Pengeluar
madu manuka NZ mengaku tambah bahan kimia tiruan
Jumaat, 19 April 2019 10:18pm
https://www.bharian.com.my/dunia/asia/2019/04/555012/pengeluar-madu-manuka-nz-mengaku-tambah-bahan-kimia-tiruan
MELBOURNE: Sebuah syarikat New Zealand mengaku salah
semalam atas tuduhan menambah bahan kimia tiruan ke dalam madu premium manuka
keluarannya, lapor media dalam pendakwaan utama terhadap produk eksport
bernilai tinggi negara itu.
New Zealand Food Safety memfailkan kes itu terhadap
Evergreen Life Ltd berpusat di Auckland, yang mana produknya ditarik balik dari
pasaran pada 2016 oleh Kementerian Perindustrian Utama, mendakwa ia mungkin
mengandungi sebatian tidak diluluskan.
Permintaan untuk produk madu dipercayai memiliki
manfaat kesihatan dan kosmetik, meningkat di peringkat global, terutama manuka,
dikumpul daripada bunga tumbuhan asli New Zealand dan Australia.
Spesies berbeza tumbuhan itu tumbuh di bahagian lain
dunia namun ia tidak menghasilkan bunga diperlukan dalam pembuatan madu,
menjadikan manuka lebih mahal dengan balang kecil dijual sehingga ratusan
dolar.
Manuka juga dianggap memiliki bahan antibakteria lebih
baik berbanding madu lain, sebahagiannya kerana ia secara semula jadi
mengandungi asid omega digelar DHA dan antasid dikenali MGO.
Menurut perkhidmatan awam Radio New Zealand, Evergreen
didakwa menambah bahan kimia tiruan bagi meningkatkan paras agen anti-bakteria,
membolehkan syarikat menjual madu itu dengan harga lebih mahal.
New Zealand berada di kedudukan ke-14 dunia untuk
isipadu madu eksport dan kedua dari segi nilai, menurut data agensi Perdagangan
dan Keusahawanan New Zealand.
Pada 2017, New Zealand mengeksport hampir AS$270 juta
(RM1.12 bilion) produk madu, hampir dua kali ganda berbanding 2013. Madu manuka
dianggap majoriti eksport. Hukuman terhadap kes Evegreen dijadualkan akhir
bulan ini. -Reuters
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.