Total Pageviews

Monday, 1 April 2019

Logam Berat









1.1    UJIAN HAD MIKROORGANISMA
Produk-produk yang akan dipasarkan kepada pengguna perlu bersih dan selamat untuk digunakan. Salah satu pencemaran yang perlu dititik beratkan adalah pencemaran oleh mikroorganisma. Mikroorganisma merupakan hidupan yang hidup di persekitaran kita, mikroorganisma juga tidak kelihatan pada mata kasar. Pencemaran mikroorganisma di dalam sesuatu produk boleh menyebabkan penyakit kepada pengguna, dan juga boleh merosakkan dan menyebabkan produk tersebut tidak tahan lama. Justeru itu, dalam memantau pencemaran mikroorganisma pada sesuatu produk, ujian had mikroorganisma akan dilaksanakan. Melalui ujian had mikroorganisma, tahap dan kandungan mikroorganisma dalam sesuatu produk boleh diukur. Ujian ini boleh dilakukan terhadap bahan mentah, sampel ketika pemprosesan dan produk akhir. Dengan itu, peringkat dan punca pencemaran oleh mikroorganisma boleh dikenalpasti dan seterusnya melaksanakan tindakan pencegahan. 

1.2    UJIAN LOGAM BERAT
Ungkapan logam berat merujuk kepada unsur-unsur kimia logam yang secara relatifnya berketumpatan tinggi dan pada tahap kepekatan tertentu menjadi beracun. Logam berat dikategorikan di bawah logam toksik, iaitu logam yang sama ada dalam bentuk individu atau sebatian yang boleh memberikan kesan negatif terhadap kesihatan awam. Antara yang sering diketengahkan adalah plumbum (Pb), raksa (Hg), kromium (Cr), dan kadmium (Cd). Terdapat juga unsur-unsur separa-logam yang termasuk dalam kategori ini seperti arsenik (As) dan selenium (Se).
Logam berat wujud secara semulajadi dalam bahan induk atau batuan yang membentuk tanah. Proses luluhawa batuan akan membebaskan logam-logam ini dalam bentuk ion atau sebatian dan akan berada bersama-sama partikel tanah yang terbentuk. Dalam bentuk larutan air tanah, logam-logam ini akan diserap oleh tumbuh-tumbuhan bersama-sama dengan nutrien dalam tanah, dan akan memasuki sistem rantaian pemakanan manusia melalui air minuman dan makanan (tumbuh-tumbuhan dan haiwan). Pengambilan logam-logam ini secara berterusan dalam jangkamasa yang lama boleh mengakibatkan biotumpukan (bioaccumulation).
Logam berat telah digunakan sejak berkurun lamanya dalam pelbagai cara. Contohnya, plumbum (Pb) telah digunakan dalam batang paip dan petrol, plumbum arsenat pula pernah digunakan sebagai racun serangga di kebun-kebun tanaman. Lebih menakjubkan, kaum Roman menggunakan plumbum sebagai bahan tambahan untuk menyedapkan rasa wine sementara raksa (Hg) pula digunakan dalam bentuk krim untuk mengurangkan rasa sakit kepada bayi semasa tumbuh gigi.
Pada tahap kepekatan rendah atau surihan, kebanyakan elemen logam berat amat penting untuk kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Kuprum (Cu), Se dan zink (Zn) adalah perlu untuk mengekalkan metabolisma tubuh manusia. Sebahagian besar logam transisi pula merupakan elemen penting pemakanan tumbuhan tetapi ianya hanya diperlukan pada kadar yang rendah. Pada tahap tinggi ianya membahayakan kesihatan manusia jika dijadikan bahan makanan. Tumbuhan boleh menyerap logam berat pada kadar tertentu mengikut kepekatan yang wujud dalam tanah. Daripada beberapa analisis yang dijalankan di FRIM, tahap kepekatan logam berat dalam sampel tumbuhan yang ditanam di kawasan bekas lombong boleh meningkat sehingga sepuluh kali berbanding tumbuhan yang ditanam di kawasan lain.
Pendedahan kepada logam berat telah dikaitkan dengan perencatan tumbesaran, pelbagai jenis kanser, kerosakan buah pinggang dan pada tahap pendedahan yang terlalu tinggi boleh membawa maut.

