Total Pageviews

Saturday, 4 May 2019

Sejarah Palestin



Sejarah Palestin





KONFLIK yang berlaku di Palestin antara Arab dan Israel sudah berlarutan sejak sekian lama. Jika dihitung dari tarikh rasmi penubuhan negara Israel pada 15 Mei 1948, konflik ini sudah lebih enam dekad, manakala berdasarkan sejarah Palestin moden, ia jatuh ke tangan British pada 1917.

Kebanyakan sarjana sepakat mengatakan, bibit kejatuhan Palestin bermula sejak akhir abad ke-19 Masihi akibat kelemahan pemerintahan Turki Uthmaniyyah ketika itu. Ia turut ditambah dengan kewujudan agenda zionis selepas tertubuhnya, Pertubuhan Zionis Dunia (World Zionist Organization) pada 1897.

Umat Islam di Palestin tidak pernah duduk diam apabila negara mereka ditakluk British. Perjuangan mencari keadilan dan membebaskan negara mereka daripada cengkaman pihak luar terus dilakukan oleh segenap lapisan masyarakat.

Zionis merancang rapi strategi bagi menjayakan agenda mereka dengan cara melobi mendapatkan pengiktirafan terhadap mereka. Zionis bekerja berdasarkan undang-undang sesuatu negara, ia menunjukkan betapa licik dan teliti pergerakan mereka sehingga tidak mahu dilihat sebagai penentang. Akhirnya, Yahudi mendapat simpati kuasa besar, Britain dan menyokong penubuhan sebuah negara untuk Yahudi melalui Deklarasi Balfour yang dikeluarkan pada 2 November 1917.




Penindasan berterusan

Pada 1987, berlaku intifadah atau kebangkitan besar-besaran rakyat Palestin untuk membela diri dari penindasan berterusan, tetapi kembali reda pada 1993, apabila perjanjian Oslo ditandatangani. Perjanjian perdamaian itu meredakan kemarahan rakyat Palestin, seterusnya membolehkan penduduk Israel hidup seperti sedia kala. Intifadah kedua berlaku pada 29 September 2000, selepas kesucian Majid al-Aqsa dicemari dengan kehadiran Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon pada 28 September 2000 dengan diiringi oleh 1,000 tentera Israel.

Rakyat Palestin menentang tentera Israel yang menyebabkan lebih 200 umat Islam cedera dan sekurang-kurangnya empat maut. Ia berlangsung agak lama sehingga ada beberapa usaha damai dilakukan seperti Road Map 2002, 2005 dan Persidangan Annapolis pada 2007.

Keganasan Israel berterusan secara besar-besaran apabila mereka menyerang Gaza pada akhir 2008 hingga 22 Januari 2009 yang meranapkan sebuah daerah kecil, begitu dahsyat sekali. Israel melakukan keganasan ini untuk memerangi Hamas yang memerintah Gaza bermula Mac 2006. Mereka menganggap, Hamas sebagai kumpulan pengganas yang harus diperangi.

Dalam dunia kontemporari ini, kita dapat melihat Palestin berada di bawah penguasaan Yahudi yang menubuhkan negara Israel di atas tanah dirampas daripada penduduk Arab, terutama penduduk Islam.

Umat Islam menganggap, Palestin sebagai satu rantau penting. Hal ini berdasarkan kepada nas dan juga sejarah. Umat Islam mesti sedar, Baitulmaqdis dan bumi Palestin ini sungguh bermakna serta mempunyai kaitan yang panjang dalam Islam. Umat Islam tidak boleh memandang remeh soal Baitulmaqdis dan Palestin kerana ia bukan isu masyarakat Arab semata-mata tetapi isu umat Islam seluruh dunia.

Banyak resolusi yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan terhadap Israel, tetapi mereka angkuh serta enggan mengikut apa yang diputuskan pada peringkat antarabangsa. Ini menyemarakkan lagi semangat intifadah rakyat Palestin. Selagi mereka tidak mahu patuh, selagi itulah umat Islam akan terus berjuang menentang kezaliman dan mengembalikan keamanan seperti pernah dikecapi sebelum ini di bawah pemerintahan Islam.

Kuasa besar yang menguasai dunia pada hari ini, Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya sanggup melakukan apa sahaja dalam memerangi umat Islam. Mereka mencanangkan perang ke atas pengganas (war on terrorism) yang akhirnya, matlamat utama mereka tidak lain ialah untuk melumpuhkan Islam. Hakikatnya, merekalah yang menyebarkan keganasan di seluruh pelosok dunia, lebih-lebih lagi di negara Islam.



Cari jalan penyelesaian

Umat Islam di seluruh dunia perlu bersatu di bawah panji Islam dan mencari jalan sendiri menyelesaikan masalah yang sudah berlarutan sejak sekian lama. Sempadan geografi moden tidak dapat memutuskan silaturahim antara sesama Muslim!

Seperti yang diketahui, Islam merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia, termasuk siyasah. Menjadi satu kehairanan apabila bukan Islam takut umat Islam berpegang teguh dengan ajaran agama Islam. Sebenarnya, tidak ada apa yang perlu ditakutkan oleh orang bukan Islam dengan situasi itu tetapi itulah hakikatnya.

Dalam hal ini, bekas Gabenor Mesir dan Sudan, Lord Cromer pernah mengungkapkan, England is prepared to give independence to all her colonies, when there exist a generation of intelectuals who have been inbued with Western values, ready to take over the administration, but we will not allow the setting up of an Islamic state even for a second.

Hal ini jelas menunjukkan, bahawa kuasa besar Barat tidak mahu sesebuah negara itu kembali kepada corak pemerintahan Islam kerana mereka bimbang ia akan menghancurkan Barat itu sendiri. Lantas, pergolakan antara Israel-Palestin turut terkesan kerana kuasa Barat ini mahu mengungguli kawasan Asia Barat yang kaya dengan petroleum.

Sepanjang pembabitan Amerika dalam isu ini, pergolakan tidak pernah berhenti, malah ia menjadi lebih kronik lagi. Minda mereka sama dengan apa yang diungkapkan oleh Lord Cromer. Tambah memedihkan, Amerika turut menggunakan veto bagi membenarkan Israel terus membina nuklear yang jelas bercanggah dengan resolusi 242 yang mahukan kawasan Asia Barat bebas dari nuklear.

Sikap double standard yang ditunjukkan tidak membawa kepada kedamaian yang dicari. Oleh sebab itu, wajar untuk menyelesaikan konflik yang berlaku tanpa pembabitan pihak yang mempunyai banyak kepentingan peribadi, melainkan sekiranya mereka betul-betul ikhlas mahu mewujudkan keadilan dan keamanan sejagat.


Penulis ialah Penolong Pengarah, Unit
Pembangunan Remaja,
Masjid Putra, Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (JAKIM)




.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.