Isteri
Sujud Pada Suami
https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/2369-irsyad-al-hadith-siri-ke-263-sujud-pada-suami
Di dalam hidup berumah
tangga, seorang isteri wajib taat kepada
suaminya pada perkara yang ma’ruf. Ini kerana, dengan ketaatan tersebut akan
memudahkan jalan untuk isteri memasuki syurga berdasarkan sebuah hadith yang
disahihkan oleh Imam Ibn Hibban:
- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا صَلَّتِ الْمَرْأَةُ خُمُسَهَا، وَصَامَتْ
شَهْرَهَا، وَحَصَّنَتْ فَرْجَهَا، وَأَطَاعَتْ بَعْلَهَا دَخَلَتْ مِنْ أَيِّ
أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شَاءَتْ
Maksudnya: “Jika seorang
wanita menunaikan solat 5 waktu, berpuasa pada bulannya (Ramadhan), mengawal
kemaluannya (maruahnya) dan ta'at kepada suaminya. Masuklah dia ke dalam Syurga
dari mana-mana pintu yang dia kehendaki”. [Riwayat Ibn Hibban, no.
Hadith (4163), 471/9]
Hadith sujud pada suami
telah diriwayatkan oleh beberapa orang sahabat Nabi SAW. Antaranya Abu
Hurairah, Mu’az bin Jabal, Suraqah bin Malik, Aisyah, Ibn Abbas, Abdullah bin
Abi Awfa, Ummu Salamah, Anas bin Malik dan beberapa orang lagi sahabat Nabi SAW
yang lain. Adapun berkaitan matan hadith adalah seperti berikut:
لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ
لِأَحَدٍ لَأَمَرْتُ المَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا
Maksudnya: “Jika aku
boleh memerintahkan seseorang itu untuk sujud kepada seseorang, maka aku
memerintahkan isteri untuk sujud pada suaminya.” [Riwayat al-Tirmizi
(1159)][Imam al-Tirmizi mengatakan hadith ini melalui jalur Abu Hurairah RA
adalah hasan gharib] Hadith ini juga disahihkan oleh Imam al-Hakim di dalam
al-Mustadrak melalui jalur Mu’az bin Jabal [Lihat: al-Mustadrak,
190/4]
Tambahan pula, hadith
ini mempunyai sebab wurudnya ( sebab Nabi SAW ucapkan hadith ini ) iaitu
apabila salah seorang daripada sahabat Nabi SAW pulang daripada Syam dan
melihat orang-orang Nasrani dan Yahudi sujud kepada pembesar dan ulama’ mereka
sebagai tanda penghormatan nabi-nabi mereka. Maka, sahabat ini berkata bahawa
Rasulullah SAW lebih berhak untuk dilakukan sedemikian tetapi Nabi SAW melarang
para sahabat melakukan hal tersebut dengan mengatakan bahawa orang-orang Yahudi
dan Nasrani ini mereka mendustakan serta menyelewengkan kitab-kitab nabi-nabi
mereka. [Lihat: al-Mustadrak, 190/4]
Makna
Hadith
Antara yang boleh
difahami daripada hadith ini adalah kewajipan seorang isteri itu mentaati
suaminya kerana sujud ini tidak dihalalkan melainkan kepada Allah SWT sahaja.
Ini kerana, terdapat banyak hak-hak suami yang perlu dilaksanakan oleh isteri
dan sebahagiannya tidak terlaksana oleh si isteri.
Imam al-Syaukani
berkata, makna hadith ini adalah jika dibolehkan sujud kepada manusia nescaya
Nabi SAW akan memerintahkan para isteri untuk sujud kepada suaminya. [Lihat: Tuhfah
al-Ahwazi, 272/4] Di
dalam Musnad Ahmad, daripada Anas bin Malik RA bahawa Nabi SAW bersabda:
لَا يَصْلُحُ لِبَشَرٍ أَنْ يَسْجُدَ لِبَشَرٍ،
وَلَوْ صَلَحَ لِبَشَرٍ أَنْ يَسْجُدَ لِبَشَرٍ، لَأَمَرْتُ الْمَرْأَةَ أَنْ
تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا، مِنْ عِظَمِ حَقِّهِ عَلَيْهَا
Maksudnya: “Tidak
dibenarkan seorang manusia itu untuk sujud kepada manusia. Jika dibenarkan
untuk manusia itu sujud kepada manusia nescaya aku akan meminta isteri untuk
sujud kepada suaminya kerana besarnya hak suami ke atas isteri itu.” [Riwayat
Ahmad (12614)] [Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sahih li
ghairihi]
Penutup
Kesimpulannya, hadith di
atas adalah sahih dan ia tidaklah menunjukkan kebolehan seorang isteri itu
untuk sujud kepada suaminya. Ini kerana, sujud hanya dibenarkan kepada Allah
SWT sahaja. Tidak dibenarkan sujud kepada yang lain daripada Allah SWT. Tidak
dibenarkan juga sujud kepada manusia sebagaimana larangan jelas daripada Nabi
SAW berdasarkan riwayat di dalam Musnad Ahmad di atas.
Akan tetapi, hadith ini
menggambarkan bahawa kedudukan suami itu tinggi di sisi isteri dan si isteri
wajib untuk mentaati suaminya selagimana apa yang diperintahkan oleh suami itu
tidak bercanggah dengan agama Allah. Akhirnya, semoga Allah SWT mengurniakan
kita suami yang soleh dan isteri yang solehah agar rumahtangga yang dibina itu
mendapat keberkatan dan keredhaan daripada Allah SWT. Amin.
https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/2369-irsyad-al-hadith-siri-ke-263-sujud-pada-suami
.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.