Total Pageviews

Saturday, 4 May 2019

Rahsia Wook jaga suami lebih muda






Rahsia Wook jaga suami lebih muda



HULU TERENGGANU 26 Nov. - Selepas tiga tahun menjalani kehidupan berumahtangga, Wook Kundur, 106, mempunyai rahsia tersendiri untuk memastikan kebahagian bersama suaminya, Mohd. Nor Musa, 37, terus berkekalan.
Menurut warga emas itu, dia mengamalkan beberapa perkara untuk membahagiakan Mohd. Nor yang jauh lebih muda, antaranya sentiasa berfikiran positif, ceria dan mengurut tubuhnya sendiri.
Wook yang lebih gemar membahasakan dirinya 'saya' kepada tetamu berkata, tiga perkara itu membuatkan dirinya sentiasa muda dan mampu melayani suaminya dengan baik.
"Layan suami ada banyak maknanya. Pertama, layan makan minum dan pakaian. Yang itu, saya buat seperti wanita lain yang bersuami. Saya memasak, membasuh dan buat kerja rumah yang lain.
"Kedua, layan tempat tidurnya. Yang itu tak payahlah cakap dalam-dalam. Faham-faham sendirilah apa maknanya. Biar saya cakap, yang itupun tak saya abaikan. Berdosa abaikan suami dari segi itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kuala Berang semalam.
Menurut warga emas itu, dia tidak akan berkahwin dengan Mohd. Noor jika tidak mampu melaksanakan semua perkara berkenaan dan lebih baik tinggal seorang diri sehingga akhir hayat.
"Saya nak cakap kepada orang yang buat fitnah, saya tidak abaikan suami dalam semua hal, kecuali masa demam dan tak larat.
"Memanglah, kita ini bukan sentiasa segar (sihat). Ada masanya sakit demam juga. Kalau kita sakit dan tak dapat layan suami, itu bukan abai namanya, itu di luar kemampuan pada masa itu," ujarnya.
Wook berkata, sejak muda dia melakukan amalan mengurut diri sendiri untuk memastikan tubuhnya sihat selain sentiasa lapang dada dalam menghadapi apa juga cabaran hidup.
Sepanjang usianya, wanita itu berkata, banyak pahit maung dialaminya, namun dia sentiasa berfikiran positif dan percaya semua masalah mampu diatasi dengan keimanan.
Menurutnya, dia pernah menghadapi saat kematian berbelas-belas suaminya dan menjadi ibu tunggal dalam tempoh tertentu namun semua itu dihadapinya dengan tabah.
"Saya ada lebih 20 anak, berpuluh cucu, berbelas cicit. Ada yang dah balik (meninggal dunia) lebih dulu daripada saya. Saya akan terus senyum (ceria) dan mahu habiskan baki usia ini dengan amal ibadat," katanya.
Menurut Wook, Mohd. Nor merupakan suaminya yang ke-22 dan antara yang termuda ketika mereka berkahwin.


.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.