Total Pageviews

Friday, 2 November 2018

LANDSKAP hijau pada dinding





Dinding hijau semakin popular





Oleh DR. SHUREEN FARIS ABDUL SHUKOR
Jabatan Senibina Landskap,
Fakulti Rekabentuk dan Senibina,
Universiti Putra Malaysia


TREND yang sering dilihat di persekitaran landskap dan kawasan institusi pada masa ini adalah reka bentuk dinding hijau yang menjadi pilihan para arkitek, arkitek landskap serta para pereka hiasan dalaman.

Maksud dinding hijau ini merupakan dinding yang dipenuhi dengan sebahagian ataupun diliputi sepenuhnya dengan tumbuhan hijau dan dibekalkan dengan media tumbesaran seperti tanah.

Kebanyakan dinding hijau ini mempunyai sistem pengairan bersepadu. Dinding ini juga dikenali sebagai dinding hidup atau ada yang memanggil taman menegak.

Patrick Blanc dikatakan sebagai pencipta konsep ini pada akhir tahun 1980-an, tetapi dilaporkan bahawa idea sebenar konsep dinding hijau ini adalah menerusi Stanley Hart White iaitu seorang profesor dalam Seni Bina Landskap yang telah mempatenkan sistem dinding hijau ini pada 1938.

Amat penting untuk membezakan antara dinding hijau dengan fasad hijau. Dinding hijau mempunyai media tumbesaran (tanah) yang disokong pada permukaan dinding.

Sementara fasad hijau dibina dengan meletakkan tanah pada tapak atau bahagian dasar dinding itu iaitu tanaman ditanam terus di dalam bekas penanaman ataupun terus ke tanah.

Berbeza dengan dinding hijau, tanaman jenis memanjat akan digunakan untuk fasad hijau. Setelah sekian lama, tumbuhan ini akan menjalar dan seterusnya menutupi dinding untuk efek hijau yang dikehendaki.

Dinding hijau boleh diadakan sama ada dalam bangunan, berdiri bebas ataupun bersambung dengan dinding sedia ada.

Hingga 2015, dinding hijau yang terbesar adalah seluas 2,700 meter persegi yang terletak di International Convention Center di Los Cabos, Mexico dan dibina oleh arkitek negara itu, Fernando Romero untuk persidangan G-20 pada 2012.


Ikonik

Pembinaan dinding hijau ini semakin meningkat popular dan menurut pangkalan data mengenai pembinaan dinding hijau di kawasan luaran, 80 peratus dinding hijau dibina semasa atau selepas 2009 sementara daripada jumlah ini, 93 peratus dibina selepas 2007.

Banyak dinding hijau yang ikonik dibina di institusi dan tempat awam seperti di lapangan terbang. Pandangan dinding hijau ini semakin menjadi kebiasaan dalam tujuan meningkatkan nilai estetika sesuatu tempat.

Menurut Luis De Garrido di dalam bukunya mengenai dinding hijau, reka bentuk yang betul untuk dinding hijau boleh dicapai dengan konsep asas pengudaraan fasad.

Dalam kata lain, penampung untuk tumbuhan perlu ringan dan dipisahkan daripada lapisan insulasi oleh sebuah lapisan ruang udara.

Penampung atau pemegang tumbuhan ini juga perlu ringan untuk mengurangkan pengambilan air yang banyak dan meningkatkan jangka hayat tumbuhan.

Secara realitinya, selain berfungsi sebagai faktor estatik, dinding hijau juga dapat meningkatkan kelembapan di kawasan bercuaca kering dan membantu menurunkan suhu persekitaran.

Dinding hijau juga mampu meningkatkan pengoksigenan dan faktor ini diperlukan. Sangat penting untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan pengguna kawasan luaran hijau terutamanya ketika negara dilanda cuaca panas melampau seperti hari ini.










.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.