Total Pageviews

Saturday, 4 May 2019

Cendawan anti kanser




Cendawan anti kanser






Bukan kemiskinan atau penganiayaan yang menjadi punca penghijrahan Lee T.B ke Korea Selatan. Tidak seperti pelarian lain, Lee meninggalkan tanah airnya kerana cendawan dan untuk memenuhi impian mendiang isterinya.


Sudah berpuluh tahun Lee menjalankan kajian ke atas cendawan dan menghasilkan pelbagai produk menggunakan cendawan kerana dia percaya ia mempunyai khasiat untuk melawan kanser - penyakit yang meragut nyawa isterinya 25 tahun lalu. Berasakan kerjanya terhalang dan terancam oleh kerajaan Korea Utara, Lee mengambil keputusan melarikan diri ke Korea Selatan pada 2005.


Namun, perjalanan kerjanya di Korea Selatan tidak seindah yang disangka. Dia pernah ditipu ahli perniagaan penyangak. Pernah juga dia langsung tidak mempunyai wang dan terpaksa menggunakan produk cendawannya untuk ditukar dengan nasi dan sayur. Kini, saintis berusia 66 tahun itu boleh tersenyum kerana produk ciptaannya akan dikeluarkan dan dijual secara besar-besaran.


“Dulu saya belajar di bawah sistem sosialis dan langsung tidak tahu mengenai hubungan sosial sesama manusia. Ekonomi dan perniagaan dijalankan di bawah sistem kapitalis. Jadi ada orang mengambil kesempatan atas kelemahan saya itu,” katanya dalam satu temubual bersama wartawan AP di kilang barunya di sebuah kampung pertanian di Hwaseong, tidak jauh dari Seoul.


Lee meminta supaya nama sebenarnya dirahsiakan kerana bimbangkan keselamatan dua anaknya yang masih tinggal di Korea Utara.


Pelarian elit seperti Lee tidak ramai dan keputusannya meninggalkan tanah airnya untuk mendapatkan kebebasan akademik juga satu perkara yang jarang dilakukan. Namun, kesusahan yang dialaminya sama seperti pelarian Korea Utara lain apatah lagi untuk bersaing dengan penduduk selatan yang sangat kompetitif dan berpendidikan tinggi.


Dulu Lee bekerja sebagai ahli mikrobiologi di Akademi Sains Korea Utara. Cendawan yang dikajinya itu menjadi ubat tradisional bagi penduduk Korea kerana ia mengandungi bahan antivirus, antioksidan dan merendahkan kolesterol. Beberapa kajian terbaru juga menunjukkan cendawan mungkin boleh membantu merencatkan pertumbuhan tumor.




Tunai hasrat isteri 

Pada 1980-an, Lee berpeluang bekerja di sebuah institut kajian cendawan di Siberia selama beberapa tahun yang menyebabkan dia terpaksa tinggal berjauhan dari keluarganya. Lee balik ke tanah air lima hari selepas kematian isterinya pada 1989.


“Saya tidak tahu dia menghidap kanser. Dia sembunyikan kesakitannya kerana tidak mahu menyusahkan dan mengganggu kerja saya. Dia memang insan yang hebat,” katanya sambil mengesat air mata dengan sapu tangan.


Dalam pesanan terakhirnya, isteri Lee meminta dua anak mereka menyokong kerjaya Lee dan berharap supaya suaminya berusaha menghasilkan produk mencegah kanser.


Namun, bukan mudah untuk memenuhi hasrat mendiang isterinya itu. Seperti saintis lain di Korea Utara, kajiannya sentiasa dikawal. Malah, dia diarah untuk menggunakan kepakarannya dalam mencari kaedah bagaimana daun pokok pain dan jagung boleh dijadikan sebagai sumber makanan alternatif.


Apabila projek makanan itu menemui jalan buntu akibat rasuah dan kekurangan bekalan elektrik untuk makmalnya, Korea Utara mengalami bencana kebuluran yang mengorbankan beribu-ribu nyawa pada 1990-an.


