Total Pageviews

Saturday, 4 May 2019

Rahsia umur 100 tahun Soom Din


Rahsia umur 100 tahun Soom Din






KANGAR - ‘Lebihkan manis dalam senyuman, kurangkan gula dalam minuman.' Kata-kata ini sebenarnya adalah nasihat kepada penduduk negara ini bagi mengelak penyakit kencing manis, namun bagi seorang nenek berusia 100 tahun, ia merupakan rahsia dia bebas dari sebarang penyakit.

Soom Din yang masih mampu melihat dan mendengar dengan jelas berkata dia sangat berhati-hati dalam soal pemakanan terutamanya pengambilan gula dalam minumannya.

Kata nenek yang mempunyai 30 cucu termasuk cicit ini, dia lebih gemar minum air suam berbanding minuman lain supaya dia kekal cergas melakukan aktiviti harian.

“Jika saya minum air kopi atau teh saya akan pastikan gula yang diambil sangat sedikit, malah saya lebih suka membacuh sendiri air tersebut dari mengharapkan anak-anak atau cucu.

“Gula hanya melemahkan tubuh kita selain menyebabkan pelbagai jenis penyakit,” katanya yang berasal dari Simpang Empat dekat sini.









Ulam pahit jadi pilihan

Menurut Soom selain kurangkan gula, dia juga tidak melupakan amalan turun temurun masyarakat Melayu dengan memakan ulam-ulaman.

Namun untuk menjaga kesihatan badan, Soom memilih untuk makan sayur atau ulam yang pahit dan kelat seperti pucuk putat, bunga betik, daun kadok, ulam raja, termasuk melebihkan halia dan kunyit dalam masakannya.

Ini kerana Soom percaya ulam-ulaman tersebut sangat bermanfaat untuk melancarkan perjalanan darah sekaligus memberi kesan yang baik kepada penglihatan, pendengaran dan ingatannya walaupun sudah berusia 100 tahun.

“Sejak zaman remaja saya sudah amalkan makan ulam-ulaman sebegitu untuk kekal cergas dan awet muda, kita perlu bijak memilih ulam-ulaman ini  kerana ada sesetengah ulam yang boleh menambah angin dalam badan.

“Ulam-ulaman atau sayur-sayuran seperti kubis, kacang panjang dan timun boleh dimakan tapi tidak boleh diamalkan selalu,” ujarnya.

Soom yang tidak boleh berjalan akibat terjatuh tahun lalu bagaimanapun boleh memasak makanannya sendiri.
“Saya tidak suka mencampurkan makanan yang dimasak dengan perisa makanan, cukuplah dengan bahan asli supaya khasiat makanan terjaga,” jelas Soom.









Kerja kuat sejak remaja
Soom yang pernah melalui zaman penjajahan  berkata kesasuhan hidup menjadikan dia seorang remaja yang sangat tabah tanpa mengenal erti penat lelah.
Katanya dengan kudrat yang ada pada dirinya, ketika berusia 14 tahun dia sudah mengambil upah menanam padi di sekitar Simpang Empat.
“Upah pada waktu itu jauh berbeza dengan sekarang iaitu setiap 0.29 hektar atau satu relung sawah saya hanya menerima upah RM3 berbanding sekarang akan dibayar dengan harga RM250.
“Walaupun RM3 tetapi wang sebanyak itu sangat bernilai bagi saya untuk mendapatkan sesuap nasi, dengan duit itulah saya membeli beras dan barang keperluan lain bagi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.
Soom memberitahu, ada kalanya dia tidak dapat keluar bekerja kerana keadaan darurat sehingga memaksa dia makan ulam-ulaman yang ditanam di tepi rumah dan juga ubi kayu.







Tujuh Suami
Kehidupan sebagai seorang wanita di zaman penjajahan memaksa Soom berkahwin muda pada usia 16 tahun.
Ujarnya hasil perkahwinan pertamanya, dia dikurniakan dua orang anak sebelum bercerai dan bernikah semula.
“Tetapi dua perkahwinan saya selepas itu turut gagal sebelum bernikah dengan Ismail Senapi dan dikurniakan empat orang anak.

“Saya kemudiannya bercerai dan berkahwin sehinggalah kali ke tujuh, jodoh saya tidak panjang…bagaimanapun saya bersyukur kerana saya mempunyai anak-anak yang rapat dan boleh menjaga saya dengan baik di usia begini,” katanya.

Tambah Soom liku-liku kehidupan yang dilalui sepanjang usia 100 tahun yang disambut pada Mei lalu menjadikan Soom bersyukur dengan kehidupannya sekarang.

Ujar nenek ini kurniaan kesihatan yang baik di usia 100 tahun jarang dimiliki oleh orang lain, justeru dia sangat gembira dapat berkongsi rahsia kesihatan dan pengalaman hidupnya kepada umum supaya dapat menjadi contoh dan sempadan kepada masyarakat di luar sana.





..

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.