1.3    UJIAN SITOTOKSISITI
Toksikologi adalah satu kajian yang mengesan tahap bahaya sesuatu agen kimia terhadap sistem biologi. Pengumpulan dan biomagnifikasi agen toksik terjadi apabila berlakunya penyerapan melebihi kebolehupayaan badan untuk menghapuskan sebatian xenobiotik. Agen toksik biasanya bergantung kepada dos – di mana sesuatu dos mungkin tidak memberikan sebarang kesan atau mempunyai kesan terapeutik, kesan toksik dan/ataupun berkebolehan untuk memberi kesan membunuh. Keberkesanan dan tahap ketoksikan juga berbeza mengikut molekul, jenis sel dan organ yang terlibat dan juga tahap kerintangan badan. Sel kultur telah digunakan secara meluas sebagai satu alternatif bagi mengurangkan penggunaan haiwan di dalam kajian dan penilaian toksikologi.
Di FRIM, ujian saringan ke atas tumbuhan ubatan dilakukan secara in vitro dengan menggunakan sel manusia  untuk melihat kesan sitotoksisiti. Analisis sitotoksisiti melibatkan pengukuran sesuatu agen kimia atau apa jua bahan yang berkebolehan untuk merosakkan atau/dan membunuh sesuatu jenis sel. Ia dapat membantu mengenalpasti substans yang toksik terhadap sel dan secara tidak langsung ini dapat mengurangkan bilangan penggunaan haiwan di dalam kajian toksikologi. Walaubagaimanapun, perlu diingat bahawa tahap keselamatan produk ini hanya diuji ke atas 2 jenis sel sahaja iaitu sel VERO (sel dari buah pinggang normal) dan sel WRL-68 (sel dari hati normal). Analisis tahap keselamatan toksisiti secara in vitro ini tidaklah menggambarkan secara keseluruhan interaksi kompleks yang berlaku di dalam tubuh badan manusia. 

2.1    ANALISIS MINYAK PATI
Minyak pati dikategorikan sebagai metabolit sekunder yang diperolehi daripada tumbuhan. Ia adalah ekstrak yang boleh meruap dan menyumbang kepada bau dan rasa.  Produk yang berasaskan minyak pati untuk kegunaan aromaterapi, pewangi dan perasa perlulah menggunakan ramuan minyak pati yang bermutu dan tulen supaya ianya selamat digunakan dan memenuhi spesifikasi antarabangsa yang ditetapkan.
Profil minyak pati dan kandungan kimia  dapat ditentukan dengan menggunakan analisis kromatografi gas. Pengecaman komponen-komponen kimia pula boleh dilakukan melalui analisis kromatografi gas/spektrometri jisim iaitu melalui perbandingan dengan komponen-komponen daripada pangkalan data peralatan, kajian terdahulu serta perbandingan dengan sampel tulen. Perbezaan komponen kimia yang terkandung dalam sesuatu minyak pati dipengaruhi oleh faktor persekitaran, lokasi geografi, musim tuaian, kematangan usia tumbuhan dan tahap kitar hidup tumbuhan. Selain daripada itu, gabungan kaedah headspace-solid phase micorextraction (HS-SPME) dan kromatografi gas/ jisim spektrometri (GC/MS) boleh digunakan untuk mengesan kewujudan komponen-komponen kimia minyak pati yang digunakan serta sebarang ketidaktulenan pada bahan mentah ataupun produk supaya produk atau ramuan minyak pati yang digunakan adalah bersih dan selamat.
HS-SPME adalah satu kaedah yang non-destructive dan non-invasive untuk menenalpasti komponen-komponen kimia di dalam sampel yang meruap dan semi-meruap. Ia adalah teknik yang tidak menggunakan pelarut (solvent-free), dapat menyediakan sampel dengan kos yang rendah, operasi alat yang mudah dan tambahan pula ia adalah alat yang sensitif dan selective. Memandangkan suhu yang rendah juga boleh digunakan dalam ujikaji menggunakan alat ini, SPME dapat memberikan gambaran profil yang lebih baik dan pengenalpastian komponen kimia yang mempunyai takat didih yang rendah. 

