Total Pageviews

Monday 1 April 2019

Khasiat Ketum






Saintis FRIM temukan khasiat ketum


23 Januari 2019 4:00 PM




Laporan mengenai kes-kes rampasan daun dan air ketum mencetuskan tanggapan negatif terhadap pokok berkenaan yang dikatakan membawa mudarat kepada penggunanya.

Daun ketum disalah guna dan mampu mendatangkan kesan ketagihan dan khayal.

Justeru, kajian saintifik amat perlu bagi memastikan tanggapan negatif tentang khasiat ketum diketepikan sekali gus membantu memanfaatkan pokok berkenaan.

Penyelidikan berkaitan ketum telah dijalankan oleh kumpulan penyelidik daripada Program Fitokimia dan Program Bioaktiviti, Bahagian Hasilan Semula Jadi, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Objektif utama penyelidikan ini adalah untuk mengkaji kesan positif dan potensi ketum dalam peningkatan kesejahteraan hidup manusia.

Menurut Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr. Abdul Latif Mohmod,skop kajian bertujuan memberi fokus kepada kesan ekstrak air daun ketum ke atas penurunan paras gula dalam darah dengan menggunakan tikus yang diaruhkan penyakit diabetes di samping kesannya sebagai agen meningkatkan prestasi pada tikus normal.

Justeru, ujian-ujian untuk menilai kesan ketoksikan akut dan subkronik hasil daripada penggunaan ekstrak tersebut juga telah dijalankan.

Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, anggota FRIM sebelum itu meluluskan kertas cadangan penyelidikan ketum berjangka pendek pada Jun 2016.

Walau bagaimanapun, aktiviti-aktiviti penyelidikan yang berkaitan hanya dapat dimulakan pada April 2017. Kerja tersebut dimulakan selepas mendapat kebenaran untuk memiliki bahan psikotropik bagi tujuan penyelidikan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan pada Mac 2017.

Projek tersebut telah disiapkan sepenuhnya pada Julai 2018.

“Pada awal 2016, saya mencadangkan supaya penyelidik di Bahagian Hasilan Semula Jadi, FRIM menjalankan kajian mengenai manfaat daun ketum kepada manusia selain kesan negatifnya seperti penagihan dan khayal yang tidak terkawal akibat daripada penyalahgunaannya.

“Dengan berpandukan penggunaan air ketum secara tradisi dalam rawatan diabetes dan peningkatan tenaga terutama bagi kumpulan pekerja yang melakukan kerja berat, maka kajian ini dimulakan untuk tujuan yang baik,’’ ujarnya.

Beliau berkata, berdasarkan kajian-kajian yang dilaporkan, ketum menghasilkan kedua-dua kesan perangsang dan depresan dalam sistem saraf pusat.
Depresan merupakan agen yang akan menindas fungsi tubuh atau aktiviti saraf.

Pada dos yang rendah, ia mempunyai kesan perangsang dan digunakan untuk melawan keletihan.

Walau bagaimanapun, pada dos yang lebih tinggi ia mempunyai kesan sedatif-narkotik dan bertindak pada reseptor opioid. Ia telah lama digunakan dalam perubatan tradisional dan kini telah digunakan secara meluas di seluruh dunia sebagai pengganti candu termasuk untuk rawatan ketagihan opioid.

Menurut Abdul Latif lagi, penyelidikan tersebut secara tidak langsung dapat menepis segala tanggapan negatif ke atas air rebusan daun ketum. Kemungkinan segala tanggapan negatif ini disebabkan oleh sokongan ke atas pandangan sebelah pihak sahaja.

Walau bagaimanapun, menerusi data-data penyelidikan yang terbaharu ke atas air rebusan atau ekstrak air daunnya menunjukkan ekstrak ketum tidak seburuk yang disangkakan sebelum ini. Malah ia berpotensi dibangunkan menjadi suatu bahan pemulihan (remedy) yang memberi manfaat kepada kesejahteraan manusia.

Kata Abdul Latif lagi, industri herba dikenal pasti sebagai salah satu pemacu ekonomi yang berpotensi memberikan sumbangan penting kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi mencapai status negara maju.
Ini kerana katanya, Malaysia berhasrat menghasilkan produk herba bernilai tinggi.

Sehubungan itu kata beliau, Malaysia perlu memperkukuhkan pembekalan di setiap rantaian nilai herba, mempertingkatkan penyelidikan dan pembangunan herba serta menjamin harta intelek daripada penggunaannya.

Bagi pembangunan industri herba jangka panjang adalah penting bagi mengurangkan pergantungan import dan mewujudkan peluang pekerjaan serta kekayaan baharu dalam kalangan penduduk tempatan.

“Saya berharap agar penyelidikan terhadap ketum dapat dilaksanakan kerana potensi ketum dalam mempertingkatkan tahap kesihatan manusia masih belum diterokai sepenuhnya,’’ ujarnya .

Bagi penyelidik tempatan pula, mereka harus diberi peluang menggunakan ketum sebagai bahan penyelidikan kerana adalah satu kerugian bagi negara jika sumber bahan mentah ini yang banyak terdapat di Malaysia tetapi penyelidikan berkaitan dengannya dijalankan dan dimiliki oleh penyelidik-penyelidik dari luar negara secara mutlak.

Katanya, dalam rantaian pembangunan produk hasilan semula jadi, pembekalan bahan mentah berkualiti yang berterusan merupakan satu keperluan utama.

Oleh itu, penghasilan anak pokok secara besar-besaran dan penubuhan ladang berskala besar perlu dilaksanakan segera bagi menghasilkan bahan mentah pokok ketum yang dapat memenuhi permintaan pasaran bagi tujuan perubatan dan kesihatan.



FRIM sedia beri kerjasama


FRIM bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak sama ada universiti, institusi penyelidikan atau industri untuk menerokai nilai-nilai perubatan daripada ketum demi mempertingkatkan mutu penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang ada tambah nilai serta memberi impak kepada industri dalam negara.

Potensi spesies tersebut untuk produk farmaseutikal juga sedang giat diterokai oleh pihak luar.

Didapati terdapat sebanyak 41 paten yang berkaitan dengan Mitragyna yang telah didaftarkan di Pejabat Pendaftaran Paten Amerika Syarikat (USPTO) sejak 2008.

Pangkalan data USPTO menunjukkan sehingga kini masih terdapat 43 permohonan baharu untuk mempatenkan subjek yang berkaitan dengan spesies Mitragyna.

Lebih daripada 25 sebatian alkaloid telah dilaporkan daripada ketum. Jenis alkaloid yang dipercayai memainkan peranan sifat psikotropik pokok ketum ialah mitragynine, mitragynine hydroxyindolenine dan pseudoindoxyl mitragynine.

Bahan psikotropik berkenaan memberikan kesan rangsangan, sedatif dan euphoria yang boleh menyebabkan penagihan.

Maka mitragynine dalam daun ketum merupakan bahan psikotropik yang dikawal di Malaysia. Mitragynine disenaraikan dalam Jadual Ketiga Racun (Bahan-Bahan Psikotropik), Akta Racun 1952.

Menurut Seksyen 30 Akta Racun 1952, adalah satu kesalahan bagi aktiviti import, eksport, pengilangan, penjualan dan pemilikan bahan-bahan psikotropik tersebut.





..

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.