PETALING JAYA: Pemimpin kesatuan sekerja
perkhidmatan awam terbesar negara hari ini menolak cadangan seorang ahli
perniagaan terkenal supaya penjawat awam berpendapatan lebih RM3,000 sebulan
menerima potongan gaji berikutan penurunan hasil kerajaan susulan pandemik
Covid-19.
Presiden
Cuepacs Adnan Mat berkata, ramai penjawat awam adalah termasuk dalam kelompok
B40 dan M40 dengan pendapatan purata bersih hanya kira-kira 20% daripada gaji
mereka berikutan pelbagai potongan, antaranya pinjaman perumahan dan kereta.
“Rata-rata pendapatan bersih penjawat awam ialah 20% (daripada
gaji). Ini untuk kita berbelanja. Jadi ada potongan, ia boleh menjejaskan ruang
perbelanjaan penjawat awam,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, perbelanjaan penjawat awam di pasar dan kedai
membantu merangsang ekonomi dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan
pergerakan (PKP).
Selain itu katanya, penjawat awam terkilan atas cadangan Ameer
Ali Mydin, pengarah urusan rangkaian pasar raya besar Mydin, yang merupakan
pasar raya terkenal dalam kalangan mereka.
Ameer semalam berkata, hasil kerajaan akan merosot bukan sahaja
kerana kejatuhan harga eksport komoditi utama negara seperti minyak dan minyak
sawit, tetapi juga penurunan kutipan pelbagai cukai, termasuk cukai barangan
dan jualan (SST) berikutan penutupan perniagaan dan berkurangnya perbelanjaan
pengguna.
Adnan berkata, walaupun wujud moratorium ke atas pembayaran
balik pinjaman bank, wang lebihan itu digunakan oleh penjawat awam bagi
menampung peningkatan perbelanjaan rumah tangga berikutan mereka dan keluarga
masing-masing kini berada di rumah.
Katanya, daripada 1.6 juta penjawat awam, 1.2 juta merupakan
petugas barisan hadapan, termasuk 600,000 anggota polis dan tentera serta
kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) atau mereka yang bekerja dari rumah.
Beliau berkata, wakil rakyat juga perlu diberikan gaji penuh
kerana mereka bertanggungjawab kepada rakyat dan perlu memainkan peranan yang
penting.
“Walaupun kita rasa gaji mereka besar, tetapi sebenarnya
tidaklah besar. Mereka sangat rapat dengan rakyat dan kadang-kadang mereka guna
duit sendiri untuk membantu rakyat.
“Kita tidak dapat nafikan peranan Adun dan ahli
Parlimen apabila masalah rakyat diajukan, mereka memang membantu. Peranan
besar, cuma kadang-kadang kita tak nampak.”
Bekas
pegawai kanan kerajaan Ramon Navaratnam berkata, pada prinsipnya, semua orang
perlu berkorban, termasuk penjawat awam.
Bagaimanapun katanya potongan gaji penjawat awam harus dikenakan
ke atas kelompok yang meraih pendapatan melepasi paras tertentu.
Katanya, kerajaan harus membincangkan isu itu dengan Cuepacs.
Bekas timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan itu berkata,
kerajaan perlu mencari sumber wang bagi membiayai pakej rangsangan ekonomi dan
inisiatif bantuan lain yang akan memberi kesan ke atas paras defisit negara.
“Ia boleh dibiayai dengan pinjaman, simpanan atau hasil baru,
termasuk cukai baru atau yang lebih tinggi. Namun, akhirnya ia perlu dibayar
juga. Duit tidak tumbuh pada pokok.
“Rakyat harus sedar bahawa pengorbanan perlu dibuat. Pastilah
akan ada pihak yang lebih terbeban berbanding orang lain, namun semua orang
harus mengongsi beban itu.
Terdahulu, ketua setiausaha negara, Mohd Zuki Ali berkata,
pegawai awam dengan gred Jusa C ke atas akan menyumbang antara 5 hingga 10%
daripada elaun tetap mereka kepada tabung Covid-`19.
Ahli ekonomi dari Universiti Malaya Nazari Ismail berkata, kontrak
pekerjaan penjawat awam mesti dihormati, atau sebaliknya kerajaan akan diseret
ke mahkamah.
“Tambahan lagi, gaji penjawat awam rendah berbanding sektor
swasta. Ini hakikat yang dimaklumi semua.
“Tetapi (kurangan) ini ditampung oleh jaminan keselamatan
(pekerjaan) yang mereka perolehi daripada kestabilan gaji tanpa mengira keadaan
ekonomi yang dihadapi.”
Beliau berkata, kakitangan sektor swasta menikamti gaji lebih
tinggi kerana mereka terdedah kepada risiko lebih tinggi dari sudut keadaan
ekonomi.
“Oleh sebab keadaan ekonomi sekarang merosot, mereka yang berada
dalam sektor swasta tidak seharusnya mempersoalkan gaji penjawat awam.
“Mereka sepatutnya sudah menjangka kemungkinan ekonomi merosot
dan menyediakan peruntukan yang perlu.”
PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan menerima beberapa permohonan
bertujuan pengesahan penggunaan terowong disinfeksi atau nyah kuman untuk
mengurangkan jangkitan Covid-19.
Permohonan itu telah dinilai oleh Cawangan Penilaian Teknologi
Kesihatan kementerian.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata,
hasil penilaian mendapati proses nyah kuman dengan menggunakan bahan kimia
berlainan pada peralatan terbabit yang melibatkan individu melaluinya untuk
tempoh antara 20 hingga 30 saat mendapati tiada bukti menunjukkan ia berkesan
mengurangkan jangkitan COVID-19.
