KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
BERKENAAN
PENJELASAN KOD E YANG DIKAITKAN MENGANDUNGI
LEMAK BABI
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ingin
memaklumkan kepada masyarakat berhubung maklumat yang telah disebarkan secara
meluas khasnya melalui media sosial berhubung kod E yang dikaitkan mempunyai
lemak babi.
Untuk makluman, KOD E ialah kod untuk bahan
tambah (aditif) dan ianya selalu digunakan pada label makanan di negara
Kesatuan Eropah. Bahan aditif ialah bahan yang selamat dimakan dan ditambah
secara sengaja ke dalam makanan dalam kuantiti yang sedikit bagi mempengaruhi
kualiti penyimpanan, pemprosesan, penyediaan dan pembungkusan makanan.
Skim penomboran ini mengikut Sistem penomboran
Antarabangsa (International Numbering System @ INS) yang telah ditentukan oleh
Jawatankuasa Codex Alimentarius. Ia adalah koleksi pelbagai standard, kod
praktis, panduan antarabangsa yang diiktiraf berkaitan dengan makanan,
pemprosesan makanan dan keselamatan makanan bertujuan untuk menjaga kesihatan
manusia dan memastikan kod perdagangan yang beretika dijalankan.
Bagi Kesatuan Eropah, Kod E ini adalah merujuk
kepada aditif yang boleh dimakan kerana hanya sebahagian daripada bahan aditif
yang dibenar untuk digunakan. Nombor E juga digunakan pada label pemakanan di
Australia, New Zealand, Amerika Utara, terutama Kanada dan Israel.
PENGKELASAN NOMBOR E
MENGIKUT JENIS BAHAN ADITIF
E100 - E199
|
- Warna
|
E200 - E299
|
- Pengawet
|
E300 - E399
|
- Oksidan
- Fosfat
- Antioksida
- PengawalAsid
|
E400 - E499
|
- Pemekat
- Pelembap
- Penstabil
- Emulsifier
|
E500 - E599
|
- Garam
- Regulator Asid
-
AgenPenghalangKerak
|
E600 - E699
|
- PenambahPerisa
|
E900 - E999
|
- Pemanis
- Bahan-bahan lain
|
E1000- E1999
|
- Bahan Kimia
Tambahan
|
Tidak semua nombor E yang digunakan untuk
membuat sesuatu produk makanan berasaskan dari sumber yang haram. Bahan-bahan
aditif ini boleh bersumberkan tumbuhan, sintetik, mikrob, semulajadi, kimia dan
haiwan. Contoh Nombor E yang
paling kerap ditanya oleh orang ramai adalah E471. Ia adalah sejenis pengemulsi
iaitu mono dan digliserida. Sumbernya adalah dari lemak sintetik yang terhasil
dari gliserol dan asid lemak semulajadi terutamanya dalam tumbuhan (contohnya
minyak kelapa sawit) atau lemak haiwan. Ramuan ini secara umumnya ialah
sebatian pelbagai bahan dengan kandungannya hampir sama dengan lemak semulajadi
yang boleh dihadam.
Dalam memastikan sumber yang kita makan adalah
terjamin,masyarakat harus peka mengenai jenis aditif makanan dan
tahap kandungan yang dibenarkan untuk digunakan dalam sesuatu produk makanan.Pihak
industri makanan dan barang gunaan pula bertanggungjawab untuk
mengenal pasti status sumber aditif makanan yang digunakan supaya tidak akan
menimbulkan keraguan kepada para pengguna Islam. Manakala Bahagian Hab
Halal, Jakim akan memastikan syarikat yang memohon sijil halal wajib
mengishtihar kesemua ramuan termasuk aditif makanan yang digunakan beserta
dokumen yang kukuh (seperti sijil halal yang diiktiraf dan analisis makmal).
Sehubungan itu, sekiranya produk tersebut
merupakan produk tempatan dan mendapat sijil Pengesahan Halal Malaysia, maka ia
boleh digunakan tanpa was-was sekalipun mempunyai kod E-kod. Tetapi sekiranya
produk tersebut bukan produk tempatan serta tidak mendapat sijil pengesahan
halal Malaysia walaupun menggunakan e-kod yang sama, pengguna dinasihatkan agar
berhati-hati dalam memilih produk tersebut.
Sekian dimaklumkan, terima kasih.
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
‘Saya Yang Menurut Perintah’
DATO’ HAJI OTHMAN MUSTAPHA
26 Mei 2014
..
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.