Total Pageviews

Wednesday, 6 February 2019

Mereka mati kerana kanser






SINGAPURA: Penyanyi yang terkenal dengan lagu irama keroncong, Kartina Dahari, meninggal dunia di Hospital Mount Elizabeth, Singapura, petang tadi akibat barah. Perkara itu disahkan sendiri oleh Biduanita Negara yang juga teman baiknya, Datuk Sharifah Aini. “Anak angkat saya yang berada di Singapura memaklumkan, Kartina meninggal dunia di hospital Mount Elizabeth jam 6 petang tadi selepas bertahun-tahun menderita penyakit barah. “Berita itu sangat menyedihkan kerana kami memang berkawan baik. “Kali terakhir saya bertemu dengannya sekitar Ogos tahun lalu, ketika saya mengunjungi rumahnya di sana,” katanya. Kartina, 73 ialah antara biduanita Melayu era 1960-an hingga 1980-an. Selain menyanyi, beliau juga dikenali sebagai pelakon. Antara lagunya yang popular ialah Jangan Ditanya, Sayang Di Sayang, Hati Ke Hati, Sejak Kita Berpisah dan duetnya bersama Datuk Ahmad Jais, Budi Setahun Segunung Intan. Kali terakhir Allahyarham membuat persembahan untuk para peminatnya ialah di Konsert Sayang Di Sayang terbitan Esplanade Teater Di Pesisiran sempena Pesta Raya 2013. Allahyarham meninggalkan tiga orang anak dan jenazahnya akan dikebumikan pada Khamis.




9 Jun 2012 - VOKALIS kumpulan terkenal era tahun 70-an iaitu D'lloyd, Saymsuar Hasyim atau lebih dikenali sebagai Sam menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.15 pagi pada Sabtu. Allahyarham meninggal pada usia 64 tahun. Sahabat baiknya yang juga ahli kumpulan D'lloyd iaitu Bartje Van Houten ketika dihubungi media Indonesia memberitahu, Sam meninggal dunia akibat penyakit jantung dan kanser paru-paru yang dihadapinya sebelum ini. "Sakit jantung dan kanser paru-paru adalah punca kematian Allahyarham. pemergiannya adalah satu kehilangan buat industri muzik Indonesia," ujarnya. Tambah Bartje, jenazah akan dikebumikan di Tanah Kusir, Jakarta. Antara lagu popular kumpulan itu adalah seperti Keagungan Tuhan, Tak Mungkin, Oh Di Mana, Karena Nenek, Semalam di Malaysia dan banyak lagi. D'lloyd bukan sahaja popular di Indonesia malah Malaysia, Singapura dan Brunei.   [mStar Online]




Pelawak dan penyanyi veteran Datuk Ali Mamak meninggal dunia pada pukul 4.20 pagi Khamis di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Kuala Lumpur akibat penyakit leukemia (Kanser darah). Rakan baik Allahyarham iaitu pelakon dan pelawak Abon ketika dihubungi berkata, Ali atau nama sebenarnya Jantan Osman, 63, mengalami pelbagai komplikasi dua hari sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarganya. “Pada asalnya arwah dimasukkan ke hospital akibat penyakit gout yang dihidapinya tetapi kesihatannya tiba-tiba merosot sehinggalah doktor mengesahkan beliau menghidap lukemia. “Malah beliau sempat menjalani rawatan kimoterapi sebelum mengalami pelbagai komplikasi lain akibat penyakit itu,” katanya. Sementara itu, Abon berkata, Allahyarham masih berada dalam keadaan baik pada Rabu (semalam) selain mampu bercakap dan memberikan isyarat tangan apabila ada tetamu yang datang menziarahinya. Sebagai sahabat dia tidak menyangka Ali berada dalam keadaan kritikal kerana sebelum dimasukkan ke hospital keadaan beliau sihat selain sempat mengadakan persembahan di Melaka. “Keadaan arwah semalam (Rabu) masih baik dan mampu memberi respon sekiranya ada tetamu datang menziarah selain masih boleh bercakap seperti biasa walaupun keadaannya lemah. “Saya balik sebentar untuk solat Maghrib di rumah dan apabila saya kembali ke hospital keluarganya memberitahu dia sudah tidak sedarkan diri dan dipindahkan ke wad CCU (Unit Rawatan Kritikal),” katanya. Allahyarham yang juga anak kelahiran Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka sudah berkecimpung dalam bidang seni selama kira-kira 25 tahun dan telah dianugerahkan Darjah Seri Melaka (DSM) oleh Kerajaan Negeri Melaka pada tahun 2008 yang membawa gelaran Datuk. Selain melawak, Ali juga merupakan seorang penyanyi lagu-lagu komedi yang tidak asing lagi dengan pelbagai rentak dan lagunya pula sarat dengan mesej berunsur kritikan sosial atas isu-isu semasa. Jenazah dibawa pulang ke rumah keluarganya di Dusun Tua, Batu 16, Hulu Langat dekat sini dan akan dikebumikan sebelun solat Zohor pada Khamis.




