Total Pageviews

Saturday, 4 May 2019

Nenek 94 Tahun mahir berkungfu











Nenek 94 tahun mahir berkungfu





March 29, 2017 


DUDUK berehat di rumah sambil bermain bersama haiwan peliharaan atau cucu sementara menghabiskan sisa-sisa hidup merupakan stigma masyarakat hari ini terhadap golongan warga emas. Bagaimanapun, seorang wanita berusia 94 tahun yang berasal dari Dongyuan, China baru-baru ini berjaya mengubah stereotaip tersebut apabila aksi lincahnya bermain kung fu tersebar. Kemahiran yang dimiliki oleh Zhan Hexian dalam sukan seni mempertahankan diri itu ternyata membuktikan bahawa golongan tua juga mampu bergerak aktif sama seperti anak muda. “Saya telah diperkenalkan dengan kung fu sejak berusia empat tahun.

“Ibu bapa saya merupakan seorang yang begitu menitikberatkan keselamatan anak-anak. Disebabkan itu, mereka mendaftarkan saya di kelas kung fu ketika masih kecil. Mereka mahu anaknya berani mempertahankan diri dan tidak mahu saya menjadi mangsa buli di sekolah,” ujar Hexian sambil memberitahu, pada mulanya dia mengakui tidak begitu meminati sukan tersebut.



Kelas kung fu

Bagaimanapun, setelah beberapa kali berlatih, minatnya terhadap kung fu semakin menebal. Malah, pada hari ini, dia begitu mahir melakukan pelbagai aksi menggunakan tangan, kaki dan sebatang kayu ketika mempertahankan diri. Bukan itu sahaja, Hexian turut mempunyai kelas seni mempertahankan diri miliknya di bandar Liyang dan Ningbo yang terletak di wilayah Zhejiang.

Biarpun Hexian kini berusia 94 tahun, namun dia masih lincah beraksi dan menurunkan ilmu kepada anak muridnya. Disebabkan kelincahannya itu juga, tidak hairanlah jika anak muridnya menggelarkan Hexian sebagai ‘kaki bersayap’.

Menurut sebuah portal berita di negara tersebut, Hexian terkenal dengan tumbukan dan tendangan maut dalam kalangan penduduk setempat. Kemunculannya yang sering membawa sebatang kayu sebagai senjata digeruni oleh kebanyakan individu di kawasan kediamannya. “Pada mulanya mereka meragui kebolehan yang dimiliki memandangkan faktor usia saya.



Wira kampung

“Bagaimanapun sebaik melihat aksi saya melawan sekumpulan gengster yang membuat kacau di kawasan berdekatan, mereka mula kagum dan mengangkat saya sebagai wira. “Kemahiran yang ada pada hari ini bukanlah untuk kepentingan diri sendiri. Sebaliknya, ia digunakan untuk membantu masyarakat setempat yang berada dalam kesusahan seperti mangsa buli selain menewaskan penyangak dan pencuri,” jelasnya.Cerita Hexian lagi, beberapa tahun yang lalu, dia pernah memukul seorang lelaki secara tidak sengaja. “Kebetulan pada waktu itu saya sedang melalui kawasan tersebut. Tiba-tiba saya ternampak seorang lelaki yang sedang memukul isterinya. “Disebabkan kasihan dan terlalu marah dengan perbuatannya itu, saya terus meluru ke arah mereka. Tanpa disedari, saya telah memukul dada lelaki tersebut secara tidak sengaja,” kongsinya lagi.

Biarpun begitu, Hexian menegaskan bahawa tindakan tersebut bukan menunjukkan dia memiliki personaliti yang ganas kerana kemahiran yang dimiliki itu hanya digunakan untuk tujuan perlindungan dan ketika kecemasan sahaja. Ujar wanita ini lagi, dia begitu berharap agar kemahiran seni mempertahankan diri yang dimilikinya dapat diperturunkan kepada anak dan juga cucunya. – Agensi










..


No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.