Total Pageviews

Saturday, 4 May 2019

Hidup ukir batu atas gunung


Hidup ukir batu atas gunung



DINDING batu pada kawasan cerun di sebuah pergunungan di Nicaragua, Amerika Tengah penuh dengan ukiran. Sekali pandang, ia kelihatan seperti lukisan peninggalan zaman batu.
Bagaimanapun, karya seni tersebut sebenarnya dihasilkan oleh seorang pertapa, Alberto Gutierrez Giron yang mendiami kawasan Rizab Semula Jadi Tisey Estanzuela itu sejak hampir 40 tahun dahulu.
Popular dengan panggilan Lelaki Batu dan Pengukir Gunung, Giron, 73, menghabiskan masa selama kira-kira tiga jam sehari untuk memahat batu menjadi bentuk serta ukiran yang diingini.
Tinggal di dalam sebuah pondok kayu berhampiran ukiran itu, Giron yang juga terkenal dengan panggilan Pertapa Nicaragua membe­ritahu, dia membuat pelbagai ukiran termasuklah berunsurkan haiwan seperti gajah dan cheetah.
Selain itu, dia turut membuat ukiran berdasarkan monumen bersejarah seperti Pusat Dagangan Dunia di New York, Amerika Syarikat dan Esteli Cathedral di Esteli, Nicaragua.
“Saya melihat lukisan ini dalam mimpi semasa berusia sembilan tahun. Sejak itu, saya memasang niat untuk menzahirkannya dalam bentuk ukiran batu suatu hari nanti,” katanya.
Giron suka meneroka kawasan hutan berhampiran rumahnya dan pada umur 33 tahun, dia mengambil keputusan untuk menghabiskan hidupnya dengan dikelilingi alam semula jadi.
“Semasa perang melanda Nicaragua sekitar tahun 1977, saya fikir ia peluang terbaik untuk melarikan diri dan memulakan impian hidup saya,” katanya seperti dipetik Oddity Cental.


Ilham mimpi
Cerita Giron, dia menghabiskan separuh masanya mengukir dinding batu sepanjang 91 meter itu dengan elemen-elemen yang dimimpikan sejak kecil.
“Saya masih ingat ketika itu adalah hari lahir saya yang kesembilan. Saya bermain sepanjang hari dan tertidur kerana terlalu letih. Saya mendapat mimpi bahawa suatu hari nanti, saya akan membuat ukiran di sebuah gunung. Mimpi itu benar-benar memberi inspirasi untuk mengubah hidup saya,” jelasnya.
Katanya, imej dalam mimpi itu sangat jelas hingga dia mampu mengingatinya selama bertahun-tahun.
“Sewaktu pertama kali terjumpa formasi batuan sepanjang 91 meter di Gunung El Jalacate di kawasan Rizab Semula Jadi Tisey Estanzuela, saya tahu inilah tempat yang saya nampak dalam mimpi itu.
“Saya mengambil keputusan untuk terus menjadikan lokasi itu sebagai kediaman dan memulakan kerja-kerja mengukir,” katanya.
Giron tinggal di dalam sebuah pondok kayu yang dibina sendiri. Dia tidak mempunyai akses kepada air bersih dan hanya tidur di atas tanah.
Lelaki itu juga tidak memahami konsep moden dan teknologi seperti internet walaupun medium tersebut yang menjadikannya salah seorang pertapa terkenal di dunia.


Tarikan pelancong
Populariti tersebut dikecapi selepas Giron menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara yang mengunjungi Rizab Semula Jadi Tisey Estanzuela.
Kisah hidup Giron yang tinggal berpuluh-puluh tahun di dalam hutan secara berseorangan, selain ukiran batu karyanya menjadi bualan dan disampaikan daripada mulut ke mulut.
Kebanyakan pengunjung yang datang ke destinasi itu pasti mahu melawat dan melihat karya Giron sebagai simpanan memori percutian mereka.
“Mereka merakam gambar diri saya, rumah kecil saya dan juga mendengar cerita mengenai ukiran batu ini. Tidak semena-mena, saya meraih populariti tersendiri dan menjadi tarikan pelancong,” katanya.
Tidak terhenti di situ, Giron turut diberi penghargaan oleh badan pelancongan El Tisey beberapa tahun lalu sebagai tanda terima kasih atas usahanya mempromosikan kawasan tersebut sebagai destinasi pelancongan.
“Sejak lebih 10 tahun lalu, saya menerima kunjungan daripada kira-kira 30,000 pelancong.
“Bagi memudahkan mereka menemui rumah saya dengan meletakkan beberapa papan tanda. Saya gembira menerima kunjungan pelancong dari pelbagai negara,” ujarnya.
Giron mendakwa dirinya dilahirkan pada 17 Oktober 1944 di sebuah kampung dekat bandar Esteli walaupun dia sudah tidak memiliki sijil kelahiran itu.
Lelaki itu juga tidak pernah mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak. Begitu pun, dia tidak pernah berasa sunyi atau terpinggir.



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.