Mono vs poli
http://tigosotigo.blogspot.com/2010/07/monogami-vs-poligami.html
Pembinaan institusi kekeluargaan di dalam Islam bermula dengan perkahwinan.
Pada dasarnya perkahwinan adalah sebahagian dari fitrah manusia. Dalam Islam
pula perkahwinan itu adalah ibadah.
Di dalam sistem perkahwinan Islam, lelaki dibenarkan berkahwin dengan
seorang wanita yang dikenali sebagai monogami. Dalam waktu yang sama
lelaki tersebut juga boleh berkahwin lebih daripada satu dan tidak boleh lebih
daripada empat orang isteri dalam satu-satu masa yang dikenali sebagai poligami.
Sebenarnya perjuangan untuk memartabatkan wanita adalah baik dengan syarat
selari dengan syariat Islam, namun apa yang dilakukan oleh Gabungan Hak Wanita
Dalam Islam adalah sebaliknya. Kempen bertemakan ‘Satu Suami Satu Isteri’
iaitu ‘monogami pilihanku’ adalah berbau ‘anti-poligami’. Sedangkan poligami
sebenarnya diharuskan dalam Islam.
Allah SWT berfirman: “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap
perempuan-perempuan yatim (bila kamu berkahwin dengan mereka) maka dengan
sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau
empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri
kamu) maka berkahwinlah dengan seorang sahaja, atau pakailah hamba-hamba yang
kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat untuk mencegah supaya kamu
tidak melakukan kezaliman.” (QS An-Nisa’: 3)
Gabungan tersebut dianggotai oleh 12 pertubuhan yang terdiri daripada
Sisters In Islam (SIS), Persatuan Tindakan Wanita (AWAM), Persatuan Islam Dan
Keluarga Polis (PERKEP), Puspanita, Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita
Malaysia (NCWO), Persatuan Pekerja Wanita (PERWANIS), Wanita PERKIM Kebangsaan,
Wanita Inovatif Jayadiri (Wijadi), Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Wanita
Ikram, Women’s Cardicacy Initiative (WCI) dan Pusat Kesedaran Wanita (WCC ).
Sesungguhnya gagasan seorang suami untuk seorang isteri sahaja sebenarnya
bukanlah satu perkara baru. Gagasan ini telah pun diperjuangkan oleh masyarakat
Barat iaitu satu lelaki untuk seorang perempuan yang dipopularkan melalui lagu
yang berjudul ‘One Man Women’ sekitar tahun 70an.
Mungkin kempen ini wajar berlaku dalam masyarakat Barat atau penganut agama
lain selain daripada Islam memandangkan agama lain tidak memperjuangkan
peraturan tersebut. Jadi mengamalkannya adalah tidak sah di sisi agama dan
undang-undang negara mereka. Sedangkan Islam membenarkan poligami dan
mengharuskan umat Islam mengamalkannya. Walaupun begitu, Islam menekankan
akan keupayaan untuk berlaku adil yang mesti diletakkan di martabat yang paling
tinggi dalam mempraktikkan poligami.
Menolak poligami, sebagai peraturan yang ditetapkan Allah SWT, adalah satu
bentuk penderhakaan kepada al-Khaliq sekaligus menafikan kebijaksanaan Allah
SWT. Bahkan merendahkan Rasulullah SAW kerana Baginda sendiri mengamalkannya.
Kata bijak pandai: “Janganlah disebabkan nyamuk seekor, habis kelambu
dibakar” kerana dibimbangi penolakan itu nanti akan menyebabkan 'yang
dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran'.
Perintah beriman kepada kitab Allah iaitu al-Quran adalah berkehendakkan
kepada kepatuhan yang total dan mutlak. Menidakkan sebahagian daripada
kandungannya boleh menyebabkan syahadah seseorang itu gugur.
Tidak dinafikan bahawa dakwaan monogami merupakan unsur penting atau
jaminan mewujudkan keluarga bahagia dan poligami pula merupakan unsur yang
menghasilkan keluarga yang porak peranda adalah tidak begitu tepat. Namun
begitu tidak kurang juga perkahwinan monogami yang berantakan. Adakah
disebabkan itu perlu pula dilancarkan kempen ‘Hidup Membujang Pilihanku’?
Bertindaklah mengikut kewarasan seperti yang disarankan oleh Ketua Wanita
Pertubuhan Jemaah Islam Malaysia (JIM), Dr. Harlina Halizah Siraj. Menurut
beliau: “Tindakan gabungan itu untuk memperbaiki keadaan dan status pengalaman
poligami tidak jelas sehingga boleh menimbulkan kekeliruan banyak pihak. Kempen
itu tidak perlu diadakan kerana suami yang mengamalkan poligami tidak ramai.”
Maka janganlah hendaknya kita menilai poligami dari sudut yang negatif
kerana berapa ramai keluarga yang berasa bahagia mendapat rahmat daripada
poligami. Apa yang perlu diubah adalah sikap manusia itu sendiri, bukannya
hukum Tuhan.
Dalam isu ini, Senator Jamilah Ibrahim menjelaskan dalam ucapan perbahasan
beliau di persidangan Dewan Negara pada 14 April 2003 yang lalu. Menurut
beliau, “Kenapa wanita melatah ketika membicarakan isu yang dihalalkan Islam
dan berlandaskan keadilan dan hukum syarak? Apabila menyentuh soal agama, kita
perlu berhati-hati kerana kalau kita cetek dalam agama, jangan cuba persoalkan
hukuman Allah dan peraturan yang digariskan Islam.”
Sambung beliau lagi: “Dapatkan pandangan orang arif dalam agama sebelum
buat apa-apa kenyataan. Kita tidak boleh bergantung kepada logik dan akal
semata-mata.” Menurutnya, “Islam agama syumul dan sempurna untuk umat Islam
seluruhnya. Islam tidak mengambil kira zaman dulu atau sekarang. Setiap yang
ditetapkan syariat ada hikmah untuk wanita dan lelaki. Adakah wanita rela
membiarkan perzinaan berleluasa kerana tidak bersetuju dengan poligami?
Perzinaan dan pergaulan tanpa perkahwinan juga antara punca berlakunya masalah
AIDS. Janganlah umat Islam mengelirukan umat Islam yang lain.”
(Sumber: ‘Monogami vs Poligami’ Oleh: Khodam, Majalah
Sinar Rohani, Jun 2005)
http://tigosotigo.blogspot.com/2010/07/monogami-vs-poligami.html
Polygamy in Islam https://fb.watch/8PcRJHzuoW/
Kenapa
Islam benarkan poligami? https://fb.watch/biuxXSMQ48/
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.