Pada tahun 2000, beberapa bulan selepas bekerja di institut sains pertanian di Yanbian, China, Lee terkejut apabila mengetahui kajiannya mengenai cendawan mendapat tajaan penduduk Korea Selatan yang secara rahsia melabur di situ.


Mengenangkan kekangan akademik di tanah air sendiri, Lee tidak mengendahkan arahan untuk balik selain bimbang dikenakan hukuman. Jadi ketika berada di China, dia sering berpindah dan meneruskan kajiannya ke atas cendawan. Dia teruja melihat banyaknya makanan di China dan berita positif mengenai Korea Selatan.


Akhirnya pada 2005, Lee nekad mencari kehidupan baru di Korea Selatan dengan bantuan pegawai di sana supaya dia dapat meneruskan misinya. Dia adalah antara 29,000 pelarian Korea Utara yang melarikan diri ke selatan sejak tamatnya perang saudara pada 1953.




Tekad cari pencegah kanser 

Di selatan, Lee mendapatkan paten untuk enam jenis cendawan dan menghasilkan produk yang didakwanya dapat menguatkan sistem imun badan bagi melawan kanser, diabetes, alahan rinitis dan masalah kesihatan lain. Dia mengekstrak miselium - bebenang halus seperti akar - dari beberapa spesies cendawan dan membiarkannya tumbuh bersama di dalam makmal untuk dikeringkan dan dijadikan serbuk.


Pada 2008, satu ujian selama enam bulan menunjukkan produk cendawan itu didapati boleh menyekat pertumbuhan sel kanser apabila diberikan kepada tikus, kata pensyarah di Kolej Perubatan Universiti Yonsei, di Seoul, Chun Kyung-Hee.


Chun yang bekerja di Pusat Kanser Nasional berkata dia menjalankan sendiri kajian itu di makmalnya dan dia tiada kaitan dengan Lee malah tidak pernah bertemu dengannya. Bagaimanapun kajiannya itu tidak diterbitkan atau diulas oleh rakan sejawat.


Walaupun ada kajian yang menunjukkan keputusan positif, Lee tetap mengalami masalah untuk memasarkan produknya sehinggalah awal tahun ini, beberapa ahli perniagaan menghubungi Lee selepas membaca mengenai produk cendawan di blognya. Merekalah yang menubuhkan Aleph BioChem selepas Lee bersetuju bekerjasama. Jurucakap syarikat memberitahu mereka menandatangani kontrak bernilai RM1.8 juta untuk membekalkan produk cendawan ke beberapa cabang perniagaan.


Menurut Lee, tekniknya yang menggabungkan pertumbuhan miselium beberapa spesies cendawan boleh merangsang nilai perubatan kerana ia saling bertindak antara satu sama lain.


Sesetengah pakar fungus yang dihubungi wartawan Associated Press berkata, walaupun cendawan ada ciri untuk merangsang kesihatan, tetapi menggabungkan miselium beberapa jenis cendawan adalah teknik yang sukar dan luar biasa. Dan Lee pula enggan mendedahkan tekniknya itu.


Woo Ho, perawat tradisional Korea berkata, dia sudah membeli produk Lee untuk 400 pesakitnya yang mengalami alahan rinitis, asma, enteritis, gout dan masalah lain. Ramai yang mengatakan masalah mereka berkurangan khususnya pesakit alahan rinitis.


Di makmal baru Lee dipenuhi dengan cendawan. Dalam balang di atas meja juga ada bawang putih bercendawan, artichoke, kacang pea dan cendawan chaga sebesar bola. Lee berkata, antara uji kajinya adalah menambah miselium cendawan kepada makanan berkenaan.


Sampai sekarang Lee masih terkenangkan mendiang isterinya. Dia nekad berusaha untuk meneruskan usahanya mencari pencegah kanser.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2016





No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.