Total Pageviews

Wednesday, 6 February 2019

Penyanyi Azreen mati akibat kanser serviks



Penyanyi Azreen meninggal dunia akibat kanser serviks




KUALA LUMPUR: Penyanyi era 1990-an, Azreen Manan, 41, meninggal dunia kira-kira jam 1.06 tengah hari tadi akibat penyakit kanser serviks.

Beliau menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga dan teman rapat di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya.

Menurut suaminya, Shah, 41, Azreen meninggal dalam keadaan tenang di sisi keluarga dan teman rapat.

Allahyarham akan dibawa ke Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14, Petaling Jaya, untuk disembahyangkan, sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini, selepas solat Asar.

Azreen disahkan menghidap kanser serviks tahap empat sejak dua tahun lalu. Beliau pernah menjalani pembedahan membuang ovari, namun, akhir tahun lalu, sel barah menyerang lagi dan beralih ke kaki.

Azreen atau nama sebenarnya Azrina Abdul Manan dikenali sebagai penyanyi pada usia 12 tahun apabila tampil bersama album sulung pada 1989. Antara lagu popularnya ialah Semalam Yang Berlalu.

Beliau juga pernah meraih tempat ketiga dalam pertandingan Asia Bagus pada 1992, yang menyaksikan bintang Indonesia, Krisdayanti, muncul juara.

Setahun kemudian, Azreen dipilih membintangi filem Azizah The Lagend bersama-sama Badrul Muhayat dan Wafa Abdul Kadir.

Berita pemergian Azreen turut dikongsi beberapa teman artis seperti Erra Fazira, Zarina Zainuddin dan Nourul Depp.





...

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.