Total Pageviews

Friday 2 November 2018

Bawang putih berkesan elak sakit jantung: Pakar


 



Bawang putih berkesan elak 
sakit jantung : Pakar







Allicin hasilkan sulfid hidrogen permudah aliran darah, sel

LONDON: Penyelidik berjaya membongkar misteri mengapa pengambilan bawang putih boleh membantu mengekalkan kesihatan jantung dengan penemuan allicin iaitu bahan sulfur berbau tidak menyenangkan dan menjejaskan bau nafas.

Bahan berkenaan bercampur dengan sel darah merah menghasilkan sulfid hidrogen, menenangkan saluran darah dan memastikan darah mengalir dengan mudah.

Penyelidikan sepasukan saintis dari Universiti Alabama di Birmingham itu disiarkan dalam Proceedings of the National Academy of Sciences.

Bagaimanapun, pakar Britain memberi amaran pengambilan makanan tambahan bawang putih membawa kesan sampingan yang tidak menyenangkan kerana sulfid hidrogen menghasilkan bau telur busuk yang digunakan untuk membuat bom busuk.

Namun pada pengambilan rendah ia memainkan peranan penting dalam membantu sel saling berkomunikasi antara satu sama lain dan di kalangan saluran darah, ia merangsang sel yang membentuk garisan supaya tenang, menyebabkan saluran mengembang.

Ia dapat mengurangkan tekanan darah, membolehkan darah membawa lebih banyak oksigen kepada organ penting dan mengurangkan tekanan pada jantung.

Penyelidik universiti menjalankan kajian dengan memandikan saluran darah tikus dalam mandian mengandungi jus bawang putih yang dihancurkan.

Ia menghasilkan keputusan memberangsangkan dengan tekanan di sekitar saluran darah berkurangan sebanyak 72 peratus.

Penyelidik juga mendapati sel darah merah yang terdedah selama seminit dengan jumlah jus yang diesktrak daripada bawang putih pasar raya segera mula memancarkan sulfid hidrogen.

Uji kaji selanjutnya menunjukkan bahawa reaksi kimia itu berlaku terutama pada permukaan sel darah.

Mereka mencadangkan bahawa penghasilan sulfid hidrogen dalam sel darah merah boleh digunakan untuk menyamaratakan amalan diet makanan tambahan bawang putih.

Ketua penyelidik, Dr David Kraus, berkata: "Penyelidikan kami menunjukkan kehadiran bawang putih dalam diet adalah sesuatu yang baik. Memang jelas di kawasan yang pengambilan bawang putih tinggi seperti di Mediterranean dan Asia Timur, kadar penyakit kardiovaskular rendah."

Jururawat kardiak di Yayasan Jantung Britain, Judy O'Sullivan, berkata kajian menarik itu menunjukkan bawang putih memberi beberapa faedah kepada kesihatan jantung.

"Namun masih tidak ada bukti kukuh untuk menyokong pengambilan bawang putih sebagai ubat dalam usaha mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung koronari," katanya. - Agensi










.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.