sakit seperti kebanyakan individu pertengahan umur yang lain. 


Ini sebabnya dia bersungguh-sungguh memujuk Ogla supaya membenarkan saintis menjalankan kajian dan pemerhatian ke atasnya dengan harapan dapat membongkar rahsia guru pencen itu. Semua penemuan itu direkodkan dalam buku terbarunya berjudul What Makes Olga Run. 


“Dia juga ingin tahu me­ngenai fisiologi badannya sendiri. Jadi dia bersetuju menjadi bahan kajian,” kata Grierson. 


Kajian saintifik dijalankan di Institut Beckman di Urbana, Illinois yang membabitkan MRI, ujian daya ingatan dan kognitif ke atas Ogla menunjukkan tahap kesihatannya itu gabungan beberapa faktor iaitu gaya hidup yang baik, sikap positif dan personaliti semula jadinya. 


Dalam kajian itu mendapati Ogla mempunyai otak yang jauh lebih muda seperti individu berumur 50-an atau 60-an. Biasanya jarak antara otak dan tempurung kepala akan bertambah besar dengan peningkatan usia, tetapi keadaan ini tidak dilihat pada Ogla kerana ia kelihatan menyamai orang yang jauh lebih muda. 


Bahkan hippocampus iaitu satu kawasan kecil pada otak yang dikaitkan dengan daya ingatan dan navigasi ruang bertindak balas de­ngan baik terhadap senaman. 


Pun begitu, Grierson memberitahu Ogla turut menunjukkan kesan penuaan contohnya dia sukar mempelajari teknik baru - satu perkara normal bagi keba­nyakan warga emas. 


Kajian psikologi yang dijalankan penyelidik di Universiti McGill di Montreal bagaimanapun masih berlangsung. Saintis kini meng­analisis darahnya dengan harapan dapat menemui jawapan kepada kecergasan dan kekuatannya.


Namun Ogla ada jawapan yang lebih mudah dengan mengelak berlakunya kecederaan. Caranya ialah sentiasa memastikan dirinya cergas, tidak bersenam apabila hujan dan makan empat hingga lima hidangan ber­saiz kecil setiap hari. 


Grierson berkata, Ogla mendengar apa yang cuba disampaikan oleh badannya. Sebab itu guru pencen berkenaan sentiasa dalam keadaan yang baik dan tidak tertekan. 


“Untuk lompat tinggi, aras palang mungkin tidak terlalu tinggi, tetapi dia mampu melayang ke udara dengan teknik yang baik. Dia memang wanita unik yang jarang kita temui,” sambung Grierson. 


Dr Robert E Sallis dari Kolej Perubatan Sukan Amerika berkata, individu yang tidak aktif akan kehilangan ke­upayaan jauh lebih awal berbanding mereka yang aktif. Mereka yang mengamalkan hidup aktif dan cergas boleh mengekalkan banyak keupayaan fizikal dan mental sehingga meninggal dunia. 


Apapun penerangan doktor dan saintis, bagi Ogla lebih penting ialah menjalani dan menikmati kehidupannya sebaik mungkin.


“Saya tidak rasa tua. Saya tidak tahu apa itu tua,” jawabnya pendek. 


Tahun ini, ketika usia menginjak ke angka 95 pada Mac depan, Kotelko sudah mendaftar untuk menyertai pertandingan di Kamloops di British Columbia (Kanada) dan Budapest. Dia juga memasang impian untuk menyertai lebih banyak pertandingan, sekurang-kurangnya satu pertandingan sebulan antaranya pecut 100 meter, lompat jauh dan lontar lembing.


Pemegang 26 rekod dunia itu mengakui berbang­ga dengan pencapaiannya setakat ini. Namun, pencapaian paling indah apabila dia diberi kepercayaan membawa obor Sukan Olimpik 2010 di Vancouver. 


“Bagi saya itu peluang sekali seumur hidup. Bagaimanapun, saya tetap hargai semua pingat emas yang saya dapat, kini jumlahnya melebihi 750 pingat. Tetapi saya tidak simpan semua, ada yang diberi pada orang. Buat apa kumpul banyak-banyak kerana saya akan dapat pi­ngat lagi, selagi hayat masih ada,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.