“Jangka masa 20-30 saat tidak memadai untuk proses nyahkuman
yang berkesan. Prosesnya juga tidak boleh membunuh kuman di dalam badan
manusia,” katanya pada sidang media harian penularan wabak Covid-19 hari ini.
Malah Noor Hisham berkata, bahan kimia yang digunakan boleh
membawa kemudaratan kepada selaput di tubuh seperti di mata dan mulut.
Justeru, tambah beliau, berdasarkan penilaian tersebut, KKM
tidak menyarankan penggunaan kotak, ruang, terowong, sekatan, pintu nyah
kuman sebagai langkah untuk mengurangkan jangkitan COVID-19 terhadap
manusia.
“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian COVID-19 melalui
segala maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan kepada rakyat dari semasa
ke semasa, ” katanya. -MalaysiaGazette
PETALING
JAYA: Taikun sektor runcit terkenal mempersoalkan bagaimanakah penurunan cukai
dan kejatuhan harga eksport komoditi utama akan membolehkan Putrajaya
mengekalkan gaji pegawai awam.
Ini tidak seperti sektor swasta yang mengumumkan potongan gaji
dan pembuangan pekerja susulan kesan kewangan akibat krisis Covid-19 yang
sedang berlaku.
Pengarah urusan rangkaian pasar raya besar Mydin, Ameer Ali
Mydin berkata, hasil kerajaan akan terkesan bukan sahaja kerana kejatuhan harga
eksport seperti minyak mentah dan minyak sawit, tetapi juga kemerosotan kutipan
pelbagai cukai, termasuk cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berikutan
penutupan perniagaan dan berkurangnya perbelanjaan pengguna.
“Syarikat perniagaan terhimpit dan semua orang dalam sektor
swasta menghadapi potongan gaji, termasuk mereka yang bekerja sendiri. Kita
semua terkesan,” kata Ameer kepada FMT.
Beliau berkata, syarikatnya membuat potongan gaji kakitangan
sehingga 50% dan menghentikan bayaran kepada pengarah atasan.
“Kami tidak ada pilihan. Sama ada terima potongan gaji atau
gulung tikar,” katanya.
Beliau berkata, banyak industri terpaksa mengambil langkah
drastik, termasuk memberhentikan kakitangan mereka.
Bagaimanapun
katanya, keadaan ini tidak berlaku dalam kalangan 1.6 juta pegawai awam walaupun
anggota Kabinet membuat potongan gaji 2 bulan seperti diumumkan Perdana Menteri
Muhyiddin Yassin baru-baru ini.
“Menteri dan timbalan menteri menerima potongan gaji. Sesetengah
menteri besar dan anggota mereka juga berbuat demikian. Itu bagus.
“Tetapi sebilangan pegawai tinggi kerajaan masih mendapat gaji
penuh, termasuk ahli Parlimen dan Adun. Mereka yang berpendapatan RM3,000 ke
atas patut menerima potongan gaji,” kata Ameer.
Beliau
berkata, gaji pegawai awam juga patut dikurangkan, selain menambah bahawa
penjimatan itu boleh digunakan bagi membantu golongan miskin yang paling
terkesan oleh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Ameer berkata, potongan gaji pegawai awam boleh dibuat
berdasarkan peringkat gaji mereka.
Beliau juga berkata, selain pinjaman perumahan yang diambil oleh
pegawai awam melalui Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), semua
pinjaman bank lain diberikan moratorium.
“Tiada moratorium diberikan ke atas pinjaman LPPSA kerana
pegawai awam mendapat gaji penuh. Jika mereka menerima potongan gaji maka
tentulah harus diberikan moratorium ke atas pinjaman LPPSA.
PIHAK
yang mempunyai maklumat mengenai kekurangan pakaian perlindungan diri (PPE) di
fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) boleh terus mengemukakannya kepada pegawai
yang dikenal pasti di peringkat negeri bagi semakan segera dan tindakan
mobilisasi mengikut keperluan serta keutamaan.
Ketua
Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan di laman
Facebooknya berkata, di peringkat KKM, isu utama yang perlu segera ditangani
adalah berkaitan pengedaran dan mobilisasi stok ke fasiliti yang menghadapi
kekurangan PPE, serta pola penggunaan PPE oleh petugas kesihatan.
“Senarai
nama, nombor telefon dan emel pegawai bagi setiap negeri adalah dilampirkan
(sebagai rujukan mereka yang ingin melaporkan maklumat kekurangan PPE).
Malahan, sumbangan PPE oleh pelbagai pihak sememangnya membantu dan jutaan
terima kasih diucapkan.
“KKM
juga menyeru penggunaan PPE secara cermat dan berhemah oleh semua kakitangan
KKM. Perjuangan ini masih panjang. Andalah aset utama negara dalam menghadapi
penularan Covid-19 ini dan KKM amatlah prihatin dengan kesejahteraan anda,”
katanya.
Beliau
berkata, bagi memantau rapat paras stok dan kadar penggunaan bagi setiap jenis
PPE di setiap negeri, KKM menggunakan sistem pangkalan data mudah yang
dikendalikan oleh pegawai di setiap Jabatan Kesihatan Negeri, hospital dan
Pejabat Kesihatan Daerah (termasuk semua Klinik Kesihatan di bawah PKD).
Katanya,
pelaporan harian dibuat secara dalam talian.
“Laporan
ini dipantau rapat di peringkat Ibu Pejabat KKM dan tindakan mobilisasi stok
akan dibuat terus sekiranya didapati terdapat stok yang berkurangan bagi
mana-mana fasiliti KKM,” katanya.