Pelakon Azean Irdawaty, 63, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini akibat komplikasi pelbagai penyakit termasuk kanser yang dihidapinya. mStar Online dimaklumkan pelakon itu meninggal dunia kira-kira pukul 8.30 malam Selasa di depan suaminya, Khairil Anwar dan juga anak-anak. Pelakon itu yang sering keluar masuk hospital sebelum ini menghidap penyakit kanser payudara sehingga ia menjadi kritikal apabila ia merebak kepada barah tumor. Azean yang pernah popular dengan lagu Bawalah Daku Bersamamu pada tahun 1980-an pernah memenangi anugerah Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia pertama (FFM1) menerusi filem Esok Masih Ada dan Langit Petang pada FFM3. Sepanjang penglibatannya dalam seni, beliau banyak berlakon filem termasuklahMama Oh Mama, Perjanjian Syaitan, Perempuan, Bintang Malam, Sutera Putih, Baginda, Layar Lara, Mami Jarum Kembali dan Waris Jari Hantu serta berpuluh-puluh drama televisyen tempatan. Jenazah akan dibawa ke rumahnya di 92, Jalan BU11/7, Bandar Utama, di sini.




Dramatis Maimon Mutalib, 54, yang mengidap penyakit kanser payudara (tahap keempat) telah meninggal dunia pada pukul 2.30 petang Sabtu di kediamannya di Seksyen 17, Shah Alam. Berita itu telah disahkan oleh anak kedua pelakon tersebut iaitu Surayatul Nadia Keristifa, 32. Allahyarham telah menghembuskan nafas terakhir ketika beliau tiba di rumah selepas dibenarkan keluar daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya, di sini sekitar pukul 12 tengah hari Sabtu. “Sudah empat hari lalu ibu dimasukkan wad dan dia sudah mula tenat sejak semalam (Jumaat). “Kemudian pada tengah hari tadi (Sabtu), doktor meminta pihak keluarga untuk membawanya pulang,” kata Nadia yang dihubungi mStar Online di sini pada Sabtu. Tambah Nadia, dia turut memohon maaf sekiranya tidak menjawab panggilan mana-mana pihak yang ingin mendapatkan pengesahan pemergian ibunya itu kerana sibuk menguruskan jenazah. Jenazah dijangka akan dikebumikan pada malam ini di kampung halamannya di Kg. Sialang, Tangkak, Johor. Maimon atau nama sebenarnya Maimon Abdul Mutalib merupakan ibu tunggal kepada lima cahaya mata iaitu Kamarul Syahid Keristifa, 34, Surayatul Nadia Keristifa, 32, Surayatul Natasya Keristifa, 25, serta sepasang kembar Abdul Rahman Haji Keristifa dan Abdul Rahman Haj Keristifa, 16. Antara filem-filem popular lakonannya ialah Qabil Khushry Qabil Igam, Chermin, CUCI, Pensil, Appalam, Semerah Cinta Stilleto, Otai, Sumpahan Kum Kum, Chantek,dan Budak Pailang. Allahyarham juga cukup popular dengan penampilan watak yang pelbagai menerusi ratusan drama di televisyen.




Penyanyi terkenal era enam puluhan dengan irama Pop Yeh Yeh, Hasnah Haron kembali ke Rahmatullah jam 8 pagi tadi. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hosiptal Sultan Ismail, Pandan, Johor Bahru. Allahyarham Hasnah dikesan menghidap kanser servik sejak awal tahun ini. Dia dimasukkan ke wad hosiptal berkenaan sejak seminggu lalu. Ia berikutan penyakitnya mula merebak dan menjangkiti buah pinggang. Jenazah Allahyarham di bawa ke kediamannya di Bandar Baru Uda, Johor Bahru untuk urusan pengkebumian. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Alif, Tampoi petang ini. Allahyarham meninggalkan enam anak. Ketika era kegemilangannya, Allahyarham Hasnah sering membuat persembahan dengan diiringi kumpulan Les Kafilas.