2.2    ANALISIS NUTRISI
Label fakta nutrisi (turut dikenali sebagai panel informasi nutrisi, dan beberapa variasi lain) adalah diperlukan di atas kebanyakan makanan pra-pembungkusan in Amerika Syarikat, United Kingdom dan negara lain. Akta Perlabelan Nutrisi, dimulakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada 2003, menyatakan bahawa pembuat dan pengimport makanan diwajibkan untuk menyertakan senarai spesifik ‘fakta-fakta nutrisi’ di atas label-label produk dalam format yang ditentukan. Bermula September 15, 2005 semua, kecuali segelintir produk makanan, perlu meletakkan label fakta nutrisi di atas produk-produk pengguna.
Perlabelan nutrisi untuk makanan adalah salah satu strategi yang digunakan untuk membantu pengguna-pengguna ke arah menjalankan pemakanan yang sihat. Objektif utama pelabelan nutrisi adalah untuk menjelaskan kandungan nutrisi dalam sesuatu produk secara fakta dan informatif. Ia adalah bertujuan untuk menyediakan suatu kaedah untuk menyampaikan maklumat tentang kandungan nutrien pada label tersebut, oleh itu membantu pengguna untuk membuat pilihan yang betul apabila merancang pemakanan harian mereka.

3.1    UJIAN ANTI-DIABETIK
Diabetes mellitus ialah sejenis penyakit kronik yang dikaitkan dengan gangguan metabolisma karbohidrat. Gangguan ini mengakibatkan peningkatan aras glukosa darah. Diabetes mellitus jenis 1 berlaku dimana glukosa tidak dapat digunakan sepenuhnya oleh sel-sel badan kerana penghasilan hormon insulin yang tidak mencukupi. Diabetes mellitus jenis 2 pula berlaku akibat masalah kekurangan insulin dan/atau sistem badan yang kurang sensitif terhadap insulin yang mana ianya merangkumi 90-95% daripada pesakit diabetes. Pesakit diabetes mellitus jenis 1 bergantung sepenuhnya kepada suntikan hormon insulin untuk membantu merendahkan aras glukosa darah. Manakala pesakit diabetes mellitus jenis 2 mengawal aras glukosa darah mereka dengan kaedah pengawalan pemakanan, melakukan senaman, penurunan berat badan dan mengambilan agen hipoglisemik oral.
Salah satu mekanisma yang digunakan untuk mengawal aras gula darah adalah agen yang dapat meningkatkan pengeluaran hormon insulin. Dengan menggunakan sel beta yang berasal daripada pankreas (organ yang terlibat dalam pengeluaran insulin), keupayaan ekstrak tumbuhan untuk meningkatkan rembesan insulin ini dapat ditentukan secara in vitro. Kaedah ini juga membolehkan penyaringan dapat dijalankan dengan lebih banyak dan cepat.

3.2    UJIAN ANTI-MIKROB
Kontaminasi mikrob-mikrob pencemar dan proses pengoksidaan merupakan antara proses utama yang dikenalpasti peyebab kerosakan pada formulasi / produk. Pengawet lazimnya digunakan untuk memanjangkan jangka hayat simpanan produk melalui tindakannya samada merencat atau meminimakan kontaminasi dan atau proses pengoksidaan. Secara tidak langsung pengawet juga berperanan untuk melindungi pengguna daripada bahaya kesihatan yang mungkin berlaku akibat penggunaan produk-produk yang tercemar. Namun, kebimbangan mengenai bahaya kesihatan yang terhasil dari pengunaan bahan pengawet kimia telah meningkatkan permintaan pengguna untuk penggunaan berasaskan bahan-bahan yang bersumber semulajadi. Justeru analisis dijalankan untuk menilai keberkesanan formulasi dalam merencat mikrob-mikrob pencemar yang boleh merosakkan sekaligus bertindak sebagai swa-pengawet.

