Total Pageviews

Friday 2 November 2018

Kuman Dalam Mulut



Jangkitan Oral




Mulut mempunyai lebih daripada 700 jenis mikroorganisma dan kebanyakan daripadanya tidak mendatangkan mudarat. Menjaga kesihatan mulut dengan baik penting bagi memastikan keseimbangan antara kuman atau bakteria yang ”baik” dan yang boleh mendatangkan mudarat. Tiga punca utama jangkitan pada bahagian oral boleh diklasifikasikan kepada: bakteria, virus dan kulat (fungi).

Jangkitan bakteria
·        Kerosakan gigi atau karies gigi dan penyakit periodontium (gusi) adalah dua jenis jangkitan bakteria yang merupakan aduan akut atau kronik di mulut.
·        Kebiasaannya, infeksi bakteria boleh menyebabkan pengumpulan nanah pada kawasan yang dijangkiti.
·        Jika tidak dirawat, jangkitan dari gigi dan gusi boleh merebak ke tisu lembut dan tulang rahang yang berdekatan. Keadan ini boleh menyebabkan berlakunya pengumpulan nanah (abses) atau keradangan tisu lembut secara keseluruhannya (”cellulitis”).
·        Kebengkakan, sakit , kemerahan pada permukaan kulit dan demam adalah tanda-tanda dan gejala yang biasa dialami semasa jangkitan akut.
·        Rawatan termasuklah mengenalpasti punca jangkitan, melakukan insisi dan pengaliran nanah, pengambilan antibiotik dan cabutan gigi.
·        jangkitan akut yang teruk yang berpunca dari gigi pada rahang bawah boleh menyebabkan masalah pernafasan, manakala jangkitan yang melibatkan gigi di rahang atas berpotensi untuk merebak ke bahagian otak.


Jangkitan Virus
·        Virus Herpes simplex adalah punca utama jangkitan virus di bahagian mulut. Ia menyebabkan jangkitan herpetik gingivostomatitis primer yang selalunya berlaku pada kanak-kanak atau remaja.
·        Aduan utama ‘ ulser mulut yang sakit dan boleh terjadi pada mana-mana bahagian mulut.
·        Kadangkala pengumpulan cecair yang kecil atau vesikel yang akan pecah dan menjadi ulser mungkin boleh dilihat. Gusi akan menjadi bengkak dan merah.
·        Selalunya pesakit mengadu demam dan lesu.
·        Kebiasaannya jangkitan virus akan reda dengan sendiri dalam jangkamasa 14 hari.
·        Selalunya hanya rawatan sokongan dan simptomatik untuk mengurangkan kesakitan dan demam yang akan diberi.
·        Jangkitan berulang atau sekunder boleh berlaku pada bila-bila masa. Manifestasi utama adalah vesikel kecil yang kemudiannya pecah dan menyebabkan kerekahan pada bahagian bibir (”herpes labialis / cold sores”).
·        Kebanyakan kes jangkitan sekunder tidak memerlukan rawatan, tetapi penggunaan awal ubat anti-virus topikal boleh menggurangkan jangkamasa infeksi tersebut.
·        Oleh kerana virus herpes mudah merebak melalui air liur, sentuhan pada bibir dan mulut semasa jangkitan aktif hendaklah dikurangkan untuk menggelakkan jangkitan merebak ke kawasan lain.


Jangkitan Kulat (Fungi)
·        Kulat atau fungi mempunyai potensi untuk menyebabkan jangkitan pada bahagian mulut bila daya tahan imun seseorang itu lemah. Oleh itu, jangkitan sebegini diklasifikasikan sebagai infeksi oportunistik.
·        Jangkitan kulat yang paling kerap dialami di mulut adalah kandidiasis pseudomembran akut atau ”thrush”.
·        Gejala klinikal infeksi ini adalah bintik atau tompok berwarna putih kekuningan yang mudah dikikis untuk meninggalkan kawasan merah. Keadaan ini boleh berlaku dimana-mana bahagian mulut terutama lelangit dan pipi.
·        Jangkitan sebegini selalunya melibatkan wargatua yang lemah sistem imun, pesakit yang menjalani rawatan kanser atau mengambil steroid secara berterusan, mereka yang dijangkiti HIV dan sebagainya.
·        Keadaan mulut kering yang teruk juga boleh menyebabkan mulut mudah dijangkiti kulat.
  • Selain daripada bintik atau tompok putih, infeksi kulat boleh juga menunjukkan tanda dan gejala lain seperti keadaan merah pada lidah dan lelangit, sakit atau terasa pedih.
  • Rawatan melibatkan penggunaan ubat antifungal topikal atau sistemik, serta siasatan lanjut penyakit/keadaan sistemik yang boleh menjadi penyumbang kepada masalah terjadinya infeksi tersebut.



.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.