PENYANYI tahun 60-an yang pernah popular dengan lagu BersedihHasnah Haron, 64, meninggal dunia kerana barah pangkal rahim kira-kira jam 8 pagi ini di Hospital Sultan Ibrahim Johor Bahru, Johor. Rakan seangkatannya, Datuk A Rahman Hassan berkata, walaupun pemergian Hasnah sememangnya dijangka, namun beliau dan isterinya yang juga kawan rapat kepada Hasnah, Datin Azizah Mohamad turut bersedih dan merasakan kehilangannya. "Sebenarnya sudah beberapa hari Hasnah dimasukkan ke hospital, dan kami sedia maklum kerana diberitahu oleh anaknya yang mana Hasnah sudah nazak sejak Subuh semalam. Kami sentiasa berhubung dengan anaknya untuk mengetahui perkembangan mengenai dirinya. "Dan pagi tadi kami disedarkan dengan berita pemergiannya dan akan dikebumikan di Johor Bahru. Hasnah sudah lama menghidap penyakit barah ini dan keadaannya makin teruk sejak dari awal tahun ini selepas rawatan kimoterapi diberikan. Sebagai kawan yang rapat dengannya, kami ada melawat Hasnah di hospital beberapa kali sebelum pemergiannya. [Berita Harian]




Pelakon popular tahun 1980-an, Rosnah Mohd Noor meninggal dunia pada 4 Ogos, pukul 2.55 petang di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Berita itu dimaklumkan rakan Allahyarhamah, Zaridah Ishak.  "Rosnah sudah pun meninggal dunia pada pukul 2.55 petang tadi. Dan kini saya bersama keluarganya sibuk menguruskan jenazah. Buat masa ini kami belum pasti lokasi pengebumiannya. "Kami sedang berbincang," katanya lapor mStar Online. Terdahulu, mStar Online pada 27 Februari lalu pernah melaporkan Rosnah dimasukkan ke HKL apabila tulang pada bahagian paha kirinya patah akibat kesan komplikasi pelbagai penyakit termasuk kanser payudara yang dihadapinya sebelum ini.Allahyarhamah sering mendapatkan rawatan di HKL akibat penyakitnya itu. Sepanjang penglibatannya dalam dunia seni, Rosnah telah berlakon beberapa buah filem antaranya Hantu Siang (1986), Di Ambang Kasih (1984), Aku Yang Berhormat (1983), Esok Untuk Siapa (1982) dan Ribut Di Hujung Senja (1982). Hasil perkahwinannya dengan penyanyi dangdut Iwan, beliau dikurniakan tiga orang anak iaitu Wan Ramada Agus Putra, 24, Wan Shamira Puteri Octavia, 22, dan Wan Shahera Puteri Apreena, 20. Wan Ramada sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang seni bina di Australia manakala anak bongsunya pula belajar di sebuah kolej swasta Kuala Lumpur. Rosnah turut memiliki seorang cucu yang berusia setahun hasil perkahwinan anak keduanya.  [Sinar Harian]




Pelakon Sidek Hussein, 63, meninggal dunia tengah malam tadi (malam 28 April 2014) di Hospital Kuala Lumpur, setelah menderita akibat barah leher. Allahyarham telah dimasukkan ke hospital itu sejak 22 Mac lalu selepas pengsan ketika membeli barangan keperluan dapur bersama cucunya. Doktor kemudiannya mengesahkan yang ketumbuhan pada pipi yang dihidapi olehnya sejak hampir 30 tahun lalu adalah sejenis kanser. Ketumbuhan yang mencapai berat dua kilogram itu mula muncul ketika berusia 20an lagi.  Selain kanser, Allahyarham turut mengidap penyakit jantung dan paru-paru. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kuang, Batu 17, Lorong Beringin, Sungai Buloh, Selangor sebelum Zuhur (28 April 2014). Allahyarham meninggalkan seorang balu, Sebiah Sulaiman dan lima orang anak. Allahyarham adalah pelakon veteran sejak era televisyen hitam putih dan memulakan kerjaya di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekitar tahun 1970-an. Dia mula dikenali pada tahun 1982 selepas membintangi filem Toyol sebagai pelakon utama, diikuti filem Potret Maria. Pada 2011, Allahyarham Sidek menerima anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di Anugerah Festival Filem Malaysia ke-24 serta Pelakon Pembantu Terbaik Anugerah Skrin.  [Utusan Online /Astro Awani]



....

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.