Total Pageviews

Saturday, 4 May 2019

Rahsia PANJANG UMUR nenek Jepun


Nenek Jepun Berusia Lebih 90 tahun Menceritakan Rahsia PANJANG UMUR




Seorang nenek tua yang kelihatan sebaya dengan arwah nenekku berjalan memasuki supermarket. Jalannya perlahan, namun aturan langkahnya teratur.  Cukup untuk memberitahu dunia bahawa dia masih bertenaga, walaupun usia sudah menjangkau 70-an. Atau lebih.

Aku yang kebetulan duduk di salah sebuah daripada 3 kerusi yang mengelilingi  meja bulat kecil di ruangan menunggu supermarket itu mengamatinya dari jauh.

Tubuh kecil itu menarik perhatianku, mengenangkan aku kepada arwah nenek yang baru beberapa tahun meninggalkan kami pada ketika itu. Alangkah bagus sekiranya arwah nenekaku pun seperti itu, masih sihat, memancarkan aura yang bahagia, sentiasa tersenyum dan tampak positif. 

Rata-rata orang Malaysia apabila umur sudah mencecah  60 tahun, penyakit mula bertandang, malah ada yang sudah terlantar di katil. Fenomena biasa. Gaya hidup berbeza, diet berbeza, pendedahan pendidikan berbeza.

Orang dulu-dulu tinggal di kampung, jaga adik-adik, tidak mampu ke sekolah atas sebab kekangan masa. Ada sahaja masa, terpaksa pula berbanting tulang mengerah tenaga mencari rezeki untuk keluarga. Tidak boleh salahkan sesiapa. Hidup ini tidak mudah. Asap yang keluar daripada cawan yang berisi green tea hangat itu ditiup perlahan. Dibiarkannya sejuk sambil dua tanganku menyuakan gelas itu kemuka. Sedikit haba mula membelai lembut mukaku. Hangat green tea menjalar perlahan ke seluruh tubuh.

Matahari mula menyinar, tanah mula manghijau, kicauan burung mula mengisi sunyi tanda tamatnya hibernasi, bunga-bungaan mula mengembang indah menghiasi ekspektasi lensa potret musim bunga.   Sambil menyedut aroma green tea yang mengasyikkan, mata kami bertaut. Aku menghadiahkan senyuman sekadar untuk berbasibasa. Nenek membalas.

 Aku terus mengelamun ke dalam duniaku sendiri. 

Entah macam mana, nenek tiba-tiba sudah terpacak di sebelahku.  Sedikit kaget, aku mempersilakannya duduk. 
Sementara menunggu rakan seperjuanganku yang sedang khusyuk membeli belah, elok juga ada teman berbual. 

Nenek di Jepun terutamanya di kawasan kampung sangat ramah dan fenomena tiba-tiba ditegur dan melayan bercakap ini sudah biasa. Mungkin mereka juga bosan di rumah. Anak-anak bekerja, cucu cicit ke sekolah. Tak apalah, layankan sahaja. Nenek itu bersemangat bercerita tentang kisah hidupnya, tentang Jepun, itu dan ini. Asyik sekali. Rupanya nenek itu sudah berusia lebih 90 tahun! 

Dengan senyuman yang tidak lekang di bibir dan kepetahannya bercerita dengan gaya yang cukup bertenanga, siapa sangka umurnya sudah sebegitu lanjut.  "Interesting," desis hatiku. 

Aku mula mengorek sedikit demi sedikit rahsia panjang umur wanita yang bakal menjangkau satu abad ini. 

Terangnya, "Orang zaman dahulu makan makanan yang "fresh", sihat, yang tidak mengandungi bahan kimia. Jauh sekali makanan yang diproses. 


Kami makan apa yang kami tanam seperti sayur-sayuran, buah buahan mengikut musim. Bagi kami, setiap meal wajib mengandungi sayur walaupun sedikit. 

Sebagai sumber protein, berbanding ayam, kami lebih suka memakan ikan-ikan segar dari laut(sushi, sashimi(makanan laut mentah) dan sewaktu dengannya.). 
Cara memasak pun memainkan peranan yang penting. Kami banyak memakan makanan bakar(ikan bakar), sup(miso sup) dan rebus."
"Rajin berjalan", tambahnya lagi. 

"Setiap pagi nenek akan bangun awal dan berjalan lebih kurang 5km daripada rumah nenek. Apabila ada masa,nenek tidak akan duduk lama-lama di atas kerusi. Sebaliknya nenek akan melakukan senaman ringan seperti bangun duduk, bangun duduk di atas kerusi, ataupun mengurut-ngurut dan menggerakkan kaki dan tangan sendiri."

Aku cukup tahu bahawa "bangun awal dan berjalan" bagi datuk-datuk dan nenek-nenek di Jepun ini adalah selepas subuh dan sebelum keluarnya fajar as-siddiq, iaitu  lebih kurang dalam pukul 4-5 pagi di sini. 

Mereka ini sama ada keluar berjoging, bercucuk tanam, atau sekadar bersiar-siar menghirup udara pagi. Pendek kata hari mereka sudah bermula pada waktu itu, waktu yang kita masih menarik selimut untuk cuba tidur selepas subuh. 

Hebatnya nenek ini, tak padan dengan  kecil dan badan pun sudah sedikit bongkok, masih lagi bersemangat. Tidak penat ke? 

"Nenek dulu masa muda asyik sibuk bekerja. Langsung tiada masa untuk bersenam. Ketika berumur 50 tahun, nenek jatuh sakit dan terpaksa terlantar di hospital(nenek ada bagitahu sakit apa tapi saya sudah lupa). 


Beberapa bulan nenek terpaksa menghabiskan masa dengan hanya telentang di katil, menghitung waktu. 

Tetapi semangat nenek kuat. Nenek tidak putus asa kerana bagi nenek,kalau bukan nenek yang mengubah nasib nenek, tiada siapa boleh tolong untuk megubahnya.  

Jadi nenek mula bangkit dari katil, daripada senaman ringan di katil nenek mula boleh berjalan.

Bermula daripada itu, nenek mula berjalan setiap pagi,pada hari hujan pula nenek akan buat senaman semampu nenek di rumah sambil ditemani cucu-cucu. 

Sakit nenek mula sembuh dan nenek boleh hidup sampai sekarang. Waktu nenek sakit ketika itu, nenek tidak sangka nenek mampu bertahan lebih daripada 40 tahun. 

Jagalah kesihatan, nak. Tubuh badan adalah harta paling berharga. Jagalah ia baik-baik."



.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.