Kaitan Antara Penyakit Gusi
& Badan
Pengenalan
Terdapat begitu banyak
kuman di dalam mulut kita. Dengan penjagaan mulut yang baik, kuman-kuman ini
berada dalam keadaan yang terkawal dan tidak mendatangkan masalah. Penyakit
gusi adalah jangkitan kuman apabila penjagaan mulut tidak memuaskan.
Jangkitan kuman ini akan
menghasilkan keradangan pada gusi dan pemahaman terakhir mengenai kaitan
penyakit gusi dan penyakit badan yang lain adalah disebabkan keradangan ini,
bukan kuman seperti yang dipercayai sebelum ini.
Konsep jangkitan mulut
boleh mempengaruhi keadaan kesihatan badan keseluruhan telah ditimbulkan
semenjak 1920-an lagi. Walaubagaimanapun, idea ini telah diterima sehingga dua
dekad lepas. Kajian terkini menunjukkan terdapat kaitan antara penyakit gusi
dengan penyakit badan yang lain seperti diabetes, penyakit kardiovaskular,
jangkitan paru-paru dan sebagainya.
Penyakit Gusi
Penyakit gusi adalah penyakit dalam mulut yang paling kerap
terjadi. Penyakit gusi kebiasaannya disebabkan oleh bakteria yang didapati
dalam plak gigi yang mengakibatkan keradangan dan jangkitan yang kronik.
Dalam kajian Bahagian
Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2010, mendapati
94% daripada mereka yang diperiksa menghidapi penyakit gusi dalam berbagai
peringkat penyakit. Dan 18.2% memerlukan rawatan gusi yang rumit.
Tambahan pula penyakit
gusi dan penyakit badan yang tersebut mempunyai berkongsi faktor risiko seperti
merokok, kelemahan fungsi ketahanan badan, obesiti dan stres yang teruk.
Penyakit
badan yang mungkin berkait dengan penyakit gusi.
Diabetes
(Kencing Manis)
Seseorang yang mengidap
diabetes akan lebih mudah mendapat penyakit gusi kerana pertahanan badannya
adalah lemah, malahan penyakit gusi boleh dianggap sebagai salah satu
komplikasi diabetes. Seseorang yang diabetesnya tidak dikawal, akan mengalami
masalah jangkitan yang kerap dan teruk.
Kajian telah menunjukkan
terdapat kaitan dua hala antara penyakit diabetes dan penyakit gusi. Seseorang
yang berpenyakit gusi akan lebih sukar mengawal paras gula dalam darah. Ini
adalah kerana sebarang jangkitan dalam badan, termasuk gusi boleh menaikkan
paras gula dalam darah dan memerlukan lebih insulin untuk menyeimbangkannya
semula. Keadaan di mana paras gula dalam darah adalah tinggi akan makin kerap
berlaku, dan seterusnya meningkatkan risiko mendapat komplikasi diabetes di
kalangan pesakit ini.
Penyakit Kardiovaskular (Penyakit Jantung Dan Strok)
Terdapat bukti-bukti yang semakin kukuh mengaitkan penyakit gusi
dengan penyakit kardiovaskular. Mengalami penyakit gusi untuk jangka masa yang
panjang mungkin meningkatkan risiko penyakit jantung dan strok. Kajian ada
menunjukkan bakteria dan bahan kimia yang terhasil dari penyakit gusi boleh
melalui salur darah hingga ke saluran darah jantung dan bahagian badan yang
lain. Keadaan ini boleh menyumbangkan kepada serangan jantung dan strok.
Bakteria dalam mulut juga boleh menyebabkan darah beku, justeru itu meninggikan
risiko strok.
Para penyelidik
berpendapat keradangan lebih merbahaya kepada sistem kardiovaskular daripada
risiko yang telah pun dikenal pasti seperti kolesterol LDL yang tinggi. Kaitan
antara keradangan dan penyakit jantung dapat menerangkan mengapa hampir separuh
dari pesakit yang mengalami sakit jantung tidak mempunyai sebarang faktor
risiko yang telah dikenal pasti, selain dari tahap keradangan yang tinggi.
Adalah munasabah untuk
seseorang yang bimbang terkena penyakit kardiovaskular untuk menjaga kesihatan
gusi dan mulutnya sebaik mungkin. Ini mungkin salah satu cara untuk mencegah
penyakit kardiovaskular. Di samping itu ianya tidaklah membebankan jika dibandingkan
dengan cara-cara pencegahan yang lain, contohnya mengurangkan berat badan atau
melakukan senaman fizikal.
Komplikasi Mengandung
Semua jangkitan termasuk penyakit gusi perlu diambil berat di
kalangan wanita mengandung kerana ianya boleh memberi risiko kepada kesihatan
bayi dalam kandungan. Wanita mengandung yang berpenyakit gusi berkemungkinan
mempunyai bayi yang dilahirkan terlalu awal dengan berat badan yang rendah.