3.3    UJIAN ANTI-RADANG
Inflamasi dan immunomodulasi merupakan dua fungsi utama tindakbalas imun manusia di mana tubuh akan bertindakbalas terhadap sesuatu rangsangan (fizikal, kimia dan imun) dengan cara mengaktivasikan sistem pertahanan tubuh yang pertama iaitu proses inflamasi. Walaubagaimanapun proses inflamasi yang berterusan tanpa dikawal akan menyebabkan keadaan kronik yang akhirnya boleh menyebabkan berlakunya penyakit-penyakit yang dikaitkan dengan inflamasi seperti aterosklerosis, arthritis, asma, diabetes, kanser, Alzheimer’s dan Parkinson. Non-steroidal anti-inflammatory drug (NSAIDs) merupakan antara agen terapeutik yang luas penggunaannya untuk merawat penyakit yang disebutkan.  Walaupun penggunaan agen ini amat berkesan tetapi tidak dapat dinafikan bahawa keberkesanannya seringkali dikaitkan dengan implikasi kesan sampingan seperti ulser gastrointestinal. Terdapat banyak herba yang digunakan secara turun temurun dalam perubatan berkaitan penyakit inflamasi. Penggunaan herba dalam rawatan alternatif ternyata memberikan satu impak di dalam perubatan konvensional. Oleh itu, kajian yang lebih menyeluruh amat penting bagi mengkaji secara terperinci mengenai keberkesanan sesuatu tumbuhan herba.

Kajian anti-inflamasi di Program Tumbuhan Ubatan merupakan sebahagian daripada kajian menyeluruh mengenai bioaktiviti di mana kajian yang dijalankan lebih menjurus kepada penyelidikan dan pembangunan sebatian semulajadi di dalam proses inflamasi dengan  tujuan pencarian agen terapeutik yang berpotensi untuk dibangunkan. Antara penyelidikan yang dijalankan adalah meliputi penyaringan aktiviti tumbuhan ubatan terhadap proses inflamasi. Aktiviti ini merupakan salah satu langkah untuk pengesahan secara saintifik setiap tumbuhan ubatan dari segi perubatan secara tradisional. Selain itu, data saintifik yang telah dibangunkan amat berguna untuk digunakan dalam kajian lanjutan mekanisma sesuatu tindakbalas di dalam proses inflamasi.

3.4    UJIAN BIOPESTISIDAL
Aktiviti repelensi telah menarik perhatian penyelidik disebabkan oleh kegunaannya di dalam mengawal vektor nyamuk. Ia boleh memberi perlindungan daripada gigitan serangga terutamanya serangga yang berkepentingan kesihatan seperti nyamuk dan lalat. Repelensi didefinisikan sebagai suatu stimulasi kimia dengan orientasi penjauhan daripada sumber atau pencegahan serangga daripada menghampiri sumber.

3.5    ANALISIS ANTIOKSIDAN
Antioksidan merupakan fitokimia dan fitonutrien yang wujud secara semulajadi dan boleh ditemui dengan banyaknya di dalam buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin, herba, kekacang dan juga rempah ratus. Ia adalah sejenis bahan semulajadi yang mampu menghalang kerosakan oksidatif  yang diakibatkan oleh tindakan radikal bebas. Radikal bebas merupakan spesies oksigen reaktif yang terhasil sebagai hasil sampingan semasa proses metabolisma, proses fungsi selular dan juga tindakan biokimia. Spesies oksigen reaktif ini akan mengaktifkan reaksi rantaian seterusnya akan berpropagasi untuk menghasilkan radikal  bebas. Radikal bebas boleh menyebabkan kematian sel, mutasi, kerosakan enzim dan protein  dan mampu merencat sistem imunisasi yang mengakibatkan pelbagai penyakit kronik dan simptom penuaan.
Antioksidan mampu merencat penghasilan spesies oksigen reaktif dan menghapuskan radikal bebas yang berlebihan juga dapat mengimbangkan tekanan oksidatif yang berlaku di dalam badan kita.






.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.