Ketidakstabilan hormon
semasa mengandung juga menjadikan sel-sel gusi lebih sensitif dengan kehadiran
bakteria dalam plak gigi, seterusnya meningkatkan tahap keradangan gusi. Walau
bagaimanapun kaitan sebenar belum begitu jelas. Lebih banyak kajian diperlukan
untuk mengenal pasti bagaimana penyakit gusi memberi kesan kepada bayi yang
dikandung
Respiratori (Pernafasan)
Kajian terkini mencadangkan bakteria yang terdapat di tekak dan
juga di mulut boleh memasuki saluran pernafasan hingga ke paru-paru. Ini boleh
menyebabkan jangkitan atau memburukkan lagi keadaan sekiranya pesakit
sememangnya mempunyai masalah paru-paru.
Seseorang yang
berpenyakit respiratori biasanya mengalami sistem pertahanan yang lemah,
menyebabkan sukar untuk menghapus bakteria dari paru-paru.
Dengan menjaga kesihatan mulut dengan baik boleh mengurangkan risiko jangkitan bakteria kepada paru-paru di kalangan pesakit-pesakit ini.
Dengan menjaga kesihatan mulut dengan baik boleh mengurangkan risiko jangkitan bakteria kepada paru-paru di kalangan pesakit-pesakit ini.
Penyakit Alzheimer
Kehilangan gigi dan
penyakit gusi pada umur muda mungkin ada kaitan dengan penyakit Alzheimer. Ini
menyokong lagi kaitan yang semakin ketara antara pendedahan kepada keradangan
kronik dan kemerosotan fungsi otak.
Kajian ke atas 100
pasangan kembar di United Kingdom (di mana seorang mengalami Alzheimer dan
seorang lagi tidak) menunjukkan jika seseorang mengalami penyakit gusi yang
sederhana atau teruk sebelum umur 35 tahun, peluang untuk terkena Alzheimer
meningkat sehingga 5 kali ganda.
Para pengkaji dari
Universiti New York telah menemui bukti penemuan jangka panjang yang pertama
bahawa penyakit gusi akan meningkatkan risiko ketidakfungsian kognitif yang
dikaitkan dengan penyakit Alzheimer dalam individu yang sihat dan juga kepada
yang telah mengalami kecacatan kognitif.
Penyakit Ginjal (Buah Pinggang)
Jangkitan bakteria yang
kronik adalah di antara risiko bagi penyakit kardiovaskular. Oleh kerana
penyakit kardiovaskular dan penyakit ginjal berkongsi faktor risiko yang sama,
ada kemungkinan penyakit gusi mempunyai kaitan dengan penyakit ginjal.
Kanser Pankreas
Satu kajian terbaru
telah menunjukkan penyakit gusi mungkin juga ada kaitan dengan risiko kanser
pankreas. Kajian ini memberi bukti pertama yang kukuh menyatakan penyakit gusi
mungkin meningkatkan risiko penyakit kanser pankreas. Ia dijalankan oleh
pengkaji selidik di Harvard
School of Public Health dan Dana-Farber
Cancer Institute (telah diterbitkan dalam Journal
of the National Cancer Institute). Keputusan kajian menunjukkan
lelaki yang mengalami penyakit gusi mempunyai risiko 63% lebih tinggi untuk
menghidap kanser pankreas dibandingkan dengan yang tiada masalah penyakit gusi
(selepas diselaraskan untuk umur, merokok, diabetes, jisim indeks badan dan
beberapa faktor lain). Didapati juga mereka yang tidak merokok tetapi mempunyai
masalah gusi mempunyai 2 kali ganda risiko terkena kanser pankreas
Kesimpulan
Kesihatan badan secara
keseluruhan mempunyai kaitan yang rapat dengan kesihatan mulut. Seseorang yang
berpenyakit gusi adalah lebih berisiko menghidap penyakit badan yang lain.
Hubung-kait yang sebenarnya masih belum dapat dikenal pasti sehinggalah lebih banyak
kajian dapat membuktikannya. Walau bagaimanapun, adalah amat penting bagi
seseorang yang berpenyakit gusi mengurangkan risiko jangkitan dan mengamalkan
langkah pencegahan. Cara terbaik untuk mengelakkan penyakit gusi adalah
mengamalkan penjagaan kebersihan mulut yang baik iaitu memberus dan menggunakan
flos setiap hari serta mendapatkan pemeriksaan berkala boleh mengurangkan
peluang terkena penyakit gusi dan juga akan meningkatkan kesihatan badan
keseluruhannya.
Semakan Akhir
|
:
|
25 April
2014
|
Penulis /
Penterjemah
|
:
|
|
Akreditor
|
:
|
Datin Dr.
Sorayah bt. Sidek
|
Penyemak
|
:
|
Dr. Ahmad
Sharifuddin b. Mohd Asari
|
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.